Pembebasan pantai tanggungjawab bersama

Tuhan menciptakan alam untuk didiami dan dikongsi semua. Dari lipan bara kepada burung rajawali, dari pohon kaktus kepada rumpai laut, dari Ashley Young kepada pejuang Sulu, semua sama sahaja iaitu makhluk ciptaannya. Jadi, bukankah alam ini untuk dikongsi?

Tapi kita semua tahu, manusialah yang melakar sempadan, menanda perbatasan, dan melukis garisan di atas muka bumi.

Empayar Kaisar Rom, Zaman Emas Scandinavia, Wilayah Mongol, Turki Uthmaniyyah, Dinasti Ming, dan banyak lagi, masing-masing melukis peta sempadan untuk menandakan kuasa sendiri.

Sayangnya di zaman moden, tabiat ini turut diamalkan oleh hotel-hotel dan rumah penginapan. Pantai disekat dari umum, perlu berbayar dan hanya untuk pelanggan hotel. Itu belum masuk yang menutup pantai dengan membina pagar demi mengekang kedatangan orang awam. Tanpa segan silu mereka mengatakan ‘Pantai ini milik kami, jangan sesekali datang ke sini.’

Ketika kunjungan saya ke Labuan Bajo, hotel di Pulau Bidadari melonggokkan kayu untuk menutup ruang ke pantai yang terletak di sisi mereka. Ketika berjalan di lorong yang ada, pekerja di situ sudah menunggu dan bertanya adakah kami pengunjung hotel? Jikalau bukan sila berpatah balik. Panas hati dibuatnya.

Fenomena ini bukan terjadi di sana sahaja, tapi di tempat-tempat lain juga. Pantai yang asalnya tiada pemilik, kini berpunya, sama ada milik peribadi atau organisasi. Orang awam tidak boleh datang dan merasa putih dan lembutnya pasir. Malahan penduduk asal di kawasan sekitar turut dihalang untuk berkunjung. Kau tak panas?

Kalau engkau jawab, “bukankah itu undang-undang? Undang-undang harus dipatuhi.” Maka bawalah undang-undang kau itu ke kubur. Semadikan dengan jasadmu dan mereput bersama.

Namun kerap kali juga saya berjumpa berita yang mengatakan pantai peribadi sudah dibuka kepada orang awam. Itupun setelah bertelagah di mahkamah dalam masa yang panjang. Tahniah saya ucapkan kepada semua keadilan yang berjaya ditegakkan.

Pantai adalah hak milik semua. Pantai adalah milik karang, teritip, umang-umang, ketam, pasir, batu, penyu, ikan dan semua orang. Kami di Nusa dan Kejora akan sentiasa memperjuangkan hak ini. 

Pantai, hak milik semua!

Seperti dendam, rindu harus dibayar tuntas

Seperti yang kita sedia maklum, malam tadi telah terjadi satu peristiwa yang boleh kita simpan di benak memori dan mencatitnya dalam lipatan sejarah. Kemenangan 4-1 ke atas Man City di sebuah lokasi terletak di Manchester ini sebenarnya titik penting untuk sebuah kemajuan dan revolusi bola Liverpool.

Di dalam perlawanan malam tadi kita boleh melihat transformasi Liverpool yang berubah dari sebuah pasukan demokrasi terpimpin menjadi pasukan yang luhur perlembagaannya.

Sebaik sahaja Joe Hart menyepak bola, pemain Liverpool sudah menunggu dan bersedia untuk berlari lalu memberikan tekanan yang bukan sedikit, tapi hadir seperti ombak gadang menyapu bersih seluruh pantai.

Rampas, hantar, lari, cipta ruang, maju ke depan. Begitu manis sekali gaya Liverpool membajak Man City di laman sendiri. Sudah begitu lama aku tidak tersenyum puas melihat Liverpool menuai hasil seperti malam tadi. Nafsu syahwat aku menaik setiap kali gerakan-gerakan ke kubu lawan disusun. Kalau kau baca Seperti Dendam Rindu Harus Dibayar Tuntas tulisan Eka Kurniawan, burung Ajo Kawir pun bisa ngaceng tengok Liverpool main malam tadi.

Begitupun menang, J├╝rgen Klopp masih merasakan ada ruang yang boleh diperbaiki. Dah menang 4-1 pun kau nak baiki lagi? Kau… Kau… Kau memang khalifah yang ditunggu-tunggu la Klopp!

Bagi aku Emre Can adalah adiwira yang tidak didendang. Umpanan menggunakan buku lali, ruang yang dicipta beliau, tekanan terhadap pihak lawan, menutup ruang untuk Man City bergerak. Aaaahhhhhhh, kalau boleh memang aku nak buat adik angkat la Emre Can ni.

Baiklah tuan-puan, ayuh kita nikmati sebuah ahad yang baik dan tidak seperti gambar di bawah.

Teh dan atmosfera

Tahun Baru Cina menjanjikan cuti yang enak untuk diladeni. Jadi, keluar dari kota batu adalah kemestian.

“Kita pergi Hangzhou, sana cantik sekarang.” kata big boss yakni bapak aku. Petangnya, kami keluar dari Shanghai dan menuju Hangzhou.

Jika mengikut pengalaman aku yang tidak pernah tidur ketika kelas geografi, waktu itu hemisfera bumi yang terletak di atas garisan Sartan kurang mendapat sinaran dari matahari dan membuatkan atmosfera menjadi dingin. Sebenarnya lebih mudah jika aku sebut musim sejuk.

Selepas melawat West Lake yang mempunyai pulau di tengah tasik, kami ke ladang teh. Walaupun aku tidak berapa jelas kenapa kami dibawa ke ladang teh, aku tetap mengambil foto sebagai kenang-kenangan.

IMG_3900

IMG_3873IMG_3915IMG_3919IMG_3899

 

Terikat pada landasan

IMAG0102

Gambar ini diambil ketika aku memulakan perjalanan darat ke bumi Siam, tahun lepas. Mengembara bersama teman rapat adalah perkara yang menggembirakan dan sepatutnya dibuat selalu.

Banyak kisah yang boleh dirakam menjadi memori, berbanding menggunakan pesawat yang meluncur laju di angkasa. Ketika aku turun dari keretapi, ada orang Siam membuat isyarat mahu memotong leher kepada wanita Malaysia, hanya kerana wanita tersebut enggan menggunakan servis beliau. Mengejar van yang akan ke Phuket, makan pulut ayam sehingga baunya semerbak di dalam van lalu membuatkan semua orang memandang ke belakang, dan banyak lagi.

Memang memberahi dan melajukan perjalanan darah ke otak!

Melihat cupak gantang negeri orang menggunakan jalan darat sangat seronok dan memenatkan. Semoga aku terus diberi kesempatan untuk melakukannya lagi di masa akan datang.

Manusia lelabah

Pada satu hari, di tengah keramaian orang aku berjumpa seorang yang punyai keberanian tinggi. Umum menggelarnya Spiderman dan aku sendiri sudah menyaksikan beliau memanjat tingkat demi tingkat dan sampai ke puncak. Namun sayang, aku melihatnya di video sahaja.

Selesai makan, aku basuh tangan di tandas. Kendatipun makan di majlis menggunakan sudu garfu namun aku tetap ingin membasuh tangan. Di dalam perjalanan pulang ke tempat duduk, aku melihat sedikit ruang tercipta untuk aku menegur Spiderman.

“Hello sir, how are you?” Aku tanya.

“Fine, fine, fine. Thank you, how are you?”

“Like always, me is fine.” Kemudian aku menyambung, “Can both of us carving this beautiful moment into a photo?”

“Sure, sure. Let’s jom.”

 

DSC00492

 

 

Permata Laut Andaman

Perjalanan dari Pelabuhan Telaga ke Koh Lipe dijangka mengambil masa 50 minit. Aku memutuskan untuk berada di geladak hadapan demi mendapatkan angin yang paling segar dan menjadi orang pertama di atas bot yang merempuh bayu Laut Andaman.

Seperti biasa aku akan memejamkan mata dan menumpukan sepenuh perhatian untuk mendengar dengan lebih mendalam puisi yang dikarang laut. Hari ini, laut sekali lagi menyanyikan lagunya yang gemersik menerpa halwa telinga.

“Begitu merdu suaramu, laut.”

Tidak lama selepas itu, aku, Amir dan Muna tiba di Pantai Pattaya. Jurumudi berkata passport hanya akan diberi setelah proses imigresen selesai, dan disuruh menunggu di tepi pantai.

Rasanya tidak perlu lagi aku menggambarkan betapa cantik dan dara pulau kecil ini. Di sini masih ada pekedai yang berbahasa melayu dan kami disapa sebaik sahaja memulakan langkah mencari hotel.

“Malam ni makanlah sini, sini halal.” kata dia.

Dua malam beristrehat di Koh Lipe, apa yang aku dapati… Pulau ini sedang pesat membina hotel-hotel. Banyak baj datang membawa bahan binaan tersadai di tepi pantai. Di tengah hutan, chalet-chalet sedang didirikan, juga terdapat kubu untuk melindungi diri ketika amaran tsunami dinyalakan. Rata-rata pengunjung yang datang, berasal dari barat dan seperti destinasi pantai tropika yang lain, mereka memonopoli. Rasanya tidak lama lagi karang-karangan yang ada di tepi pantai akan mati, hancur dan hilang dibawa arus. Entah bila semua akan sedar dan menolak keselesaan demi menikmati pantai yang lembut, bersih dan dipenuhi karang.

Dikepilkan di sini sebuah foto sebagai kenang-kenangan. Kate Winslet kalau nampak, mesti dia nak buat jugak.

Koh Lipe

Di hadapan pari bakar

Tadi kawan aku tanya,

“Berapa umur ko Caki?”

“29,” aku jawab sambil suap ikan pari dalam mulut.

Dia terkejut, “Kau toksah nak menipu la.”

Sekarang aku pula terkejut. Aku bukan pendusta, aku tak pernah menipu.

“Mengapa kau kata begitu? Aku tidak membohongimu.” aku balas.

Kemudian rakan lain menyampuk, “Betul la, dia ni dah tua.”

Dia mengerutkan dahi.

“Tak nampak macam 29.”

“Habis macam umur berapa?” aku tanya.

“23, 24. Macam budak practical yang berhenti haritu.” dia balas.

 

Aku rasa terpanggil untuk kongsi rahsia kekal muda di sini.