Masa itu kencana

Hampir setiap kali berkunjung ke gerai/warung/restoran milik bangsa melayu, saya akan menghadapi masalah besar yang agak sukar dibawa berbincang. Urat di leher menjadi tegang, penumbuk akan dikepal. Perasaan untuk mengangkat kaki ke udara dan melayangkannya ke muka seseorang akan membuak-buak.

“Ada duit kecik bang?”

“Besarnya duit bang.”

“Alamak bang, abang datang balik nanti boleh?”

“Tak cukup duit la bang. Abang amek goreng pisang lagi RM2 boleh?”

“Kejap bang, saya pergi pecahkan duit.”

Mengapakah senario ini terjadi berkali-kali? Di manakah jatidiri dan naluri sebagai seorang peniaga yang pernah menyala dan membara di dalam dirimu? Bukankah menyenangkan proses jual-beli adalah antara perkara mustahak yang perlu diutamakan? Kalaupun anda tidak masuk maahad tahfiz, bukankah ketika subjek Pendidikan Islam ada menyentuh sedikit tentang muamalat? Takkanlah cikgu Kemahiran Hidup anda sekadar mengajar buat rak pinggan?

Hasil bancian yang telah saya jalankan, 90% orang bersetuju untuk menumbuk meja sebagai tanda protes jika peniaga tiada wang kecil. Lagi 10% pula mungkin terdiri dari mereka yang suka menyebarkan info dan gemar berbincang isu semasa di laman twitter. Entahlah siapa.

Akhir kata, saya berharap supaya adanya drama bersiri jam 7 malam yang akan menyiarkan kisah betapa pentingnya menyediakan duit kecil ketika berniaga. Di dalam drama bersiri itu pula, saya berharap heronya akan membunuh semua peniaga yang ingkar. Mungkin dengan menembak bazooka ke kedai tersebut, atau mungkin dengan sebutir peluru dari Desert Eagle .50 kaliber tepat di dahi.

Barangkali, hanya dengan cara ini kita akan berjaya menyedarkan golongan yang sedang kita bincangkan.

Advertisements

Tidak ada kena mengena dengan sebuah badan percetakan yang mahu menyaman Neon Berapi

Angin yang bertiup dari puncak gunung Nuang datang membelai rambutku perlahan. Walaupun rambutku semakin menipis namun aku masih dapat merasakan helai demi helai melambai ditiup angin.

Selepas melakukan sedikit regangan otot, aku dan isteri mula berjalan mengikut denai. Aku memang sengaja memakai baju tebal demi untuk berpeluh. Peluh yang banyak menjanjikan kebakaran lemak yang tinggi, fikirku.

Selepas berjalan dua jam, kami tiba di Lolo. Seperti kelaziman, aku akan mengeluarkan makanan dan makan di tepian sungai. Sambil kaki dilunjurkan ke dalam dingin air yang datang dari banjaran, aku menikmati setiap suapan. Ditemani isteri tercinta disisiku, indah sekali saat itu.


Setelah berada agak lama di situ, kami mula berkemas untuk pulang. Memang tidak ada rancangan untuk ke puncak gunung kerana masih tiada kekuatan fizikal. Kali terakhir naik ke puncak Nuang, otot badanku sakit selama seminggu. Ha ha ha.

Di perjalanan pulang, kami bertembung dengan rombongan sekolah entah dari mana. Ramai juga bilangan gerombolan ini. Aku kira-kira mahu dua bas, jika satu bas, pasti ada yang duduk di riba kawan. Rata-ratanya ceria dan menyapa kami berdua. 

“Morningggg.”

“Selamat hari Malaysia bang!”

Kemudian mereka bergelak sesama-sendiri. Alangkah ceria dan menggembirakan perilaku mereka, mengingatkan aku kepada zaman remajaku yang lincah dan periang.

Namun ada satu soalan dari seorang budak yang badannya agak gempal, sambil memegang botol 500ml, airnya hanya tinggal sedikit. Soalan ini membuatkan hatiku sedikit bergetar dan sayu memikirkan nasibnya kelak.

“Bang, lagi berapa lama mahu sampai?”

Masih ada satu jam lebih untuk dia sampai Lolo.

“Alamakkkk!” aku jawab.

Gata

“Harini air laut gata.”

Aku angguk tanda setuju sambil melihat dia mencuci bot. Brader bot mengambil kesempatan untuk mencuci bot mereka ketika wisatawan sedang enak berehat di pantai.

Tiba-tiba isteriku mampir dan brader bot mengulang kembali ayatnya.

“Harini air laut gata.”

“Haaa?” Isteriku tidak memahami loghat Kelantan beliau.

“Gata, gata.” kata brader bot sambil menggaru tangan. Aku hanya mampu tersenyum.

“Ohhh gatal…” 

“Haa, gata.”

Brader bot berasal dari Bangladesh, agak sukar untuk menangkap loghat kelatey beliau.

“Kalau dekat KL cakap lain, dekat sini lain. KL pakai gatal, sini gata.” sambung brader bot.

Geram je aku bila dia bersungguh memberi keterangan. 

Ohhhh Perhentian


Sudah 2 kali aku pergi ke Perhentian. Aku sukakan Perhentian kerana suasana dan pilihan yang ada di sini. Aku boleh tidur, snorkeling, makan, tengok laut, tengok orang, berenang bersama penyu, mendengar manusia berborak dalam loghat Kelantan, melihat mentari terbit, suria tenggelam, dan banyak lagi. Kali ini aku tidur di Perhentian Besar dan pergi bersama isteri.

Aku gembira melihat isteriku teruja melihat deretan ombak yang memecah di gigi pantai. Dengan tiga tona warna yang berbeza di permukaan air, Perhentian menyajikan kelestarian laut yang tidak jemu dipandang. Alfonso d Albuquerque pernah berkunjung ke sini dan menggelar Perhentian sebagai bunga di lautan. Jangan kau percaya pula sebab aku reka sahaja.

Antara perbezaan ketara Perhentian Besar dan Perhentian Kecil ini sebenarnya pada harga makanan. Kalau di Perhentian Kecil, aku tanpa berfikir panjang akan memakan udang goreng tepung untuk diri sendiri. Di Perhentian Besar, terkedu juga aku nak makan untuk dua orang.


Pagi tadi aku dan isteri sempat melakukan trip snorkeling. RM50 seorang dan kami ke Shark Point, Coral Point, makan di Kampung Perhentian, Turtle Point dan Turtle Beach. Alhamdulilah kami ditemukan dengan jerung, ikan-ikan yang bermain di karang, penyu dan mak penyu. Kami juga berjumpa dengan Thomas Muller sedang memanjat batu di tepi pantai. 

Dan yang paling mencuit hati, ada seorang laki-laki menangkap gambar kawannya sedang memegang cermin mata hitam dan menjulangnya ke atas dengan tangan kiri lalu memandang pasir.


Esok adalah hari terakhir kami di sini. Akan kembali ke tanah semenanjung dan kembali ke ibu kota yang dipenuhi pergelutan dan kegelisahan. Sebelum itu aku berkira-kira untuk singgah membeli keropok lekor, sata, dan ikan patin. Jangan kau sibuk nak kirim pula.