Aku dan selipar

Dengan penuh berhati-hati, plastik tebal penuh kualiti itu dipotong mengikut ukuran tapak kaki manusia. Saiz 8. Ditampal di bawahnya tapak yang juga tebal dan diukir dengan rona-rona tajam untuk mencengkam permukaan bumi, baik yang dibalut tar ataupun simen. Dibuat pula lubang dan dilekatkan dengan tali yang bisa melekapkan kaki.

Maka terciptalah sebuah selipar.

Selepas melalui proses saringan kualiti, selipar tadi kemudian dihantar ke sebuah kedai yang menjual barangan kembara di Denpasar, Bali.

Aku masih ingat lagi di petang itu, di bawah sinaran matahari terik Bali, aku berlindung di dalam kedai Consina yang berhawa dingin. Selepas meletakkan motorsikal di tepi jalan, kami masuk ke kedai dan membelek barang.

Entah bagaimana mataku terpaku melihat sebuah selipar berwarna hitam yang begitu elok sekali kejadiannya. Di saat itu aku tahu aku perlu memiliki selipar ini dan memakainya ke mana jua. Aku amat yakin pesona selipar ini mampu memukau mana-mana mata yang memerhati kakiku.


Dengan harga yang sangat berpatutan, aku sudah berjalan ke sana ke mari dengan selipar itu. Katakan sahaja di mana, aku dan selipar itu sudah merantau ke situ. Ke Siam, ke Penang, ke Borneo, ke Kinabalu, ke Ranau, ke Sanur, ke pejabat, ke pasar, ke pejabat ugama dan banyak lagi. Malah sehingga ke jazirah Arab.

Aku benar-benar sudah bersatu dengan selipar itu. Tiada langsung cacat-cela pada dirinya walaupun sudah 2 tahun masa berlalu. Aku yakin kami akan bersama buat seribu tahun lagi. Kisah kami dilantunkan ke seluruh penjuru Nusantara dalam lagu Alleycats,

“Bulan takkan terang
tanpa seri wajahmu,
hati takkan tenang
tanpa kehadiranmu.”

Namun sayang… jodoh kami tidak lama. Beliau (selipar) itu sudah dicuri orang. Kepalababi pundek celaka punai anjing makantaik kimak arrrghhhhh mereput la kau dalam neraka nanti pencuri semoga kaki kau kena lenyek dengan lori 18 tayar.

Lahanat!

Advertisements

Menaik

Melihat wanita yang sedang menyusun nafas di hadapan membuat perasaan aku bersilih-ganti. Di dalam lelah, aku tersenyum melihat dia leka menyaksikan pemandangan di pergunungan. Kepenatan mendaki setinggi 2800 meter benar-benar menguji kudrat, dan masih ada ketinggian 400 meter untuk tiba ke Laban Rata.

“Sakit,” katanya memegang lutut.

Kita rehat dulu, balas aku.

Mendaki ketika musim panas tanpa bekalan air yang mencukupi bukanlah pilihan yang baik untuk aku. Otot-otot kaki yang kejang membuat aku lebih senang duduk sambil makan coklat. Mujurlah kami sudah punyai bekalan air yang diambil di kem Layang-layang. Itupun kerana biduanita di hadapanku ini yang turun mengambil bekalan air. Aku hanya menunggu di simpang jalan antara Mesilau-Timpohon-Laban Rata, menahan peha yang kejang.

“Jom,” katanya.

Aku mengekor dan melihat dari belakang perempuan di hadapanku menongkah Kinabalu sedikit demi sedikit. Tidak lama kemudian kami selamat tiba di Laban Rata, dan masih ada 800 meter pendakian ke Low’s Peak.

Hari ini, 34 hari lagi kami akan diijabkabul. Memanjat pelamin bersama pastinya menjanjikan satu lagi cabaran buat kami berdua.