Pelayaran kudus dan melihat dengan mata hati

Selepas makan, aku duduk santai melihat bintang yang bertebaran di langit malam. Sepanjang hidup aku tidak pernah melihat bintang yang sebegini banyak. Kapal yang aku naiki ini tidaklah terlalu besar. Tidak ada ruang untuk bersendiri menyepi dan melayan perasaan yang dibawa angin Laut Flores.

Kapal ini telahpun menjatuhkan jangkar dan terapung di selat sempit di antara Pulau Komodo dan Pulau Kalong. Ada 2 buah kapal lain yang juga melabuhkan sauh di sini. Dalam samar-samar aku dapat melihat lampu yang datang dari kapal itu.

Malam masih muda dan aku tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Namun aku senang begini. Kiri dan kanan gelap, sesekali kapal dilanggar ombak, di atas pula berhamparan bintang kejora dan dingin angin yang mencengkam membuat tubuhku ingin berlindung di celahan tubuh wanita seperti lirik lagu Iwan Fals,

“Hangat tubuhmu, melekat dikulitku,
beribu peluk, beribu cium, kita lalui.”

Orang-orang yang bersamaku melayari Laut Flores sedang rancak berborak. Ada seorang pemuda kelahiran Inggeris sedang dihentam soalan demi soalan dari teman-temanku. Soal apa yang dilakukannya untuk hidup hinggalah ke soal bolasepak inggeris. Pemuda mancanegara ini mengatakan dia berasal dari Middlesbrough dan menyokong Boro dalam kancah bolasepak. Alangkah rugi hidupnya. Bukankah lebih elok jika dia menyokong Liverpool.

Kemudian dia menyentuh soal pekerjaan dan para teman sekerjanya. Dan tiba-tiba tentang agama. “I wonder why muslims must pray 5 times a day? They will get tired easily. I dont see any point to pray for 5 times a day.”

Aku ada jawapan untuk soalannya tapi aku malas. Mamat kepala botak ni mesti bebal dan tidak mahu mengaku kalah dengan mudah. Aku takut sengketa antara kami akan berakhir dengan tragedi. Lagipula aku adalah seorang yang gagah perkasa. Sudah pasti dengan mudah aku membenamkan kepalanya ke dalam air, mencincang tubuhnya dan diberi makan jerung-jerung di tengah laut.

Lantas aku memilih jalan penyelesaian yang lebih mudah iaitu tidur. Esok aku kena bangun awal tengok biawak.