Lompong kosong yang tak akan terisi

Selepas menyusun dan mengemas bilik kucing, aku mendukung Paprik. Paprik adalah anak bulus yang paling rapat dan mahu ikut ke mana sahaja aku pergi. Anehnya Paprik tidak mahu Rifhan Safwani mengusapnya, hehe.

Di bawah pendingin hawa, ada potret Jennie dengan bingkai warna hitam.

Paprik aku halakan pandangannya ke arah potret Jennie. Dia merenung potret ibunya itu untuk beberapa saat sebelum meronta sedikit memberi tanda mahu turun.

Aku menyambung melihat potret Jennie. Begitu bersinar dan bersih matamu sayang. Kemudian aku terbawa ke saat memeluk Jennie yang sedang lemah dan hanya mampu menggerakkan kepala. Aku tidak mahu membawa Jennie ke klinik haiwan tapi setiap peluang untuk memulihkan Jennie harus diambil. Tapi telah diatur Tuhan, 21 April tahun lepas adalah hari terakhir Jennie yang masih bernyawa dipeluk.

Dan esok, genap setahun jasad Jennie ditanam di bawah rumah.

Leave a comment