Nota untuk kekasihku

Kehadapan isteri yang ku kasihi,

Sebenarnya telahku cuba melipat kain baju sehabis baik, namun apalah dayaku kerna setiap manusia itu tidak sempurna. Aku cuba melipat kain baju mengikut petunjuk dan caramu tapi gagal setiap kali.

Pernah sekali ketika kita sedang menatap telefon masing-masing, aku menunjukkan cara orang melipat stokin dengan sangat kemas dan kau membalasnya sambil menjegil mata dengan garang,

“Macam ni la saya lipat selama ni.”

Dan aku mengalihkan pandangan semula ke telefon dengan sedikit berdebar.

Hari ini, lebih tepat lagi dua hari lepas, kau telah menginjak ke umur yang baru. Kendatipun telah meningkat usia, dirimu masih seperti dulu. Seorang biduanita yang manja dan berhati lembut namun garang dengan diriku seorang. Diulangi, diriku seorang.

Semoga semua impianmu tercapai sayang.

Masa untuk aku cuba lipat baju dengan sudut yang lebih terperinci.