I wish I can be truly happy someday

Terjemahan:

Semoga satu hari nanti aku akan menjadi kaya tanpa usaha, mampu membeli kapal layar milik Jho Low, berlayar ke seluruh dunia, menikmati saujana pulau yang mempunyai pesisir pantai putih dan air yang punyai tiga tona warna utama (biru gelap, biru muda, hijau cair), singgah di Monaco untuk berjudi, ke Liverpool untuk tangkap gambar di hadapan Anfield dan mentertawakan peminat lain yang belum pernah sampai, pulang ke tanahair ke dakapan isteri tercinta yang menunggu di sebuah banglo moden yang hanya punyai 5 bilik utama (master bedroom, bilik untuk anak, bilik anak ke-2, perpustakaan persendirian dan gimnasium), kemudian bersiar-siar ke kota dengan menaiki kereta mahal, membuang puntung rokok ke tepi jalan, dan banyak lagi perkara yang tak sempat aku fikirkan kerana masa untuk aku tidur sudah tiba. Kejap lagi bangun sahur. Aku berhajat untuk bangkit dan memasak telur mata sambil memanaskan ayam percik yang dibeli di bazaar tadi.

Selamat malam.

Sayap rakyat yang tidak akan berhenti mengepak

Aku dah mengantuk, aku tak kira, aku nak tidur jugak. Tepat pukul 2 pagi aku masuk tidur.

Jam 6:15 pagi aku memulakan perjalanan diiringi berita kemenangan rakyat jelata yang dipelopori Tun M, seorang insan yang dikagumi dan tersohor di pelusuk dunia.

Inilah kali pertama aku sampai ke Wang Kelian. Berkabus tebal juga tempat ni. Sudahlah tiada liputan telefon bimbit.

Caltex Wang Kelian hanya buka pada jam 8 pagi, kami terpaksa menunggu untuk mengisi minyak. Dah masuk Siam, mahal pula minyaknya nanti.

Lepas tuang minyak aku perlahan-lahan ke pintu sempadan. Pegawai imigresen Malaysia mengecop pasportku dengan senyuman penuh lebar, tanda gembira dengan kemenangan rakyat. Aku membalas senyumannya dengan sengihan manja.

Sampai imigresen Siam, aku hulur pasport, banyak kali dia ulang,

“Mahathir suk-suk! Mahathir suk-suk!”

Aku sengih.

“Mahathir suk-suk! Mahathir suk-suk!”

Aku angguk.

“Mahathir suk-suk! Mahathir suk-suk!”

Aku mula berkerut.

“Mahathir suk-suk! Mahathir suk-suk!”

Suk-suk ni binatang apa?