Om Chris

Di satu malam, ketika bunyi ombak menghempas pantai dapat didengari dari ruang makan sebuah hotel di tepian Selat Inggeris, Chris Martin dan beberapa orang sedang duduk berbincang.

Kalian, aku tidak rasa mercun diperlukan untuk persembahan kita di Bukit Jalil. Mercun tidak bagus untuk alam sekitar. Letupannya membunuh ribuan burung. Adakah kalian tahu yang jantung burung tidak dapat bertahan ketika mendengar letupan mercun yang kuat? Kata Chris Martin.

Namun rombongan dari Kuala Lumpur itu bertegas bahawa mereka masih mahukan mercun kerana mereka punyai banyak duit untuk dibazirkan apatah lagi flora dan fauna tidak dekat dan mesra di hati.

Chris Martin menggeleng kepala.

Keesokannya Chris Martin bertemu rombongan dari Singapura.

“Benar Chris, kami turut bersetuju. Alam sekitar, burung dan mergastua lain berkongsi ruang yang sama dengan kita. Adalah menjadi perkara yang mustahak persembahan Coldplay menjaga persekitaran dan bersederhana.” Kata ketua rombongan dari Singapura.

“Kami akan menggunakan corak bunga api di atas lelangit stadium untuk mengiringi A Sky Full of Stars. Usah khuatir.” Tambahnya lagi.

Chris Martin tersenyum. Beliau malah bersetuju melakukan 6 persembahan di Singapura. Kesefahaman bersama ini telah melonjakkan industri pelancongan di sekitar Geylang dan Marina Bay. Pelancong menderu datang dari pelbagai pelusuk dunia, dan agak sukar mencari hotel kerana banyak ditempah.

Dan yang paling penting, persembahan Coldplay di Singapura tidak membunuh walau seekor pun burung. Chris Martin kemudian menyuarakan (ketika konsert) bahawa semua pihak di Gaza, Israel, West Bank dan di mana jua haruslah berdamai dan mencari cinta.

Kisah di atas hanyalah rekaan dan imaginasi penulis. Tolong jangan saman.

Leave a comment