Hari ini

seperti hari-hari semalam aku bermula perlahan. Aku beri makan anak-anak yang berbulu, bersihkan najis mereka dan kemudian mandi.

Kemudian aku hantar isteri ke Putrajaya Sentral dan kembali ke rumah. Laptop aku keluarkan dari beg, chargernya aku pasang dan tetikus aku gerakkan tanda sudah bersedia bekerja.

Tiga jam kemudian, aku bersiap untuk bergerak ke pejabat. Tapi sebelum itu aku ambil beg galas belakang yang boleh diisi kucing, dan aku masukkan Somtam. Dia mula mengiau sebaik sahaja kami masuk ke pintu lif.

Sampai di klinik vet, doktor kata usus Somtam sudah membengkak. Megacolon. Aku hanya tunduk dan akur dengan semua saranan doktor.

Somtam ditinggalkan di vet. Dia didukung pembantu doktor dan mereka memuji Somtam yang berkelakuan dengan sangat baik. Somtam memang pendiam dan tidak pernah mengeluarkan kuku. Beg yang membawa Somtam tadi aku lipat dan masukkan dalam kotak motor di belakang. Lalu aku mulakan perjalanan ke pejabat.

Sampai di pejabat, sewaktu meletakkan motor di kotak parkir, aku perasan bahawa tayar motor sudah botak, nampak bebenang. Terkelip-kelip mata aku tengok tayar.

Jam 7:30 malam aku pulang dari pejabat dan berjanji mahu berjumpa isteriku di stesyen MRT TRX. Sampai di Putrajaya Sentral, kami menapak pulang ke rumah dalam 3KM.

Kepala aku kusut memikirkan tayar dan Somtam. Baru minggu lepas aku perbaharui cukai jalan Kaido (motorku) dan tukar rantainya.

Kemudian aku buka Youtube dan dengar lagu The Strokes. Teringat Ogos 2023 kami ke Singapura demi mengejar Julian dan kawan-kawan. Lantas aku buka kembali video lama yang dirakam di Singapura.

Dan aku kembali tersenyum.

Terima kasih, The Strokes.

Leave a comment