Catatan yang dicatit

Sebenarnya tujuan aku menulis di sini adalah untuk mencatat. Aku percaya sebuah catatan adalah penting dan setiap huruf yang terpatri di dalam setiap catatan adalah bermakna. Catatan adalah satu bukti yang menunjukkan si pencatat sedang melalui atau sudah mengalami sesuatu peristiwa. Kita tolak tepi fiksyen dan penipuan.

Aku betul-betul berharap di zaman dahulu, ada orang yang mencatat dan meninggalkannya untuk dibaca cucu-cicit. Aku mahu tahu Merong Mahawangsa suka makan apa, aku mahu tahu jurus rahsia Hang Tuah, dan kalau boleh aku mahu tahu lagu apa yang Mahsuri sering nyanyikan ketika mandi di sungai.

Aku mahu tahu setiap maklumat itu walau sekecil zarah sekalipun. Tapi tolong jangan berikan itu semua seperti bentuk buku teks sekolah yang diterbitkan DBP. Bapak bosan.

Tulis, catat, simpan, dan biar orang tahu.

Tapi aku yakin sebenarnya ada yang menulis dan mencatat, cuma banyak tulisan dan catatan itu telah dihapusluput oleh penjajah yang berdiri beratus tahun di tanah ini. Aku tak kira, aku tetap mahu menuduh mereka.

Aku pernah baca di Johor dulu ada piramid dan di puncak piramid itu ada emas. Emas itu ke mana? Dan benarkah ada emas? Benarkah ada piramid?

Nampak betapa pentingnya sebuah catatan?

Nampak?

Baik, masa untuk aku bermain PS4. Untuk anak cicit di kemudian hari, ingatlah… Ketika saat ini, aku (bapamu, atukmu, moyangmu, buyutmu, cakawarimu, cilawagimu) sedang menunggu The Witcher 3 update file habis di download. Di ambang malam merdeka…

Sambil minum kopi.

Penghujung benua

Kami meninggalkan kota kira-kira jam 10:15 pagi. Di bawah sinaran matahari yang mendenting dan pendingin hawa kereta yang lemah, kami memulakan perjalanan dengan berpeluh. Di stesyen minyak, temanku yang bijak membeli aiskrim dan air kegemaranku.

Inilah contoh sahabat yang sensitif dan prihatin.

Vrooom, kereta kami menyusur jalan menuju ke destinasi.

Ketika tiba di Kota Belud, aku sering memerhati ke kanan. Membuatkan temanku, yang lebih senang dipanggil Taliban bertanya, “Ko tengok apa?”

“Kinabalu.” aku balas.

Selepas menoleh ke kanan, dia angguk kepala dan kembali meladeni jalanraya.

Seronok sekali jika menyusur jalan bertemankan pemandangan gunung. Dengan jalan dan desa kecil di kanan kiri, mengingatkan aku kepada pertualangan di Flores. Jika di Flores aku akan sentiasa memerhati Gunung Inerie. Di sini, Kinabalu.

Kinabalu semakin jauh menghilang dari pandangan, dan akhirnya kami tiba di Simpang Mengayau. Sebenarnya sudah lama aku ingin ke sini dan melihat penghujung Borneo yang sering dikata orang.


Puas hati, puas hati. Cuma aku mempunyai beberapa idea untuk meningkatkan jumlah pelancong ke sini. Banyak pelancong maka naiklah pendapatan penduduk tempatan, secara langsung menaikkan prestij negeri Sabah. Akan aku hubungi menteri pelancongan dan berbincang dengannya sendiri. 

Aku sudah membayangkan saat kami berbincang nanti, karipap dan mee goreng sudah tersedia di tepi dinding.

Katarsis di bumi asing

Hari ini aku di Bumi Kenyalang untuk urusan pekerjaan. Sudah menjadi lumrah diriku, segala hal kerja harus ditangani dengan penuh tanggungjawab dan dibuat dengan langkah bijak.

Selepas berjaya menyelesaikan masalah, aku dan rakan pergi makan. Ketika makan kami berbincang tentang hal kerja dan langkah-langkah yang patut dilakukan untuk memastikan kerja menjadi lebih mudah di masa hadapan. Pendek kata, akal kami yang geliga bila digabung pasti mencetuskan sesuatu yang genius. Jika sultan atau raja mendapat tahu, mereka pasti memberikan kami darjah kebesaran. Tapi kalau MB Terengganu dapat tahu… 

Hmmmm.

Berbalik kepada cerita hari ini.

Selepas makan, aku menghantar rakanku pulang ke hotel. Aku nak rehat, penat. Dia kata. Aku angguk tanda setuju. Aku memang jarang geleng kepala.

Kemudian aku meneruskan pemanduan ke lokasi dan destinasi yang dipenuhi kehijauan. Sesuai dengan diriku yang mencintai flora dan fauna, aku berasa senang di sepanjang pemanduan. Ditemani lagu yang aku sendiri tak tahu sebab aku malas tukar siaran, dan alam semulajadi yang hijau melata, aku kelihatan begitu santai memandu si bawah paras had laju. Sifat tenang yang sedang menguasai diriku ini hanya akan hadir setiap kali aku keluar menengok tempat orang.

Dipendekkan cerita, selepas puas menjamu mata. Aku kembali ke bandar. Di dalam perjalanan aku berasa lapar. Untuk mengatasi masalah ini, aku bercadang untuk ke Mom’s Laksa yang dikata orang punyai laksa yang enak. Aku tidak pernah makan di Mom’s Laksa, aku mesti cuba. Aku tidak boleh kalah dengan orang lain yang sudah makan di situ. Aku mahu menjadi salah seorang pemuda yang sudah makan di Mom’s Laksa. Kalau orang lain boleh, kenapa aku tidak? Tambahan, aku lapar.

Lalu aku mencari dengan penuh tekun. Disuruh belok, aku belok. Disuruh terus, aku terus. Terima kasih google maps. Sampai Mom’s Laksa, kedai tutup.

Aku mengetap bibir tanda protes dan pulang ke hotel sambil menyalahkan takdir.

Duran Durian

Tempohari aku berada di satu kawasan yang mempunyai pesisir pantai yang elok. Kedatangan aku ke kawasan tersebut ialah untuk melakukan sedikit pengubahsuaian merangkap melakukan sedikit kerja. Sebaik masuk ke tempat kerja, aku terus bekerja dengan pantas dan tangkas.

Ketika sedang membuat kerja, ada beberapa orang kontraktor lain yang datang untuk melakukan kerja mereka. Aku melemparkan senyuman tanda hormat.

Tidak lama kemudian, datang sorang brader. Biarlah aku menamakan brader ini sebagai Brader K. Brader K bertanggungjawab untuk membantu dan memastikan kerja aku siap. Kami berborak tentang kerja dan keperluan yang perlu disiagakan. Selepas memahami kehendak aku, Brader K angguk dan membiarkan aku menyambung kerja.

Aku dapat merasakan Brader K seorang yang peramah. Sambil melihat aku bekerja, dia berkongsi pengalamannya memasukkan Windows 10 di dalam komputer yang mempunyai spesifikasi sebuah server.

“Banyak kerja, tapi takpala kita buat la slow-slow sampai jadi,”

“Belajaq dari youtube ja. Study study lepaih tu balik buat la.”

Aku hanya mengangguk. Tangan dan kepala aku lebih tertumpu kepada tugasan yang meminta segenap perhatian.

Entah macam mana, mungkin dia perasan aku sedikit sibuk. Dia beralih ke kontraktor-kontraktor yang sedang berdiri di sudut lain.

“Ni, hangpa suka makan durian tak?” tanya Brader K.

Semua angguk dan mereka mula bercerita tentang durian. Segala jenis durian keluar menjadi perbahasan. Musang king, d24, durian bukit, dan entah durian apa lagi semuanya keluar. Perbincangan tentang durian menjadi begitu sengit, masing-masing menonjolkan ilmu durian yang ada di dada. Ada yang kata durian kecil ni sedap, ada yang suruh cari durian bukit, tidak ketinggalan yang menceritakan ciri-ciri durian manis dan berlemak. Masing-masing punyai intipati dan isi kandungan yang bernas. Semuanya membulatkan pendapat yang lain.

Tapi… Geram juga bila fikir aku sorang je yang buat kerja.