Jam 3 pagi aku bangun bersiap dan menuju Bali Safari Park dengan sepeda motor. Bersama isteriku yang menjadi co-pilot di belakang, kami membelah kedinginan pagi hari yang begitu asri dan menyegarkan.
“Kiri, kiri!” Isteriku terpaksa menjerit sedikit. Biasalah, naik motor.
“Lagiiiii 1 kilo, belok kanannnn!”
“Terusssssss je 11 kilometerrrrr!”
Tiba pada jam 4:45 pagi, aku mencari ruang yang paling hampir dengan garis permulaan. Half Marathon bermula pada jam 5:15 pagi. Selepas melakukan sedikit regangan, aku bersalaman dengan isteriku yang berlari lewat sedikit, jam 6 pagi. Ohhh begitu pahitnya perpisahan.
Aku mula berlari.
5 kilometer pertama aku terperangkap dalam kumpulan pelari yang begitu ramai. Di situ aku sudah tahu akan kehilangan waktu sasaranku iaitu 2:15:00.
Kemudian di KM6 jalur larian mulai menanjak. Slow and steady wins you the race, ujarku di dalam hati.
Kira-kira di KM8, ada seorang biduanita menghampiri dan berlari betul-betul di sebelahku. Dengan kelajuan yang sama, kami menapak ke hadapan bersama beriringan. Seolah-olah ada chemistry di antara kami.
Kemudian dia memotongku, dan aku memotongnya kembali, aku kembali dipotong, dan mendahuluinya semula. Babak ini berlarutan dan terus berlanjutan.
Aku terfikir untuk menyatakan kepada biduanita ini bahawa aku sudah berpunya, malah aku sudah berfikir dialog untuk dikatakan padanya.
“Nona manis, maafkan saya jikalau menghampakan nona manis. Saya sudah beristeri dan berfikir untuk hidup bersama si dia untuk 1000 tahun lagi.”
Namun aku menyimpan hasratku. Dan membiarkan gadis itu hilang selepas tiba di kawasan yang menuruni bukit. Gadis itu hilang di dalam keramaian orang. Tinggallah aku, yang berasa lega dan mula menikmati pemandangan yang asyik dan lestari alamnya. Di kejauhan, puncak Gunung Agung diselubungi awan. Pohon cempaka yang tumbuh di setiap sudut pulau, wangian setanggi, ukiran asli budaya Bali dan penduduk desa yang menyokong di tepi jalan betul-betul mewarnakan hariku.
Aku amat gembira berlari pada hari ini. Walaupun dibakar matahari Bali, nafas terasa begitu segar, mungkin kerana di Bali ini alamnya masih hijau, apatah lagi jalur larian ini tidak ada pembangunan yang begitu tamak. Langkahku berjaya diatur dengan penuh baik.
KM17, anak-anak kecil meminta pisang kepadaku.
“Banana! Banana!”
Aku memberi mereka pisang yang aku dapat di KM14.
“Yeayyyyyyyy!” Mereka ketawa dan bersorak beramai-ramai membuatkan aku terfikir,
“kat Bali ni takde pisang ke?”
Aku merasakan aku telah membuat satu kebaikan dan terus bersemangat untuk berlari dengan lebih kencang. Mengikut jam Garmin, pace-nya 5:45. Terima kasih anak-anak Bali!
Dan kemudian aku berjaya menamatkan larian. Aku mencari isteriku. Kami disatukan semula setelah berpisah dengan sangat lama. Setiap minit terasa bagaikan setahun. Ohhh kekasihku.
Kami menangkap gambar bersama untuk memori di masa hadapan.
Pengalaman yang seronok di Bali Marathon. Mungkin aku akan kembali lagi, berlari Full Marathon pula.