Sebuah puisi tentang aku dan malam hari

Semalam,

ketika dinihari berkunjung tiba,

ku melangkah menuruni kondominium mewah rumahku penuh bergaya,

aku meregangkan kaki sebagai permulaan untuk berlari,

jiranku melihat dari tirai jendela,

memandang penuh waspada,

bercampur khuatir,

padanya aku adalah orang yang ingin berbuat onar,

aku tidak mengendahkan pandangannya,

dan memulakan langkahku,

ke kanan ke kiri,

ke kanan, ke kiri lagi,

berlari, dan berlari.

Ketika sampai di tempat permulaan,

aku melihat jiranku keluar dari rumah,

dan memeriksa penuh rapi penuh teliti keretanya yang mahal,

aku tersenyum,

dan kakiku meneruskan langkah,

ke kanan ke kiri,

ke kanan, ke kiri lagi.

Malam ini,

aku mahu ulang berlari ,

dan berharap jiranku tidak khuatir lagi,

kerana aku…

bukanlah…

orang jahat,

ataupun orang minyak.

Advertisements

Sebuah pendapat: Cantik Itu Luka

Aku membeli buku ini ketika berkunjung ke Bali pada 2016 dan setelah isteriku berkata,

“Dah dua tahun I tengok you baca buku ni, dah dekat nak habis pun.”

Di dalam hatiku, “Salahkan The Division, FIFA dan Fortnite.”

beauty-is-a-wound-indonesian-cover

Akhinya aku habis membaca Cantik Itu Luka yang ditulis Eka Kurniawan. Seperti novelnya yang lain, Eka amat gemar bermain dengan plot yang bertukar secara tiba-tiba dan tak disangka serta pada pendapatku, sebuah nista.

Apabila aku membaca sedikit demi sedikit, minda aku akan berasa penuh dengan perkara-perkara kotor dan jijik. Ya, inilah Eka Kurniawan yang aku kenali. Namun perkara-perkara kotor inilah yang membuatkan mindaku menjadi semakin ghairah untuk membaca. Seolah aku menjadi orang tidak waras dan kemudian mendalami watak-watak itu dan mahu melakukan perkara-kara yang jelik itu.

Cantik Itu Luka berjalan dengan tepat di atas sejarah Indonesia dari zaman kolonial, penjajahan Jepun, pemberontakan, kebebasan, komunis, dan selepasnya. Pembaca akan dapat mengenali sedikit lipatan sejarah yang terjadi di Indonesia. Aku suka cerita yang berjalan merentasi era dan memasuki era yang lain.

Pendek kata, Cantik Itu Luka dipenuhi tragedi, nista dan kasih sayang. Sepertimana yang kita tahu, kasih sayang dan percintaan yang rumit itu terlalu sukar untuk diperjelaskan. Di penghujungnya, kita manusia ciptaan Dewata Mulia Raya adalah insan yang perlu dikasih dan berkasih.

Salam Ramadhan yang ke 21.