Segala rintangan dan perkara yang telah aku tempuhi sehingga semalam membentuk aku yang hari ini. Untuk sesetengah orang, aku mungkin seorang yang penyayang, dan untuk orang lain, aku mungkin seorang yang garang, dan untuk semua kucing, aku adalah orang yang gemar mengusap leher.
Tapi walau apa pun anggapan orang, aku biarkan dan malas untuk menerangkan dengan terperinci. Cukuplah kau dengan telahan di fikiranmu, dan aku dengan hidupku. Aku percaya pemikiran yang begini sama sahaja dengan semua orang, kita semakin matang seiring usia yang meningkat.
Jika ada orang mahu hidup dengan kucing, biarkan. Jika mereka mahu duduk di sofa mendengar lagu dan tertidur, biarkan. Jika mereka mahu duduk di tepi pantai menunggu penyu naik ke darat, juga… biarkan.
Sekarang kau mesti tertanya-tanya, dari mana tiba-tiba aku menulis yang begini? Kan? Ya betul. Seseorang (aku rasa peminat Arsenal) telah membuat aduan tentang akaun Twitter aku. Sekarang akaun itu telah hilang dibenam oleh konco Mas Elon dan barangkali peminat Arsenal.
Kepada Arsenal, aku ucapkan selamat maju jaya.
Kepada Twitter, selamat tinggal.
Hmmm… sekarang aku tak tahu nak buat apa. Mungkin boleh mula belajar memasak.
Jaga-jaga roti jala kari ayam!