Fellaini, Si Siku Emas

“Assalamualaikum,” terdengar suara dari pintu depan rumah.

Van Gaal yang sedang menulis sajak tersentak. Siapa yang datang ke rumahnya ini? Matahari berada betul-betul tepat di garisan khatulistiwa, tak reti panas ke?

Van Gaal bangun dari kerusi sambil menutup buku nota kesayangannya.

“Eh, Jurgen Klopp. Masuklah.”

Jurgen Klopp tersengih, sudah lama dia tidak berjumpa Van Gaal rakan sejawatnya di kancah EPL dahulu.

“Apa khabar Van? Sihat ke?” tanya Klopp selepas duduk bersila. Rumah Van Gaal tiada sofa.

“Begini ajelah… biasa je.” balas Van Gaal. Kemudian dia menyambung.

“Apa hajat datang ke mari? Takde training bola ke?”

“Dah habis la ni, tu yang balik rumah singgah kejap, lama tak jumpa.”

Kemudian mereka berborak panjang diselangi isteri Van Gaal yang datang menghantar air sirap. Kenangan ketika di EPL dikorek satu persatu.

“Kau ingat tak Van? Ada satu malam, Fellaini kena kad kuning.” tanya Jurgen Klopp.

“Maksud anda, ketika lawan Liverpool di pentas gemilang Europa League?”

“Ya benar.” balas Jurgen Klopp, dan kemudian menyambung,

“Ada ke patut dekat TV dorang tulis ‘misses next match’, padahal  Man U dah terkeluar!”

Van Gaal dan Jurgen Klopp berderai ketawa di ruang tamu.

 

Jika tidak bermain PS4, aku akan memasak.

Tempoh hari aku membeli barang-barang keperluan untuk BBQ. Arang, penyepit, tempat bakar dan sebagainya. Tepat lepas maghrib tadi, aku pergi pusat membeli belah yang terkenal di KL iaitu Jusco Equine Park. Aku beli ayam dan kambing yang sudah siap diperap.

Memikirkan ganjaran yang akan diperoleh apabila siap membakar ayam dan kambing, aku menelan air liur. Kali terakhir aku makan BBQ ni masa dekat Dubai, itupun datang lewat sikit bila ayam dah siap bakar.

Cepat-cepat aku susun arang dan bakar pemula api (fire starter).

Arang mula terbakar dan adrenalin di dalam tubuh aku mula bergelojak. Ini petanda baik. Jaga kau kambing bakar!

Kemudian asap berkepul-kepul masuk rumah. Tiada angin malam ini dan asap menguasai setiap penjuru rumah. Aku tenang dan terus mengipas arang.

4,5 minit kemudian asap semakin banyak. Aku kaget, ini tidak boleh dibiarkan. Tapi tak apa, kita kasi can lagi.

Tidak ada tanda-tanda asap akan berkurang, ruang tamu aku dah penuh dengan asap. Alamak! Aku tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku. Ya, aku tidak mahu jiran aku telefon bomba! 

Kau bayangkan betapa kecewanya kalau bomba datang rumah aku, sepak pintu sampai pecah, lepas tu tengok aku tengah bakar ayam. Konfem esok dia pencen jadi bomba.

Lalu dengan drastik aku masuk bilik air capai satu gayung air. Cepat-cepat aku simbah dekat tempat BBQ. Fuh, selesai.

Lepas tu aku ambil kambing dengan ayam, bawak pergi dapur, letak atas kuali.

Sedap juga kambing dengan ayam ni masak atas kuali. Aku makan sambil bersyukur.

Melaka United, bahtera yang timbul kembali?

Arakian tersebutlah kisah sahibul hikayat tenggelamnya bahtera Melaka ke laut liga FAM. Setelah berbondong usaha dan dipelbagaikan cara maka dapatlah memanda bendahara menarik semula bangkai yang tenggelam jauh di Selat Melaka. Meskipun begitu, tidaklah ikhlas usahanya. Kononnya nama Melaka itu tidak lagi gah, tidak lagi sesuai digunapakai dalam arus kemodenan semasa.

“Wahai rakyat sekalian. Melaka yang kita cintai ini sudah jatuh ke tangan Portugis, terkulai layu pada Belanda, dikotak-katik orang Inggeris, hampir dironyok Majapahit pula. Nama kita tidak lagi gah, tidak lagi memberi ngeri pada lawan. Hamba berasa eloklah kita tukarkan nama Melaka ini. Supaya gerun bertandang ke sukma lawan, membuat goyang musuh di depan.”

“Setujuuuuuu!” rakyat Melaka bersorak riang. Ada yang membaling tanjak, ada yang berdondang-sayang, ada juga yang meniup andang.

“Tapi, nama apa kita nak guna Datok?” tanya Orang Kaya Bukit Katil.

“Lahabau! Kita pakai nama Lahabau!” pekik seorang budak kecil bernama Nadim.

“Setujuuuuuu!” rakyat Melaka bersorak riang. Ada yang membaling tanjak, ada yang berdondang-sayang, ada juga yang meniup andang.

Memanda bendahara menggeleng kepala. Ada ke pakai nama lahabau?

“Tidak, tidak. Kita tidak boleh pakai nama lahabau. Kalau mahu juga lahabau, kita guna masa dekat curva nanti buat sorak. Ultrastamingsari sila catit dalam buku nota, takut terlupa nanti.”

“Setujuuuuuu!” rakyat Melaka bersorak riang. Ada yang membaling tanjak, ada yang berdondang-sayang, ada juga yang meniup andang.

“Habis, nama apa kita nak guna? Liga perdana dah nak mula ni datok.” tanya Hang Lekiu.

“Sebenarnya, hamba peminat besar Manchester United. Bolehkah kiranya kita menunggang nama ini, membuat onar di padang, memberi ranjau pada lawan, berbekalkan nama United? Melaka… United. Melaka United. Setuju?” kata bendahara.

Maka gusarlah penyokong Liverpool, monyoklah Chelsea, kecewalah peminat Manchester City. Semuanya tidak setuju tetapi malu-malu untuk bersuara.

Melihat perubahan pada rakyat, cepat-cepat Bendahara berteriak,

“Jika sudah semuanya setujuuuuuu, maka kita tukarlahhhhh nama Melaka ini yaaaaaa. Melakaaaaaa, Uniteddddddd.”

Begitulah serba-sedikit sejarah Melaka United yang kini heboh diperkatakan di liga perdana.

Liga,

perdana.

Liga,

perdana.

Eleh liga perdana je punnnnnnn.