Jurnal merentas bumi: Prolog

Ketika sedang membelek buku-buku usang yang terdapat di almari, mata aku tertangkap pada satu kitab. Aku membelek halaman yang terdapat pada kitab itu dan bebola mata aku menari di satu ayat. 

Buya Hamka menulis, kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. 

Semangat aku meluap-luap, seperti letusan Tambora yang pernah menggoncangkan hemisfera timur. Nadi aku bergerak sepantas halilintar yang membelah atmosfera. Aku tidak mahu jadi babi. Aku mahu mempunyai hidup yang penuh jasa dan sensasi.

Lantas aku mengepam tayar basikal. Basikal yang aku beli hasil dari pinjaman PTPTN ketika zaman belajar tersisip rapi di dinding rumah. Aku menggantung basikal ini di dinding supaya aku akan sentiasa mengingati bahawa aku pernah berazam untuk meneroka dunia.

Selesai mengepam tayar, aku mengisi botol air. Air yang datang dari mesin Coway ini amat berharga sekali. RM125 sebulan tidak termasuk bil air dan api.

Kemudian aku lipat baju dalam 3, 4 helai. Dengan penuh kemas aku meletakkannya dalam beg yang boleh digalas di belakang.

Kayuhan bermula. Destinasi pertama aku ialah kedai mamak. Aku perlukan tenaga untuk mengayuh basikal mengelilingi dunia. Dan bagiku nasi goreng ayam adalah sebaik-baik tenaga.

Advertisements

Kari kepala kerapu

Sudah dua hari aku berulang-alik ke Saujana Putra. Malam ini selesai makan aku pulang ke Sekembang. Badanku lesu dan aku memilih untuk diam dan berfikir.

Namun isteriku mempunyai pandangan yang berbeza.

Dia kerap bertanya adakah aku baik-baik sahaja.

“Sayang okay?”

“Ngantuk ke?”

“Diam je? Penat eh?”

Kesemuanya aku balas dengan berdehem. 

Dia seperti tidak puas hati dan cuba mengorek sebuah rahsia yang tersimpan di dalam buah pemikiranku.

Kalaulah dia tahu, sebenarnya aku sedang mencongak strategi untuk menembak musuh dalam The Division.

Tiada lagi ragu yang membisu untuk Zharif

Hari ini kami ke Sandakan kerana Zharif akan berkahwin. Zharif, teman yang sentiasa menemani aku bertualang akhirnya menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan dari timur Borneo. 

Banyak detik manis dan pahit ketika keluar negara bersama Zharif. Pengalaman dikejar anjing buas, bertumbuk di bar, makan pulut ayam dalam van ketika ke Phuket, hisap rokok di tengah gerabak keretapi dan banyak lagi.

Namun pengalaman di Koh Phi Phi adalah saat yang paling aku ingat. Ketika melihat pertunjukan api, pemilik bar menaikkan kertas bertulis “free beer if you cross naked” merujuk kepada tali melintang yang harus dilintas dengan membongkok ke belakang. 

Tidak semena-mena Zharif menanggalkan semua pakaiannya dan ke tengah gelanggang. Aku hanya mampu mengucap di tengah-tengah khalayak yang bersorak. Aku berdoa tidak ada rakyat Malaysia yang merakam perbuatan dia dan menghantar video kepada The Vocket. 

Selaku seorang teman sejati, aku memapahnya pulang ke bilik. Di sepanjang perjalanan dia banyak menjerit “Hidup rakyat! Kebenaran tidak akan pernah mati!” Mungkin inilah kesan sampingan jika anda banyak membaca Wiji Thukul dan mabuk.

Begitulah sedikit kisah hidup bujang Zharif. Hari ini dia sudah bergelar suami orang. Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk mendoakan supaya Zharif menjadi nakhoda yang mampu menaikkan jangkar ketika bahtera sedang berlabuh dan menurunkan layar untuk membelah samudera luas terbentang.

Aminnnn.