Menuju institusi kekeluargaan

Kira-kira jam 3:20 petang, kami semua tiba ke destinasi. Dengan kekuatan armada perang sebanyak 9 buah kereta, kami menyerang rumah perempuan.

Semua masuk dalam rumah. Kecuali aku dan Zharif.

Sebenarnya aku suruh Zharif masuk untuk tangkap gambar tapi dia enggan.

“Buatpe? Baik aku teman ko sini.”

Kemudian kami berbicara tentang alam sekitar, ikan di laut, gunung dan kehijauan hutan tropika di wilayah nusantara ini. Alangkah indahnya jika kami terus diberi kekuatan dan kesempatan untuk terus meneroka kepulauan ini. Air yang biru, karang yang melambai beraneka warna, variasi hidupan yang menguasai dasar laut dan pasir keemasan yang lembut di hujung kaki. Ah, semoga kami terus diberi peluang.

Tiba-tiba ayah telefon.

“Ha meh sini dah boleh masuk.”

Aku capai bunga, Zharif bawak kek. Kami berdua menyusun langkah dan mara ke pangkalan bakal mertua.

Macam biasa dah masuk dalam aku pun tersipu-sipu dan menjaga kelakuan. Lepas makan mee kari, aku dijemput mengambil gambar bersama tunang.

Inilah kali pertama dalam hidup semua orang mahu mengambil gambar bersama aku.

ASB sebagai penyatuan

Permodalan Nasional Berhad sepatutnya dipuji kerana memperkenalkan ASB yang boleh digunapakai oleh rakyat. Di setiap awal tahun, ramai orang akan berpusu-pusu menyerbu kaunter berhampiran untuk mengemaskini baki akaun dan mengeluarkan dividen.

Fenomena ini mencetuskan satu penyatuan di kalangan rakyat berbilang kaum. Melayu cina dan india dan banyak lagi akan bertanya sesama sendiri “awak nombor berapa? Sekarang nombor berapa?”. Kemudian mereka akan berborak tentang kawasan sekitar. Tidak kurang juga yang bersatu menzahirkan ketidakpuashatian bila kaunter ASB dibuka hanya satu.

“Dah tahu ramai, bukak la kaunter lebih sikit.” kata brader yang memakai t-shirt berkolar tepi aku.

Ada orang memilih untuk menyimpan ASB untuk kegunaan di masa hadapan, ini sangat bagus untuk perkembangan hidup tapi aku faham kenapa ada yang lebih senang untuk mengeluarkan dividen. Sama ada yuran anak sekolah, atau kepentingan lain janganlah kita persoalkan kenapa orang keluarkan dividen. Macam tahun lepas, aku keluarkan beli PS4.

Hmmmm…

Sebenarnya aku tengah tunggu giliran ni. Sekarang baru nombor 60, ada lagi 51.