Iyakan sahaja

Ketika sedang dalam perjalanan menuju lena, isteriku bertanya apa yang aku mahu makan untuk sarapan esok.

Aku jawab, roti.

Di dalam mamai dia bertanya “telur rebus?”

Haah. Balasku. 

Apa yang penting dia lekas tidur. Aku mahu hidupkan PS4.

Advertisements

Makcik!!!

Majlis perkahwinan Zharif akan berlangsung petang ini. Maknanya aku dan isteri mempunyai waktu senggang untuk bersiaran di pekan Sandakan. Kami memilih untuk ke pasar dan kemudian ke Sepilok untuk melihat hidupan dan tumbuhan liar.

Sesampainya di pasar, aku mampir ke satu-satu gerai untuk melihat hasil laut yang dijual. Ibu pernah memberi pesan, jika ikan itu sudah lama, matanya akan berwarna merah. Namun di pasar ini tidak ada satu pun ikan yang bermata merah. Aku membuat kesimpulan kesemua ikan di sini baru sahaja ditangkap dan dinaikkan ke darat.


Kemudian kami mendekati seorang makcik yang menjual ikan. Isteriku bertanya kepadanya berapakah harga untuk ikan-ikan ini. Makcik yang di dalam lingkungan 50-an itu menjawab RM5 untuk 100gram.

Aku hanya mengangguk-angguk sambil melihat ikan… errrr… entahlah apa namanya ikan itu.

Tiba-tiba datang seorang wanita di sebelah kami. Berdasarkan gaya lenggok bahasa, dia adalah warga tempatan. Wanita itu bertanya kepada makcik, harga ikan yang sama dengan isteriku tanyakan tadi.

“100 gram, RM4.” katanya tanpa mempedulikan kami yang masih berada di situ.
Ketika itu darah aku meluap-luap untuk mempraktikkan ilmu karate yang telah aku tuntut. 

Kot ya pun makcik, tunggulah aku jauh sikit. Jenis tak jaga hati langsung.