Hari ini cuti. Dan aku punyai masa untuk bangun lewat, berehat, makan, lari, berehat semula.
Aku baring di hadapan televisyen yang dibuka Spotify. Lagu Arctic Monkeys – There’d Better Be a Mirrorball berkumandang. Aku mendengar sambil memandang kipas yang berpusing dengan kelajuan 5, kelajuan yang selesa untuk semua penghuni rumah ini.
Puisi menghampiri dan menjilat tanganku. Dan aku mamai kepenatan selepas joging petang tadi.
“So do you wanna walk me to the car?
I’m sure to have a heavy heart” Alex Turner bergurindam.
Dalam mamai aku terkenang kelana Bangkok pada bulan March. Ahhh, Alex Turner. Kau memang sesuatu. Kau berjaya menyuntik perjalanan yang bersisip rock and roll. Berjalan mencari makanan halal, beratur demi mendengar dentuman dram Matt Helders, ke pasar malam, dan menyusur Sungai Chao Phraya.
Kemudian aku terfikir, sudah setahun dua bulan aku berjauhan dengan isteri. Hmmmm…
Dari balkoni rumah ini, kau boleh melihat kehijauan belukar Presint 11 dan Taman Saujana Hijau. Dan setiap senja, para cengkerik akan bersahutan bersama koloni katak dan entah serangga apa lagi, menyanyikan lagu alam.
Beginilah kehidupan berjauhan dengan isteri. Kucing, cengkerik, Alex Turner.