Seorang lelaki merenung lantai bilik air yang basah kemudian bingkas bangun dari duduknya. Picu tangki tandas ditarik dan turunlah air dari tangki membawa bersama semua pelaburan lelaki itu tadi.
Selepas lelaki itu memakai seluar pendek, dia keluar dari tandas dan melihat ada satu gumpalan najis. Segumpal najis yang semua orang dan kucing dalam rumah itu tahu milik siapa.
Seekor kucing memandang dengan penuh sayu ketika najisnya diambil dengan tangan kosong lalu dibuang kembali ke dalam tandas. Picu tangki kemudian ditarik lagi maka hilanglah pula pelaburan Somtam itu tadi.
Somtam, adalah seekor kucing yang punyai masalah sembelit dan hanya makan RC Fibre Response Gastrointestinal merangkap pemilik najis itu tadi. Somtam memerhatikan lelaki itu dengan sebuah pandangan redup, dan barangkali dalam hatinya berkata,
“Bagus bibik aku ni.”
