Filsuf kelodan 

Wayan Sudarma yang melayani kunjungan kami ke Bukit Asah tempohari tenang membawa motosikal menyusuri jalan desa.

“Saya lebih senang ke laut, mas.” kata dia.

“Bila ke laut saya jadi senang, mikir sorang-sorang. Kalau dapat banyak ikan, saya lagi senang.”

Aku angguk kepala, walaupun dia tak nampak. 

“Saya faham,” aku balas.

Kemudian dia sambung, 

“Mas tungu aja nanti dalam jam 3 hingga jam 5, selalunya ada meteor.”

Aku kecikkan mata tanda sedang berfikir.

“Kalau saya di laut, dan nampak meteor… Saya akan bergerak ke arah yang dituju meteor. Kepercayaan kami, itu petunjuk untuk arah yang banyak ikan. Dan ternyata benar setiap kali.”

“Waaaaahhhhh,” aku berasa tidak sabar untuk menyaksikan panahan kelodan.

“Memang di sini, itu filsufnya.” 

Ada satu lubang di atas jalan dan Wayan Sudarma pantas mengelak. Dipalingkan muka ke sisi supaya suaranya lebih jelas didengari.

“Mudah-mudahan mas bisa berjumpa meteor ya.” tambah Wayan Sudarma.

 

Bukit Asah, Karangasem

Jalan menanjak ke atas tidak berapa elok. Aku keluar kereta garu kepala. 

“Bisa mas, bisa dibawa mobilnya ke atas,” kata pakcik bawak motor.

Selepas mengucapkan terima kasih, aku bergegas masuk.

“Jalannnnn,” kataku kepada saudara Firdaus yang memandu.

Sampai di ruang parkir, ada yang sudah menunggu,

“Bapak mahu berapa tendanya? Satu tenda seratus ribu rupiah, juga ada kayu api untuk dibakar.”

Dua tenda. Kata Vovin.

Bertemankan bunyi ombak yang menggulung dan memecah di tebing bukit, kejora yang penuh bercacah di atas angkasa, unggun api dan bunyi cengkerik… aku rasa seperti di dalam Red Dead Redemption. Seorang koboi yang berehat dan menanti fajar.

Terima kasih! Untuk semesta yang tinggi di atas dan alam untuk dilestarikan.

 

Kalau bukan Liverpool, siapa lagi yang mahu bantu Rafa?

“Okay, bagus semua buat apa yang Klopp cakap tadi. Cuma korang main terlalu baik,” kata Klopp memulakan bicara ketika rehat separuh masa.

Kemudian Klopp menyambung,

“…cuma Klopp nak tahu, korang tahu tak Rafa Benitez perlukan mata yang banyak untuk kekal di liga ini?” Klopp menyorotkan matanya kepada Milner.

“Errrrrr….” gumam Milner.

Kemudian Klopp memandang Sturridge.

“Saya… Kena kaji dulu,” Sturridge mencapai telefon pintarnya.

“Saya tahu boss, saya tahu!” Kolo meletakkan air sirap yang dibancuh budak milo.

“Rafa sekarang perlukan beberapa mata lagi!” Kolo berdiri dan berkata dengan tegas.

“Bagus, ada juga player yang berotak dalam bilik ni. Jadi, apa yang banyak sangat korang gol?” Klopp menaikkan sedikit suara. Semua pemain Liverpool tunduk melihat lantai.

Klopp menyambung,

“Klopp nak korang bagi dua gol. Klopp nak Rafa dapat at least satu mata. Faham?”

Semua pemain Liverpool mengangguk.

The rest is history.

Adab menerima tamu

Sampai bandara, aku cari teksi. Macam biasa aku mungkin kena tipu tapi inilah adat ke luar perbatasan. Manalah aku tahu berapa sebenarnya harga teksi sini.

Lepas kautim, harga ke tempat penginapan ialah 250,000 rupiah.

Dalam perjalanan, banyak juga pertanyaan dari supir. Aku tipu la mana patut, tak elok jujur sangat takut orang ambil kesempatan.

“Dah banyak kali datang sini,” aku kata.

“Ohhhhh,” kata dia.

Lepas tu dia hidupkan radio, pasang lagu Spoon. Habis lagu Spoon, dia tekan next next next sampai lagu Mahligaimu Dari Airmataku.

Kau bina mahligai, dari air mata… Yang jatuh berderai.

Tak semestinya aku dari Malaysia… kau kena pasang lagu Malaysia braderrrrrr.

Ceramah Thomas Tuchel disekat

Seperti kata rakan saya di Ultrajang, tak manis jika sebuah peristiwa besar dibiarkan dan tidak dipeduli. Kita harus mendidik masyarakat supaya peduli tentang peristiwa besar yang berlaku di sekeliling kerana masyarakat yang peduli, adalah masyarakat prihatin yang menuju ke arah kesentosaan.

Seperti kita sedia maklum, pagi tadi berlaku satu peristiwa besar. Ramai mengaitkan peristiwa malam tadi dengan Istanbul 2005. 

“Ahhhh, manis… Manis sekali.” – kata Ultrajang selepas melihat Aubameyang terduduk ketika tamat perlawanan.

Bagaimana harus saya mulakan? 

Beginilah… Sakho lalai sebanyak 2 kali dan hanyut dalam dunia imaginasinya sendiri. Perkara ini tidak seharusnya berlaku tapi berkat kegigihan dan kepercayaan terhadap magis… Alhamdulilah semuanya berjalan mengikut skrip.

Emre Can bermain dengan begitu yakin namun kemasukan Allen (Xavi Pirlo) yang merancakkan jentera serangan Liverpool. Sturridge memainkan peranan yang sangat penting, melarikan pertahanan lawan ke sudut lain untuk membolehkan rakan-rakannya berkeliaran di dalam kotak penalti.

Tamat perlawanan, Anfield sekali lagi bergema dengan laungan yang menggegarkan seluruh bumi Merseyside hatta Sungai Mersey sekalipun.

Baik, ada lagi 2 perlawanan sebelum Liverpool ke Basel. Semoga dipermudahkan, amin.

 

Senandunggurindam

Tempohari saya dan keluarga ke Tanjung Pinang untuk perlawanan persahabatan jabatan kerja bapa saya. Kerjasama dua hala antara jeti di Malaysia dan Kepulauan Kepri harus terjalin erat dan seperti biasa, medium sukan digunapakai untuk merapatkan kedua-dua pelabuhan ini.

Sebenarnya ini kunjungan saya yang ke-2 ke Tanjung Pinang. Pertama kali ke sini dahulu, pada tahun 2001 melawat saudara-mara.

Pak Kassim, sepupu kepada ayah sudah menunggu di jeti sebaik sahaja kami tiba. Destinasi pertama kami adalah masjid, dan kemudian ke restoran masakan Padang. 

Aduh, enak sekali. Meresap darah minangkabau ke dalam jasad melayu jawa saya.

Sepanjang tempoh 3 hari di sana, saya dapati di Tanjung Pinang ini betul-betul bangga dengan bangsa melayu. Perjuangan Raja Haji dan Raja Ali Haji betul-betul dihayati di pulau Bintan ini. Mereka gemar bergurindam dan berpantun. 3 pantun dari pihak Tanjung Pinang dibalas 3 pantun dari kami. Kemudian dibalas semula 3 pantun yang baru dari Tanjung Pinang. Bayangkan jika pantun-pantun itu dibalas dan dibalas, jam berapa kami akan pulang ke hotel? Mujurlah pihak kami tidak membalasnya kerana ada perkara yang lebih penting dari pantun iaitu tidur.