Rempit bertopengkan syaitan

Di satu petang damai yang penuh dengan keindahan langit mega, aku joging.

Selepas memakai pakaian yang mengikut syariah, aku menyalakan api keazaman dan mula berlari. Seperti yang kita tahu, jalanraya di negara ini tidak mesra joging. Ada sahaja kenderaan yang tidak peduli dan tidak mengambil jarak selamat dengan orang yang menyusur di tepi jalan. Namun ini bukanlah rintangan besar bagiku.

Aku meneruskan larian dan kini berlari di dalam taman yang bersusun rumah teres. Agak tenang suasana di taman ini. Larianku kini penuh sentosa atau lebih dikenali aku dah penat.

Entah dari mana tiba-tiba datang satu motor besar,

Prangggggggggggggggggg!

Terkejut sungguh aku. Mujurlah aku tidak melatah. Anak haram mana la sengaja bakar minyak bila lalu sebelah aku, tidak semena-mena aku mendoakan dia mati tepi jalan dan masuk neraka.

Kemudian aku kembali leka dalam larian. Aku tidak harus peduli dengan rempit itu. Biarlah dia mereput di tepi jalan tanpa ditolong orang, doaku lagi sambil memandang langit.

Tidak lama kemudian aku melihat dari kejauhan mat rempit yang membuat bising itu tadi sedang menolak motor. Sah, motornya rosak. Padan muka kau. Masa lalu sebelah dia, aku buat muka kerek dan senyum.

Kurus la ko tolak motor tu syaitan!

Advertisements

Run for fun (lemang)

Hari ini aku terpaksa beriadah. Musim perayaan yang sedang melanda membuatkan badan aku semakin kembang. Walaupun aku sudah sediakala mempunyai saiz perut yang agak maju, namun aku sentiasa menganggap diriku seseorang yang berbadan langsing dan punyai perut tegap.

Selesai memakai kasut dan melakukan regangan otot, aku menyalakan aplikasi di telefon pintarku. Aplikasi ini membantu aku merekodkan sejauh mana aku berlari dan berapa banyak kalori yang terbakar. Aku harap orang yang membuat aplikasi ini masuk syurga.

Beberapa minit kemudian, aku sudah boleh dilihat berlari di atas jalanraya. Menyusuri perumahan dan tepi longkang, aku dilihat begitu bergaya melakukan larian. Harus diingat aku pernah memenangi acara pecut 100 meter di kalangan rakan setaman. Larianku begitu kencang dan temponya rata. Tiada tanda-tanda aku akan penat, riak wajahku tenang seperti Usain Bolt. Sayangnya 300 meter selepas itu aku sudah berjalan sambil memegang dada.

Selepas berfikir, aku menyalahkan rendang ayam dan lemang. 

Kendati begitu, aku tidak patah semangat. Seinci demi seinci, meter demi meter, kilometer demi kilometer, akhirnya aku berjaya menamatkan larian dengan sebuah jarak yang tidak boleh aku beritahu di sini.
Malang seribu kali malang, ketika mahu menaiki tangga ke rumah, aku terbau jiranku memasak serunding kelapa. Aku amat pasti dan yakin ini adalah serunding kelapa kegemaranku sejak kecil.

Walaupun baru sahaja habis berlari dan berazam untuk langsing, aku kini mengidamkan lemang yang dipasangkan serunding kelapa. Aduh… enak sekali.