Bantu membantu amalan mulia

Khairul terkedu. Permintaan temannya untuk membawa isteri bersama ke China agak berat untuk dipersetujui. Namun atas dasar kawan, dia mengangguk.

“Bolehlah,” kata Khairul kepada Ikram.

Ikram gembira bukan kepalang. Hasrat hatinya untuk ke China bersama isteri akhirnya tercapai. Sudahlah dia tidak mengeluarkan modal, malah dapat berjalan jauh melihat cupak gantang negeri orang. Perkhabaran ini lantas diberitahu kepada Intan, isterinya yang sedang menunggu sambil tersenyum. Mereka sudah bersedia untuk kecewa namun apalah salahnya mencuba. Untung sabut timbul, untung batu…

Pada tarikh yang dijanjikan, Khairul, Intan, dan Ikram terbang ke China. Segala perbelanjaan ditanggung Khairul. Khairul tidak kisah kerana baginya manusia yang mahu berjaya perlu berani berbelanja dan mengeluarkan modal. Setidaknya inilah kata-kata perangsang oleh pakar motivasi tersohor.

Di China, mereka bertiga berjalan ke gedung-gedung yang menjual kain murah. Khairul menunjukkan kepada Ikram lokasi dan tempat khas untuk membeli kain. Kain yang dibeli nanti akan dibawa pulang ke Malaysia, dipotong dan dijahit menjadi baju kurung, kebaya, tudung, baju kelawar, dan lain-lain. 

Khairul sudah membuat rencana yang rapi. Keuntungan antara mereka akan dibahagi sama-rata. Walaupun Ikram tidak mengeluarkan modal dan tidak tahu berniaga serta tidak mempunyai mata pencarian tetap, Khairul sudah maklum dan bersedia untuk membantu temannya. Bagi Khairul, semangat setiakawan adalah lebih terutama. 

Mereka pulang setelah selesai membeli-belah dan berjalan di Tanah Besar. 

Segala persiapan dilakukan. Aidilfitri bakal menjelang dan ini adalah masa yang baik berniaga pakaian wanita. Wanita memang dicipta untuk berbelanja dan wanita jugalah punca Leornado Di Caprio berlakon filem Blood Diamond.

Aidilfitri menjelang, dan gerai mereka akhirnya tamat berniaga. Khairul dengan senang hati melihat saki-baki barangan yang ada pada mereka. Khairul percaya dengan bilangan ini, wang yang mampu diraih mereka adalah lebih kurang 15,000 ringgit. Itupun setelah ditolak dengan modalnya. 

Namun Ikram yang dipercayai sepenuhnya oleh Khairul berkata banyak barangan yang tidak terjual. Ikram menunjukkan sedikit duit yang ada kepada Khairul. 

Khairul terkejut. 

Khairul berkerut. 

Khairul hairan. 

Khairul… 

“Ini je duit yang ada, Khairul.” kata Ikram dengan wajah sugul.

Khairul tersenyum dalam duka. Dia tahu apa sebenarnya yang terjadi.

Tiga bulan kemudian Ikram sentiasa berulang-alik ke China. Alhamdulilah berkat usaha dan niat suci murninya menjual pakaian yang mematuhi syariah membuahkan hasil. Bermodalkan sedikit wang yang dicarinya dengan usaha sendiri, beliau kini berdiri sama tegak dengan Menara Kuala Lumpur. 

Dicanangnya ke seluruh dunia beliau kini sudah berjaya dan tahu seelok-belok urusan perniagaan. Siapa yang mahu belajar dengan beliau, silalah tampil ke hadapan jangan malu jangan segan.

Nakhoda pelayaran rumahtangga

Tempohari adalah hari perkahwinan aku. Isteriku yang begitu cantik berkerudung biru lembut menunggu kehadiranku yang datang dengan rombongan dari Johor sambil tersenyum. Sebelum mampir ke laman rumah, kami sempat menjual beli pantun sesuai dengan iklim perkahwinan di semenanjung kencana ini.

Selepas makan, kami melayan kunjungan hadirin yang datang dan tidak pernah putus senyuman di bibir. Aku selaku pemuda yang mempunyai wajah kuning-langsat-tetapi-sedikit-terbakar juga menunjukkan kualiti tersendiri dengan membuatkan semua hadirin yang datang terpesona dengan seri pengantinku.

Hari itu, 10 Disember 2016 adalah hari yang tidak akan pernah aku lupakan. Ya, hari itu adalah hari aku senyum dari tengahari sampai petang.

Penat juga.

Bulan tidak bermadu di Sri Serdang

Hari ini tidak seperti hari-hari yang lain. Hari ini saya mula bercuti panjang untuk sebuah urusan yang mendebarkan. Urusan ini adalah titik pemula kepada sebuah tirai kehidupan yang lain.

Jadi pada hari ini saya bangun agak lewat daripada kebiasaan. Ketika orang lain berpusu-pusu ke pejabat, saya masih dibuai enaknya bayu dingin yang bertiup dari pendingin hawa. Saya bangun lantas bersiap untuk ke Sri Serdang. Saya perlu ke sana kerana ini adalah sebahagian daripada perkara yang perlu diselesaikan untuk menghadapi urusan besar nanti.

Kendatipun terik denting matahari membakar lengan namun saya tenang ditiup sepoi-sepoi khatulistiwa dan menuju Sri Serdang sambil menyanyikan lagu-lagu keroncong. Adakala saya bersiul menandakan hati saya berdetak dengan benar-benar penuh kegirangan.

Sesampainya di kedai tersebut, saya mula berbincang, tawar-menawar dan membulatkan pendapat antara saya dan pekedai. Alhamdulilah kami sepakat dan urusan ini dijalankan dengan penuh muhibbah. Sambil menunggu pekedai membereskan permintaan, saya kembali mengkeroncongkan hati yang masih dihembus aura kegembiraan.

Namun sayang ketika urusan telah selesai, pekedai itu tiada wang kecil untuk dikembalikan kepada saya. Mujurlah saya memang terkenal sebagai manusia berhati bersih. Saya lantas menawarkan untuk membeli sesuatu di kedai sebelah supaya dapat memberi wang kecil.

Saya langsung keluar menuju ke kedai buah-buahan dan membeli manilkara zaporta atau lebih mudah dipanggil buah ciku. Kemudian kembali ke kedai dan menyelesaikan jual-beli.

Di bakul motor, saya punyai buah ciku yang segar dan amat enak dimakan ketika cuaca panas. Sambil menunggang, saya memasukkan satu-persatu potongan buah ciku ke dalam mulut. Begitu nikmat sekali hidup ini dan sempat saya berfikir adakah firaun di zaman silam pernah makan buah ciku ketika berkelana di tengah gurun.

Anda pernah makan buah ciku di atas motor?