Dangdut not dead

Selepas cukup melacak dan memahami susur-galur budaya dan persuratan nusantara, aku membuat kesimpulan bahawa kita akan menjadi lebih maju dengan menyemarakkan irama dangdut. Nampak lucu namun dangdut punyai kekuatan sakti yang boleh menolak kemampuan bangsa dengan lebih jauh dan bertenaga.

Kau pernah dengar dangdut lepas tu rasa nak tidur? 

Dengan dangdut kita berasa segar. Dengan dangdut kita lebih bermaya. Dangdut membuat kita lebih bertenaga dan secara tidak langsung deria otak akan menghantar isyarat ke saraf-saraf untuk menjulang tangan ke udara dan bergelek tari mengecap gembira.

Irama dangdut seharusnya dimainkan di corong-corong radio, di perhimpunan awam, kantin sekolah, stesyen LRT, dan di mana sahaja yang bunyi boleh melantun.

Dangdut membuat kita lupa adanya seorang jejaka jambu yang sering melontarkan pandangan intelek di media sosial. Hidup dangdut! 

Dangdut menganjurkan cinta dan sering membangkitkan sensasi. Aku tidak pernah mendengar lagu dangdut yang menyebarkan kebencian. Kesemuanya berkisar tentang cinta dan nasihat. Hidup dangdut!


Memetik Jamal Mirdad dalam Cinta Anak Kampung, 

“Kalau cinta sudah melekat, gula jawa rasa coklat.”

Di sini kita dapat melihat dangdut adalah rentak yang mengajak kita berkasih dan menyantuni sesama manusia.

Aku berharap sedikit masa lagi cendekia-cendekia melayu akan mengkaji potensi dangdut untuk dijadikan senandung utama negara ini dan kelab dangdut tumbuh kembali seperti cendawan. Di masa itulah nanti kita akan mula bertolak menuju tahap yang kita impikan selama ini. 

Advertisements