Jangkar diangkat. Layar dibuka. Bintang sebagai panduan. Dan angin yang menolak ke hadapan.

Laut membiru yang terbentang luas di hadapan aku tatap bersama secangkir kopi. Kopi yang dibancuh dengan penuh belaian mesra tangan lelaki dari Malaysia ini terasa tepat dan jitu di hujung lidah.

Sambil melihat awan-gemawan di atas perbukitan savana, aku mengira kelajuan phinisi dengan ilmu Kajian Tempatan yang penuh di dada. Berdasarkan gelap warna air, aku mengagak kedalaman dasar laut. Cukup dengan sedikit matematik asas, aku sangat yakin dengan congakan yang dibuat.

Hmmmm. 3 batu nautika per jam. Getus hatiku.

Selepas habis meminum kopi, aku naik ke geladak paling atas di mana kapten mengawal phinisi. Kabin kapten lengkap dengan kemudi, katil, pendingin hawa, alat komunikasi dan sistem navigasi di laut. Seperti sahabat yang sudah mengenali lama, aku menyapanya dan memulakan omong kosong.

“Saya dahulu sering ke Malaysia. Di Kuching.”

Kapten menceritakan pengalaman membawa kapal besar yang sarat dengan muatan kayu untuk dijual di Kuching.

“Lama saya di Kalimantan dulu bang. Isteri saya juga aslinya sana.”

“Kemudian 2011 saya pulang ke sini. Kerja bawa kapal di Labuan Bajo sahaja.”

Seronok mendengar cerita kapten, yang berlainan kehidupan dariku. Entah berapa kali dia melawan ribut di laut lepas, dan entah taufan apakah yang paling getir dihadapinya.

Aku membayangkan kehidupan di laut.

Ketika peralihan angin monsun.

Di malam hari.

Hujan lebat yang sejuk mengigit berserta guruh dan halilintar.

Angin yang bergulung membawa bersama malapetaka.

Ah, kehidupan di lautan yang tidak pernah dangkal dengan pengalaman. Satu hari nanti aku akan punya kapal sendiri.

Tapi, bagi aku belajar berenang dulu.

Dipeluk kabus Kelimutu

Dua jam dari hotel di Ende, kami tiba di tempat letak kereta Gunung Kelimutu. Aku tengok jam, 6 pagi.

“Daftar dahulu, baru langsung ke atas.” kata supir kami. Raymond namanya.

“Berapa lama mahu ke atas?” tanya Vovin.

“Tidak lama, kira-kira setengah jam sahaja.” jawab Raymond.

Selepas 30 minit mendaki, kami akhirnya tiba di puncak. Sudah ada ramai orang di situ. Dikelilingi kabus tebal, tidak ada satu kawah pun yang jelas kelihatan. Mungkin kerana hujan yang turun pada malam hari membuatkan kabus tebal pagi itu.  Selepas sejam setengah, semuanya beransur pulang dan hanya tinggal 3 orang pengunjung yang masih menunggu. Aku, Vovin dan sorang brader dari Medan.

Sementara menunggu, kami bertukar-tukar cerita. Dia bercerita bagaimana beliau menaiki motorsikal dari Manggarai Barat menuju Kelimutu, berhenti sedikit-sedikit di jalanan kerana capek. Dia juga menjemput kami ke Danau Toba, di daerah tempat asalnya. Selain kami, ada lagi 3 penjual yang menunggu di situ. Berselimut menggunakan kain tradisional tenunan Flores, menjual kopi dan mee segera kepada pengunjung yang hadir.

Selama 3 jam aku tunggu, 2 mee segera, dan 2 kopi aku bedal. Barulah aku tahu, mee segera paling sedap dimakan masa tunggu kabus hilang, disulam pula dengan kopi panas.

Jam 9 pagi, kabus mulai hilang dan danau Kelimutu menampakkan wajahnya.

“Magis sekali,” kata brader dari Medan.

“…memang magis.” dia sambung.

kelimutu1

danaukelimutu

kelimutu2

IMAG1205

kelimutu4

kelimutu3

IMAG1229