Man United, kau yang bernama seri?


Seperti biasa hari ini Man United turun bermain untuk seri. Seri dan Man United seperti isi dan kuku, mereka tidak kisah dan gembira untuk seri.

Sejak awal permainan Man United menunjukkan kejaguhannya dalam seri. Mereka menyerang tapi meletakkan keutamaan untuk seri. Mourinho selaku Bapa Parking Bas Man United menjerit setiap kali anak buahnya cuba untuk melakukan sesuatu yang boleh mengganggu perancangan asalnya yakni seri.

Malangnya kesilapan tidak mengenal insan, pemain termahal dunia juga tidak terkecuali. Seri yang dipinta bakal dirobek apabila tangannya dikesan memegang bola.

Sepertimana selalu, James Milner meladeni bola dengan lemah-lembut dan penuh lestari meletakkan bola di sudut selesa gawang gol. 

Liverpool satu gol di hadapan.

Man United bakal berputih mata. Mereka mahukan seri.

Serangan demi serangan diatur. 

Tidak perlulah kita katakan tentang bantuan pengadil kerana ini adalah asam-garam bolasepak. Apalah salahnya pasukan kerdil yang dahagakan seri seperti Man United dibantu tangan ghaib.

Ibrahimovic menjaringkan gol dan meletakkan Man United di kedudukan yang baik. Ini adalah saat yang ditunggu-tunggu semua peminat Man U. Seri yang dipinta bakal terkabul.

Menjelang saat akhir perlawanan, pengadil meniupkan wisel dan impian Man United tercapai. Seri dengan Liverpool adalah satu taraf yang tinggi dalam bolasepak. Mereka pernah mencapainya di Anfield dan bergembira lantas tiada segan silu mengulanginya.

Ketika diwawancara, ini jawapannya. “Kita berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah. Tahniah kepada pasukan saya yang telah lama tidak kalah dan kini selesa menghuni tangga ke-6 liga.” – Bapa Pembangunan Parking Bas Man United.

Advertisements