Membanting kaki 18.5km

Sampai di arena larian, aku meletakkan motor berdekatan dengan garisan permulaan. Di Putrajaya atau di mana-mana, naik motor adalah satu nikmat. Ketika orang lain sedang berpusing mencari parkir, aku tenang menaiki pembahagi jalan dan meletakkan motor di kaki lima.

Ini adalah kali pertama aku masuk kategori 42km. Jadi, agak teruja apabila masuk ke kandang larian. Orang di luar sedang memandang dengan penuh rasa kagum. Mungkin benar mereka kagum, mungkin tidak. Terpulang. Ha-ha.

Aku memanaskan badan cukup dengan regangan otot yang ringan-ringan. Tidak perlu banyak kerana aku akan menggunakan beberapa kilometer pertama untuk mengepam darah ke seluruh otot badan.

Sebaik sahaja larian dimulakan, orang di kanan kiri bersorak. Aku memulakan jam GPS dan berlari.

Namun dengan kuasa Tuhan penguasa semesta, hujan turun mencurah disertai dentuman guruh dan halilintar. Larian terganggu. Stokin basah lencun, nafas sukar diatur. Kilat guruh berdentam-dentum mengingatkan aku kepada ahli keluarga dan isteri tercinta, namun perjuangan 42km akan aku teruskan. Tiada istilah menyerah apalagi cabaran yang bakal mendatang adalah lebih sukar.

Tetapi apakan daya, hasrat untuk bergelar marathoner terpaksa ditangguhkan. Putrajaya Night Marathon terpaksa dibatalkan kerana faktor keselamatan. Semua pelari harus pulang dan meneruskan kehidupan hari esok seperti kebiasaan.

Seterusnya, Malaysia Mountain Trail Festival! 36km, dengan keseluruhan pendakian sebanyak 2000 meter.

Persediaan di hari membanting kaki sejauh 42.195km.

Pagi itu aku bangun pagi dan membuat sarapan seorang juara, telur separuh masak.

Habis makan, aku bancuh kopi dan menghidupkan PS4. Bermain FIFA di waktu pagi sebenarnya mencabar minda. Permainan menjadi lebih gopoh dan terdesak lalu aku tewas 2 kali. Lepas aku maki diri sendiri, terus aku tutup PS4.

Selepas menghantar isteriku dengan pandangan mata di pintu rumah, aku sambung baring. Aku membiarkan isteriku keluar rumah untuknya ke majlis perkahwinan seseorang yang tidak aku kenali. Isteriku pergi bersama mama dan abahnya.

Tepat jam 12:15, aku keluar dan mendapatkan nutrisi paling penting di hari perlumbaan. Orang putih kata, carbo loading.

Nasi beryani, telur ikan tenggiri, ayam kampung masak gulai, telur masin, papadom, dan limau suam untuk membasuh tekak. Cukuplah bekalan ini untuk ke medan tempur. Habis makan, aku pergi gunting rambut. Habis gunting rambut, dipulas kepalaku ke kanan ke kiri. Risau juga kalau kepala aku tercabut. Syukur, tidak terjadi apa-apa. Payah juga kalau lari sambil sakit leher.

Kemudian aku pulang ke rumah. Mandi, minum kopi, dan bermain PS4 kembali.

Hujan yang turun di petang itu membuat aku kembali terlena dan hanyut dalam ketenangan bunyi air yang menerpa zink.

Sebaik sahaja hujan reda, aku bersiap dan memulakan perjalanan ke Putrajaya. Berlari (dan berjalan) 42km tidak boleh dipandang enteng, banyak persiapan yang perlu disediakan. Dan aku yakin badanku mampu untuk mengharungi cabaran ini.

Putrajaya, aku datang!

Gelap malam menerpa dan dingin hujan menggigit. Mengapa ini terjadi.

Di malam ini, aku telah diuji untuk menghadapi sebuah ujian yang amat hebat.

Sesungguhnya, dugaan ini benar-benar menguji daya tahan dan sifatku yang sentiasa tenang ketika menghadapi cabaran hatta satu ketumbukan musuh sekalipun.

Mengapa, mesin basuh.

Yang sudah aku sumbat dengan pakaian kotor.

Dari waktu maghrib tadi.

Masih berpusing.

Dan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti.

Sudahlah membazir air, membazir elektrik. Kau tenanggggg sahaja berpusing dan membasuh.

Aku nak tidur, setannn.

Karyawan yang sentiasa mengusik memori di batu jemalaku

Sewaktu kali pertama ke Bali pada 2011, aku mengunjungi kedai Hard Rock Cafe selaras dengan usiaku yang muda remaja.

Ketika sedang membelek baju dan cenderamata, lelaki yang menjaga kedai tersebut melagukan Glenn Fredly – Januari dengan penuh taranum dan cukup idram bilaghunnah.

Lebih sedap dari buluh perindu dan Glenn Fredly sendiri!

Sejak dari saat itu, setiap kali mendengar lagu Januari, aku akan terbayang wajah pria yang menyanyikan lagu itu di dalam butik Hard Rock.

Kalau kau tanya aku kenapa, aku sendiri tiada jawapannya.

Jangkar diangkat. Layar dibuka. Bintang sebagai panduan. Dan angin yang menolak ke hadapan.

Laut membiru yang terbentang luas di hadapan aku tatap bersama secangkir kopi. Kopi yang dibancuh dengan penuh belaian mesra tangan lelaki dari Malaysia ini terasa tepat dan jitu di hujung lidah.

Sambil melihat awan-gemawan di atas perbukitan savana, aku mengira kelajuan phinisi dengan ilmu Kajian Tempatan yang penuh di dada. Berdasarkan gelap warna air, aku mengagak kedalaman dasar laut. Cukup dengan sedikit matematik asas, aku sangat yakin dengan congakan yang dibuat.

Hmmmm. 3 batu nautika per jam. Getus hatiku.

Selepas habis meminum kopi, aku naik ke geladak paling atas di mana kapten mengawal phinisi. Kabin kapten lengkap dengan kemudi, katil, pendingin hawa, alat komunikasi dan sistem navigasi di laut. Seperti sahabat yang sudah mengenali lama, aku menyapanya dan memulakan omong kosong.

“Saya dahulu sering ke Malaysia. Di Kuching.”

Kapten menceritakan pengalaman membawa kapal besar yang sarat dengan muatan kayu untuk dijual di Kuching.

“Lama saya di Kalimantan dulu bang. Isteri saya juga aslinya sana.”

“Kemudian 2011 saya pulang ke sini. Kerja bawa kapal di Labuan Bajo sahaja.”

Seronok mendengar cerita kapten, yang berlainan kehidupan dariku. Entah berapa kali dia melawan ribut di laut lepas, dan entah taufan apakah yang paling getir dihadapinya.

Aku membayangkan kehidupan di laut.

Ketika peralihan angin monsun.

Di malam hari.

Hujan lebat yang sejuk mengigit berserta guruh dan halilintar.

Angin yang bergulung membawa bersama malapetaka.

Ah, kehidupan di lautan yang tidak pernah dangkal dengan pengalaman. Satu hari nanti aku akan punya kapal sendiri.

Tapi, bagi aku belajar berenang dulu.

Kecederaan yang masih berlegar

Bangun seawal jam 5:45 pagi dan bersiap-sedia untuk berlari adalah perkara yang kerap aku lakukan sekarang.

Dan hari ini aku ke Putrajaya, kononnya untuk melakukan larian perlahan kadar panjang. Di dalam benak pemikiranku, aku ingin melakukan 30km.

Ya. Kerana Putrajaya Night Marathon hanya tinggal 26 hari. Aku perlu menaikkan kadar latihan.

Sesampainya di Putrajaya, aku melakukan sedikit regangan dan memulakan larian.

Sayangnya keadaan tubuh badan tidak mengizinkan. Seperti letusan bunga api yang menerangi malam hanya untuk sekejap, begitulah semangat aku untuk berlatih tiba-tiba lenyap. Aku terpaksa berhenti dan cuba membetulkan otot yang cedera dengan sedikit regangan.

Kemudian aku mencuba sekali lagi. Dan masih sama, kaki sakit dan aku terpaksa akur.

Bukan hari ini.

Kaki memberi isyarat untuk berehat dan perlukan masa untuk sembuh sepenuhnya.

Walaupun sedih, aku pulang ke rumah dengan membawa dua bungkusan nasi lemak. Satu untukku dan satu lagi isteriku.

Terubat kesedihan apabila isteri gembira dapat membawa bekal nasi lemak ke pejabat.