Selama 5 tahun aku bekerja bersama perusahaan yang boleh memakai pakaian santai ke pejabat seperti nenek moyangku pengasas syarikat. Kemudian selama 2 tahun aku bekerja dari rumah. Kini aku ke pejabat dengan memakai pakaian kemas dan tersusun (aku cuba).
Dan sekarang aku baru baring selepas menggosok baju. Aku menggosok baju sambil berfikir mengapa baju renyuk bukanlah sebuah adat dan budaya.
Ada sedikit rindu pada kelibat isteri yang berdiri tekun di sebelah papan gosok baju, sambil memegang sebuah alat yang mampu menghilangkan renyuk. Hmmm.
Makcik gerai nombor 4 medan selera Rasa Sayang Hey. Tujuan saya menulis surat ini adalah dengan tiada niat lain melainkan menegur. Adapun kita orang Timur adalah sebaik-baik bangsa orang beradat orang beradab. Semoga surat ini menuju ke dakapan hati makcik dengan dada yang lapang sesungguhnya niat saya suci seperti nirmala air pagi yang memecah di pantai Laut Andaman.
Makcik, kemuliaan seekor ayam itu terletak pada pahanya. Benar, saya tidak menipu. Paha seekor ayam punyai seperti mukjizat. Kenyal dan berisi bersilih ganti. Peha ayam jika digoreng rapi atau dibuat kari, aduh enak yang amat. Diambil pula puri atau roti canai lembut, dicicah ke dalam kari yang berinti peha. Saya menulis sambil menitis air liur.
Jadi kenapa makcik? Kenapa tiada peha di dalam banyak-banyak bahagian yang saya mahu pilih tadi? Begitu sukar saya menerima kenyataan dan menelan kepak ayam sambil menggeleng kepala mengenangkan pilihan yang sukar.
Tetapi tidak mengapalah makcik, kendati kepak, tetap terisi perut dan kenyanglah saya tadi. Cuma untuk tindakan dan peringatan di masa akan datang, peha ayam seeloknya berada di antara longgokan ayam goreng dan ketika saya membelek-beleknya saya tersenyum dan berasa tidak sabar. Mungkin kelakar untuk makcik tapi tidak saya.
Penulis bangun agak lewat hari ini kerana tidur lewat semalam. Tugasan yang meminta curahan pemikiran membuat penulis berasa lelah dan hanya mampu bangkit selepas tubuh badannya cukup berehat. Itu pun penulis perlu untuk meneruskan pekerjaan semalam.
Lantas pintu bilik air dibuka. Dengan cermat hujung corong alat istinjak dihalakan ke mangkuk tandas. Malangnya ketika air mencuri keluar dari corong, alirannya berpecah dua. Semua berpunca dari hujung corong yang tidak terbuka dengan elok dan memisahkan aliran air.
Aduh. Dengan mata yang masih mamai, penulis melihat sahaja pancutan yang tidak tepat ke dalam mangkuk.
Mungkin inilah balasan menjadi ulat tiket. Kata penulis di dalam hati.
Kemudian penulis membersihkan apa yang perlu dan keluar menghidupkan komputer. Dibuka Google Chrome dan laman Twitter. Penulis, dengan penuh yakin dan bangga diri. Tanpa sedikit pun mempedulikan baik dan buruk tindakannya, menaip…
“Ticketing Service!
🤍 RM25/ticket (refundable) 🤍 Experienced (refer my pinned tweet) 🤍 Limited slots! 🤍 Dm me to book your slot now!”
Salam Encik, musim perayaan sudah hampir menjelang. Mungkin kita boleh perbaiki jalan dan lebuhraya yang ada demi keselesaan pengguna.
Dibalas encik pegawai atasan, “Saya amat bersetuju dengan cadangan awak ni. Baik. Kita gesa kontraktor untuk melakukan pekerjaan ini ketika orang mahu pulang ke kampung.”
Peminat bola yang tidak menyokong mana-mana pihak di sini.
Arsenal main okay dan berharap pada kesilapan Liverpool. Beruntung sebab Van Dijk sedang berpuasa. Liverpool pula, kurang bernasib baik bila pengadil hanya memberi satu sepakan penalti.
Apa pun, sebuah keputusan yang baik untuk Arsenal menjuarai liga.
Aku sedang mengantuk dan mahu tidur. Tapi aku gagahi dengan melayarkan diri di ruang post lama di Facebook sekitar 2009. Aku pun tak tahu apa yang membawa ke situ. Pahit manis, sesal dan pengajaran bersilih-ganti. Semuanya bersebab dan menjadi tauladan dan kekuatan.
Mantap. Hidup, adalah tentang bagaimana sebuah perjalanan menuju dan menjadi aku pada hari ini. Esok lusa, menjadi yang lebih tenang atau mudah tersentuh?
Paling penting, semuanya berjalan di landasan yang telah diatur semesta.
Lawatan ke Bangkok baru-baru ini meninggalkan pelbagai rasa dan berbekas di hati. Antaranya bagaimana sebuah kota boleh maju seiring tinggalan sejarah yang seperti tidak pernah dimamah masa. Mengubah pemikiran aku tentang Bangkok meskipun tujuan utama adalah berjumpa Alex Turner dan rakan-rakannya.
Dengan Alex Turner, aku hanya tertarik dengan Love is a Laserquest, didengar ulang sebanyak entah berapa kali. Kemudian 505, I Wanna Be Yours dan kadang-kala Snap Out of It. Tapi isteriku adalah peminat besarnya. Bersama dengan seorang lagi rakan, kami ke Bangkok merapat ke pentas konsert.
Tiba ke lokasi konsert jam 1 petang (dijadualkan bermula jam 8 malam), kami sudah di baris yang ke-20 hingga 23. Kadang-kala aku benci orang Asia yang suka beratur. Tapi aku pun datang awal untuk beratur. Beratur, in my blood? Hmmm.
Tempoh menunggu, aku pergi medan selera cari nasi goreng ayam. Aku okay je kalau was-was. Was-was? Makannn. Tapi aku berasa hiba bila tengok dia gantung ayam dengan keadaan leher yang sempurna. Dah tak boleh was-was!
Mujur ada sandwich inti ketam dijual di Starbucks. Inilah bekalan tenagaku sampai ke malam.
Berjumpa Alex Turner, aku berjaya menempatkan diri di baris ke 6-8 berdekatan dengan pentas. “Boleh nampak peluh Alex Turner menitik!” kataku pada Wani merangkap isteriku.
Kemudian kami menunggu lagi untuk 2 jam. Gundah juga ketika itu dan sepatutnya Noh Hujan Thailand kena la keluar main gitar membuka gelanggang.
Akhirnya detik yang dinanti tiba. Inilah detik yang dinantikan. Datang dari jauh untuk ini dan bersesak-sesak demi dia. Inilah saatnya selepas berebut beli tiket konsert, beli tiket pesawat, perbaharui passport, tempah hotel, dan naik tren dari hotel! Alex Turner naik ke pentas diiringi sorakan dan lontaran suara para peminatnya yang terdiri dari gadis-gadis. Teriakan I love you dan OMG bersilih-ganti.
Mantap. Berkarisma. Dan puas.
Alex Turner, ko memang power.
“I’m a puppet on a string Tracy Island, time-travelin’ diamond cutter-shaped heartaches Come to find you four in some velvet mornin’ years too late”
Terlalu banyak perkara baik tentang Divock Origi sehingga aku kehabisan dakwat menulisnya. Susuk gagah ini telah banyak melakukan perkara ajaib dan membawa keriangan pada semesta yang kita diami.
Andai Liverpool adalah satu gerakan, maka Divock Origi-lah pelopornya. Dialah yang akan memasukkan sehelai kertas ke dalam mesin taip, menggulungnya dan kemudian menekan satu persatu aksara yang boleh jadi berbunyi “Ke hadapan Perdana Menteri yang kami setiap hari sakit hati melihat wajahmu, negeri ini lucu sekali. Terimalah warkah ini yang dinukil penuh ikhlas dari tepian pantai yang pasirnya putih dan ombaknya tenang.”
Dan jika bolasepak itu dibayangkan sebagai sebuah galaksi, maka Divock Origi adalah jajaran bintang yang kita kenali sebagai Bima Sakti. Begitu megah dan mempesona bila dilihat di langit malam. (Sila cari tempat yang tiada pencemaran lampu dan awannya tidak tebal)
Hari ini, dek kerana kecederaan, kita tidak dapat lagi melihat Divock Origi berlarian di atas padang tersenyum menyumbat gol ke kubu lawan menggunakan jersi Liverpool.
Untukmu Divock Origi, Si Jalur Terang Peneman Bulan, terima kasih. Semoga maju jaya dan menjadi perwira di tempat baru.
Seingat saya bermain bola ketika raya kedua adalah satu perkara yang tidak pernah saya lakukan sepanjang hidup. Kita harus memberi sorakan gemuruh pada semua pemain dan pegawai Liverpool kerana sanggup mengorbankan raya mereka. Mereka juga ada saudara-mara dan sahabat untuk dikunjung.
Pemain dan pegawai Liverpool ambil pesawat pertama ke Sepanyol selepas takbir raya, dan langsung ke stadium. Semuanya dengan niat untuk mengajar Villareal dan mungkin Atletico serta Everton apakah itu bolasepak sebenar yang dimainkan oleh lelaki sejati. Mungkin Manchester United juga boleh belajar sedikit. Tapi saya ragui ini.
Villareal seperti yang kita sedar, pemain mereka tidak boleh disentuh. Mereka mempunyai daya tahan seorang bayi yang baru lahir. Banyak masa dibuang dengan tergolek, baring dan mengadu kesakitan. Kemudian mereka memilih dari sudut manakah bola itu harus dialihkan? Selalunya paling belakang supaya masa boleh dibazirkan dengan lebih banyak.
Coretan hati seorang peminat bola (sebenar)
Syukurlah Liverpool (harapan segenap manusia) berjaya mengatasi halangan ini. Atas semangat kepahlawanan, mereka dengan cekal meniti ranjau berliku dan berjaya menghasilkan gol demi gol. Cuma separuh masa pertama mereka bolos dua gol kerana kita semua tahu juadah raya sukar ditolak. 45 minit diperlukan untuk hadam segala lemang, burasak dan rendang.
Baiklah semua, teruskan beraya dan nikmatilah hidup ini. Ingat, ada tiga perkara yang pasti dalam hidup.
Kesesakan jalan menjelang raya.
Beratur sebelum makan nasi kandar.
Dan Jurgen Klopp mengukir senyum untuk harimu yang lebih ceria.