7.7, Sulawesi Tengah

Hatiku bak sutera,
yang terapung di udara,
dan terbang hilang ke angkasa,
melangkaui lembah dan gunung.

Jiwaku bak kelodan,
yang meluncur di atmosfera,
dan terbakar di udara,
melongsor turun dari kejora.

Dan setiap bintang yang malap,
di hujung dermaga,
di gigi pantai,
di saat melihat jiwa yang tewas.

Bertabahlah. Palu dan Donggala.

Kita sentiasa di tengah-tengah,
Di antara malapetaka, dan kehidupan seterusnya.

Hari ini. Dan sekeping doa.

Hari ini aku keluar makan tengahari dan pulang ke opis dengan niat ingin membeli goreng pisang. Niat aku baik, untuk buat boss sejuk hati bila aku masuk lambat sambil membawa bungkusan makanan.

Di tepi jalan, ketika sedang menunggang motor, aku nampak seorang wanita di dalam lingkungan 50-an sedang menolak troli. Di dalam troli ada kotak, kertas dan tin-tin yang sudah terpakai. Di bawah panas matahari, dia menolak troli itu bersama seorang lagi anak kecil di dalam lingkungan 9-11 tahun. Anak kecil itu duduk di dalam troli.

Sampai di gerai, aku beli goreng pisang dan keropok lekor. Kemudian aku bergegas ke motorsikal.

Ketika mahu menghidupkan motor, makcik yang aku nampak tadi berada di tepiku.

Aku sedih. Wanita seusia ibuku menolak troli mencari barang-barang terpakai untuk dijual.

“Makcik, cari apa?” Aku bertanya sesuatu yang sudah diketahui jawapannya.

“Cari botol-botol dengan tin nak, dengan kotak kertas.”

Aku sebak. Dan mencapai dompet, untuk aku hulurkan sedikit wang kepadanya.

“Tak apa nak, tak apa. Makcik boleh cari sendiri.” katanya sambil berlalu pergi.

Aku buntu. Namun aku harus menghormati pendiriannya.

Kemudian aku berlalu dan mengucapkan supaya dia berhati-hati menolak troli. Dan juga sekeping doa supaya anak kecil itu mampu untuk hidup sejahtera di masa mendatang dan membalas jasa.

Padi?

Adik aku yang dulu duduk dengan aku tapi kemudian pindah JB call tadi. Aku dapat rasakan dia berada di sekitar Lembah Klang. Kalau tak, untuk apa dia telepon?

Tapi aku tak sempat jawab.

Aku call dia. Dia pulak tak jawab.

Kemudian dia call aku semula.

Aku jawab.

“Bang, aku nak makan ni, kedai Padi tu dah tutup ke?”

Kedai Padi mana pulak ni setannnn?

Malam pertama di Ubud.

Selepas makan malam, aku dan isteri berjalan pulang ke hotel. Hotelku terletak di Jalan Bisma, kira-kira 700 meter dari tempat kami makan. Dalam perjalanan, aku singgah untuk membeli kopi sebagai bekalan sebelum tidur.

Masuk di kedai serbaneka, aku nampak ada orang Malaysia sedang mencari-cari, mungkin air mungkin biskut. Entahlah.

Aku tidak mempedulikan mereka kerana aku malas bercakap dengan orang tidak dikenali. Tapi aku dapat mendengar mereka menyapa isteriku dan mula berborak.

“Seronoknya jumpa orang Malaysia dekat siniiii. Haiiiii.” kata salah seorang daripada mereka.

Aku meringankan mulut dan berbual-bual. Bertanya bila sampai dan mahu ke mana esok. Kemudian aku mengucapkan selamat tinggal selepas selesai membeli barang. Dan aku meneruskan perjalanan pulang ke hotel.

Tidak sampai 15 meter, aku masuk satu lagi kedai. Untuk membeli barang lain.

Tidak lama kemudian, mereka juga masuk ke kedai yang sama.

Sekali lagi aku meringankan mulut.

“Ehhhh, jumpa lagiiiii.” kata aku.

Perincian, Bali – Labuan Bajo

Ramai juga bertanya perancangan tentang percutian ke Bali dan Labuan Bajo tempohari. Biarlah aku berikan sedikit info kerana berkongsi itu juga baik, menyimpan untuk diri sendiri itu juga baik. Aku harap semua mengerti bahawa aku malas nak menaip sampai ke tahap harga dan tempat yang benar-benar aku lawati. πŸ•ΊπŸ»

Biarlah dimulakan dengan… aku pernah ke Bali. Pernah ke Ende di Flores dan bergerak ke barat yakni Labuan Bajo menggunakan jalan darat. Kemudian ke Lombok 4 hari 3 malam naik bot. Jadi aku tahu serba sedikit apa yang patut dilakukan ketika hidup di Bali dan Laut Flores. Ewah…

Sabtu 8 September.

Penerbangan pagi dari KLIA, pesawat membawaku terbang dan tiba di Bali.

Sampai hotel, check-in, lepas tu sewa motor.

Vrooooooom 🏍 ke Taman Begawan di Nusa Dua untuk ambil race kit Bali Marathon.

Kali terakhir aku guna jalan tol di Telok Benoa, boleh bayar pakai cash, rupanya mereka sudah ada Touch n Go sendiri… jadi kena la beli kad itu, Flash namanya. IDR50,000… dalam kad ada IDR30,000.

Habis ambil race kit, balik makan nasi. Carbo loading.

Ahad 9 September.

Bangun jam 3 pagi, bersiap dan langsung ke Bali Safari Park untuk berlari. Sampai jam 4:45, masuk kandang HM 2:30 jam 5:00. HM punya flag off, 5:15.

Isteriku 10km, flag off jam 6:00. Sebelum lari dia borak dulu dengan kawan baru kenal dari Jakarta. Siap follow insta masing-masing. Hihi.

Habis lari, tangkap gambar, tengok gelagat runners Indonesia, balik hotel.

Lepas rehat, aku pergi Tanah Lot tengok matahari yang terbenam di ufuk Barat. Ohhhh indah sekali.

Isnin 10 September.

Hari ini tukar hotel ke Ubud. Check-in lepas tu sewa motor dan jalan-jalan. Ke Kintamani, satu jam dari Ubud. Sakit juga pinggang bawak motor scooter ni. Mungkin faktor usia.

Balik, singgah Tirtha Empul, bersihkan jiwa.

Selasa 11 September.

Bangun pagi. Lepas tu jalan-jalan.

Rabu 12 September.

Bangun pagi, tengok sunrise di Campuhan. Jalan kaki sahaja dari hotel. 650 meter dari hotel. Tapi total aku jalan kaki pagi tu dalam 5km juga la…

Pulangkan motor, pergi pasar Ubud beli barang, check out hotel.

Tukar hotel di Seminyak. Check-in, sewa motor.

Makan tengahari di Kynd Community. Tempat makan paling hip dan vegan di seluruh dunia. Semua awek cun yang datang. Lelaki ada 2 orang je masa aku datang, cian.

Pohon cempaka di kamarku. Aku suka wangian bunga yang gugur dan kemudian mewangi dan hanyut dibuai air kolam.

Khamis 13 September.

Check out dan pergi airport.

Terbang ke Labuan Bajo, Flores.

Orang jemput di airport, telah diaturkan oleh pengusaha wisata Indahnesia, kapal yang aku tinggal untuk 3 hari 2 malam.

Makan malam, tengok sunset dari tempat makan dan hotel, tidur.

Jumaat 14 September.

Bangun pagi, bersiap. Pihak Indahnesia jemput di hotel dan bawa ke tempat pertemuan.

Berjumpa dengan Mbak Indah dan Mbak Nesia, sebelum ni berhubung melalui whatsapp sahaja. Bergurau senda, dan mereka terhibur dengan jenakaku. Alhamdulilah, mereka ketawa. Jika tidak, canggung juga.

Kemudian dihantar ke kapal phinisi menggunakan bot kecil bernama Scotcie. Comel betul.

Bila dah naik kapal phinisi, tak perlu risau kerana semua kebajikan akan terjaga. Destinasi pula, sudah ditetapkan. Jadi, hanya perlu bancuh kopi, dan duduk di atas kapal merenung laut, gunung, awan dan ombak. Snorkeling dan kapal berlabuh di Pulau Kalong, menunggu sunset dan ribuan keluang keluar untuk mencari makan. Fenomena yang mengasyikkan.

Enak sekali kehidupan di atas kapal. Aduhhhh.

Sabtu 15 September.

Turun ke darat untuk menikmati sunrise di Pulau Padar.

Ke Long Beach, Namo Beach dan destinasi lain.

Kebetulan di Namo, hanya ada kapal kami yang berlabuh. Enak dan nyaman, berada di pantai yang hanya ada 9 orang (yang lain tidak turun dari kapal). Pantainya lembut dan indah sekali warna pasir dan biru air lautnya.

Melihat biawak Komodo yang ganas. Dan dijemput ke pesta di Kampung Komodo. Namun aku menolaknya dengan alasan mahu mendapatkan beauty sleep.

Ahad 16 September.

Taka Makassar – Manta Point – Pulau Kanawa.

Dan kemudian trip berakhir pada jam 6 petang, ketika matahari sedang terbenam. Kami bergambar bersama, dengan seluruh teman baru dan krew kapal Vidi. Bertukar akaun insta, dan meninggalkan sebuah kenangan di Laut Flores. Sebuah perpisahan dengan hati yang berat.

Dihantar ke hotel.

Makan malam.

Tidur.

Isnin 17 September.

Bangun pagi, dihantar ke bandara.

Labuan Bajo – Bali. Wings Air.

Dari Bali, kami menaiki pesawat untuk pulang ke ibukota tercinta yang tidak ada pantai berlainan tona warna, dan tidak ada pasir berwarna merah muda.

Kendatipun begitu, Malaysia adalah tanah tumpahnya darahku. Dan aku harus kembali. Tiba di Kuala Lumpur pada jam 3:30 petang.

Selasa 18 Oktober.

Kerja.

Pulau Dewata Bali Marathon, sebuah hadiah dari Dewata Mulia Raya untuk para pelarinya.

Jam 3 pagi aku bangun bersiap dan menuju Bali Safari Park dengan sepeda motor. Bersama isteriku yang menjadi co-pilot di belakang, kami membelah kedinginan pagi hari yang begitu asri dan menyegarkan.

“Kiri, kiri!” Isteriku terpaksa menjerit sedikit. Biasalah, naik motor.

“Lagiiiii 1 kilo, belok kanannnn!”

“Terusssssss je 11 kilometerrrrr!”

Tiba pada jam 4:45 pagi, aku mencari ruang yang paling hampir dengan garis permulaan. Half Marathon bermula pada jam 5:15 pagi. Selepas melakukan sedikit regangan, aku bersalaman dengan isteriku yang berlari lewat sedikit, jam 6 pagi. Ohhh begitu pahitnya perpisahan.

Aku mula berlari.

5 kilometer pertama aku terperangkap dalam kumpulan pelari yang begitu ramai. Di situ aku sudah tahu akan kehilangan waktu sasaranku iaitu 2:15:00.

Kemudian di KM6 jalur larian mulai menanjak. Slow and steady wins you the race, ujarku di dalam hati.

Kira-kira di KM8, ada seorang biduanita menghampiri dan berlari betul-betul di sebelahku. Dengan kelajuan yang sama, kami menapak ke hadapan bersama beriringan. Seolah-olah ada chemistry di antara kami.

Kemudian dia memotongku, dan aku memotongnya kembali, aku kembali dipotong, dan mendahuluinya semula. Babak ini berlarutan dan terus berlanjutan.

Aku terfikir untuk menyatakan kepada biduanita ini bahawa aku sudah berpunya, malah aku sudah berfikir dialog untuk dikatakan padanya.

“Nona manis, maafkan saya jikalau menghampakan nona manis. Saya sudah beristeri dan berfikir untuk hidup bersama si dia untuk 1000 tahun lagi.”

Namun aku menyimpan hasratku. Dan membiarkan gadis itu hilang selepas tiba di kawasan yang menuruni bukit. Gadis itu hilang di dalam keramaian orang. Tinggallah aku, yang berasa lega dan mula menikmati pemandangan yang asyik dan lestari alamnya. Di kejauhan, puncak Gunung Agung diselubungi awan. Pohon cempaka yang tumbuh di setiap sudut pulau, wangian setanggi, ukiran asli budaya Bali dan penduduk desa yang menyokong di tepi jalan betul-betul mewarnakan hariku.

Aku amat gembira berlari pada hari ini. Walaupun dibakar matahari Bali, nafas terasa begitu segar, mungkin kerana di Bali ini alamnya masih hijau, apatah lagi jalur larian ini tidak ada pembangunan yang begitu tamak. Langkahku berjaya diatur dengan penuh baik.

KM17, anak-anak kecil meminta pisang kepadaku.

“Banana! Banana!”

Aku memberi mereka pisang yang aku dapat di KM14.

“Yeayyyyyyyy!” Mereka ketawa dan bersorak beramai-ramai membuatkan aku terfikir,

“kat Bali ni takde pisang ke?”

Aku merasakan aku telah membuat satu kebaikan dan terus bersemangat untuk berlari dengan lebih kencang. Mengikut jam Garmin, pace-nya 5:45. Terima kasih anak-anak Bali!

Dan kemudian aku berjaya menamatkan larian. Aku mencari isteriku. Kami disatukan semula setelah berpisah dengan sangat lama. Setiap minit terasa bagaikan setahun. Ohhh kekasihku.

Kami menangkap gambar bersama untuk memori di masa hadapan.

Pengalaman yang seronok di Bali Marathon. Mungkin aku akan kembali lagi, berlari Full Marathon pula.

Nukilan sebelum angin kencang membawaku jauh ke nusa para dewa.

Aku mempunyai satu penyakit, yang tidak membahayakan. Setiap kali aku ada penerbangan pada pagi hari, aku tidak akan boleh tidur. Aku tidak tahu adakah penyakit ini disebabkan terlalu ghairah untuk keluar berkelana, atau pun perasaan ketakutan bakal terlepas pesawat. Namun aku percaya penyakit ini adalah sebab yang pertama tadi.

Malam dinihari begini, di mana aku tidak boleh tidur, banyak perkara yang akan aku lakukan. Memeriksa isi kandungan beg yang akan dibawa untuk berkelana, bermain Playstation, melihat pokok yang bergoyang ditiup angin dari balkoni rumah, meramal keadaan cuaca dengan mencerap anak bulan, atau melakukan senaman ringan untuk memastikan kondisi ototku sentiasa di tahap yang terbaik.

Aku suka dan betul-betul menghargai malam yang panjang begini. Aku boleh melihat dan menilai semula perilaku dan tindakanku pada masa silam, atau merenung kosong ke hamparan permaidani ruang tamu. Aku akan berfikir, di mana dan bilakah aku membeli permaidani ini? Adakah isteriku yang membelinya menerusi Lazada? Atau hadiah kahwin dari rakan karib? Atau mungkin dibeli di Nilai 3? Jangan-jangan, beli di IKEA?

Aku masih teringat ketika mahu ke Kuching beberapa tahun lalu, aku tidak boleh tidur sama seperti yang aku hadapi sekarang. Teman yang bermalam di rumahku begitu selesa tidur di atas tilam.

“Kejut aku nanti.”

Cilaka, bukan main santai dan ringkas dia punya pesanan.

Orait, ada lagi 3 jam sebelum aku kejutkan isteri untuk dia bersiap. Mungkin di kesempatan ini aku akan berfikir demi negara. Buah fikiran yang aku dapat sebentar lagi akan aku salurkan pada Syed Saddiq dan Anwar Ibrahim.