May the force be with Klopp

Tidak lama dahulu, Liverpool adalah pasukan hebat yang hanya tewas sekali. Sekali sahaja. Di bawah kendalian Klopp, revolusi yang dipimpinnya berjaya mara dan menyerbu pangkalan EPL dengan penuh kejayaan. Kejayaan yang datang dengan memberi kegerunan kepada pihak lawan.

Semua orang berkata akan kehebatan dan kegarangan Liverpool di bawah pimpinan Klopp. Malah ada cakap-cakap bahawa Liverpool mampu menjulang kejuaraan pada musim ini. Begitulah dasyatnya bila Klopp memejamkan mata beliau dan force langsung bersamanya.

Namun apakan daya, pelangi tidak sampai ke petang, hujan turun di tengahari. Force yang menyelubungi Liverpool tidak lama! Setelah saya menyiasat, mengkaji dan menganalisa malapetaka apakah yang sebenarnya menimpa Liverpool, akhirnya saya berjaya menemui jawapan.

Rupanya sejak Gerrard pulang dari Hollywood, force Liverpool telah terganggu. Force tidak lagi bersama Jurgen Klopp, aduhai malang seribu kali malang! Sesungguhnya force itu perkara yang nyata dan Gerrard telah mengganggu force Liverpool.

Teman-teman, marilah kita doakan supaya Gerrard cepat pulang ke Hollywood dan tidak mengganggu force yang sedia ada.

May the force be with Klopp!  

 

Punca sebenar kemenangan Borussia Watford

Jika di Astro kita ada gandingan Johan dan Zizan, di Liverpool kita ada Skrtkho. Skrtel dan Sakho berjaya membuatkan musuh-musuh Liverpool tidak kering gusi dengan persembahan kelakar yang asli dan tidak dibuat-buat.

Aksi kedua-dua pemain ini bolehlah kita anggap konsisten setiap musim cuma ketika Suarez ada tempohari, ketirisan gol berjaya dibalas dengan jaringan yang lebih besar ke kubu lawan.

Jadi… ya, begitulah serba sedikit tentang permainan malam tadi. Kegagalan untuk mengisi kekosongan Sami Hyypia dan Carragher adalah punca utama Liverpool terus dihurung malapetaka.

Buat peminat bola di seluruh dunia, teruskan menyokong Leicester!

Dan Norwich.

Norwich: Biar jasa jadi kenangan

Menggenderai sebuah pasukan yang dikenali dunia sebagai pakar jatuh dalam kotak penalti dan gemar menjaringkan gol dari sepakan percuma bukanlah mudah. Apalagi ramai yang menggelarnya sebuah pasukan yang sentiasa dipelihara pengadil, keputusan yang dibuat Van Gaal bukan mudah.

Di sebalik keputusan untuk menguruskan pasukan ini, Van Gaal sebenarnya telah melalui liku-liku hidup yang sukar dan penuh ranjau. Namun insan ini percaya dan berjaya membuktikan pada dunia bahawa beliau adalah manusia yang layak dipuji.

Rentetan kejayaan silam membuktikan Van Gaal bukanlah calang-calang orang. Menguasai Bundesliga, La Liga, Eropah, dan macam-macam lagi… semuanya telah dikecap Van Gaal. Jaminan piala adalah kemestian jika Van Gaal dilantik sebagai pengurus.

Namun lain halnya dengan pasukan terbaru yang diurus Van Gaal. Kesemua taktik, falsafah, dan rencananya tidak menjadi. Ketika menjawab soalan kami di whatsapp call, beliau berkata, 

“Semuanya sudah saya rancang dan fikirkan, tapi bila nak buat memang tak boleh. Saya naik hairan dan ajaib. Macam kelab ni tak ada berkat.”

Di mana silapnya? Adakah pasukan ini memang perlukan pembelaan dari pengadil dan ihsan penalti? Adakah Smalling perlu bermain sebagai penyerang? Atau adakah punca semua ini kerana Ashley Young makan tahi burung?

Walau apa pun jawapannya, kita semua pasti bahawa Van Gaal adalah pengurus yang bijaksana dan arif tentang bolasepak. Seluruh pasukan harus terus yakin dan meneruskan falsafah beliau. Kejayaan pastinya semakin hampir.

Buat semua peminat kelab tersebut, ingatlah kata pujangga ini,

Glory glory!

 

Nakhoda samudera idaman

25 Mei 2012, pesawat yang kami naiki meluncur laju di angkasa menuju bumi Siam. Sebelum melangkah ke dalam perut pesawat, kami telahpun meninggalkan semua memori yang akan membuatkan sebuah percutian menjadi kekok. Hanya perkara elok yang bermain di fikiran seperti pantai, ombak, birunya laut dan lagu Sabai-sabai nyanyian Bird Thongchai.

Bulan Mei adalah saat ombak di Laut Andaman sedang menggila. Amir yang 90 kilo sedang tercampak di geladak hadapan bot. Aku sedang kucar-kacir memegang besi. Bangah selaku pemuda paling kurus menguatkan kuda-kuda. Penumpang yang lain juga tidak kurang sibuknya, ada yang memegang topi supaya tidak terbang, ada yang menyimpan telefon ke dalam beg, ada juga yang lari ke dalam bot dari dek hadapan. Dengan ketinggian ombak dan bot yang sedang memecut laju, aku yakin tidak ada seorang pun mahu terjatuh ke dalam laut sekarang. Hentakan kuat dapat dirasakan dari bawah bot setiap kali menggagahi ombak.

Namun di dalam huru-hara begitu, ada seorang pemuda sedang tenang menghisap rokok. Berkaca mata hitam, pemuda itu begitu bersahaja menaikkan kaki kanannya ke lutut kiri. Beliau malah geli hati melihat gelagat orang yang sedang melawan gelora lautan.

“Mengada-ngada betul.” bisik hatinya.

Ya, pemuda itu adalah Saif. Saif si pemuda ringkas yang menjalani hidup yang sungguh mendamaikan.

Hari ini, dia sudah bergelar suami. Dan kami di Nusa dan Kejora mengucapkan selamat pengantin baru dengan ucapan,

Jalan masih teramat jauh
Mustahil berlabuh
Bila dayung tak terkayuh.

Selamat pengantin baru!

 

 

IMG_0786

Kuda lumping menentang kayangan

“Kumpulkan semua orang kita. Semuanya! Sialan dari Palembang itu sudah melampau.”

“Baik datok.”

 Pendekar Tameng beransur dari rumah agam Datok Kencana. Perginya gopoh terkocoh-kocoh. Orang-orang yang masih ada di beranda hanya menghantar Pendekar Tameng dengan ekor mata.
“Datok, mereka ramai. Hulubalang yang dibawa sudah banyak pengalaman berperang dengan Majapahit. Bala tentera mereka juga lengkap dengan segala kelengkapan. Musuh kali ini benar-benar luarbiasa megahnya.” Kata Anang memberi buah pendapat.

“Mereka semuanya lari dari medan tempur, langsung ke sini dan mahu disembah. Tidak, tidak. Tanah ini kita empunya. Musuh datang kita sanggah, tamu datang kita beralah. Sudah dari dulunya begitu.”

Semua yang hadir diam. Ada benarnya kata Datok Kencana. Entah dari mana si hidung belang itu datang, tiba-tiba mahu menjadi raja. Kota yang aman kini berantakan. Semuanya musnah gara-gara si tamak haloba bernama Parameswara.

“Lembing bertemu lembing, keris bertemu keris, rentaka bertemu rentaka! Hulurkan semua kudratmu demi sungai yang mengalir di tepi Bertam!”

Amanat perang Datok Kencana itu menjadi perkara terakhir yang diingati oleh pejuang-pejuang Malaka sebelum badan mereka ditabrak senjata pihak lawan. Semuanya gugur di medan tempur. Kepala Datok Kencana sendiri dipenggal dan dicucuk pada hujung tombak yang kemudian didirikan di tengah kota. Penentangan kecil menentang armada Sriwijaya itu tidak pernah dicatit dalam mana-mana buku sejarah dan terus hilang ditiup angin Selat Melaka.

“Ya, betalah raja kalian.”

Keris, sarung dan sebuah perjalanan yang panjang

Shahikhmal ialah teman yang aku kenali dari zaman belajar di Kuantan. Kami sama-sama membesar (dibaca semakin berisi) dan bersahabat baik walaupun beliau menyokong Arsenal.

Ketika kunjungan ke Kuching, Shahikhmal atau lebih senang dipanggil Tosei bergilir-gilir memandu kereta bersama Zharif. Aku, Amir dan Muna hanya santai dan berbual sambil melihat awan-gemawan yang meleret di langit Bumi Kenyalang.

Hari ini majlis di Kempas, JB. Tahniah saya ucapkan buat beliau dan pilihan hatinya. Terimalah serangkap pantun.

Wenger memberi Barcelona merasa, Fabregas rujuk Wenger tak mahu,
Bila sudah berumahtangga,
Janganlah lupa futsal denganku.


Tahniah!