4 tahun sebelum Covid, Pulau Dewa-dewa

Selama ini, aku sangka aku boleh berkelana seorang diri dengan tempoh yang lama.

Lepas 3 hari tengok pantai sorang-sorang, aku putus asa bertanya diriku apa ke gila aku buat dekat Gili Trawangan sorang-sorang? Terus aku beli tiket pesawat ke Bali. Kalau duit Malaysia RM95 lebih kurang harganya untuk perjalanan sehala.

20 minit terbang ke awan dari Lombok.

Sampai bandara Ngurah Rai, saudara Firdaus atau lebih senang dipanggil Pipiyapong sudah menunggu.

“Aku lepak dengan brader teksi ni, main chess.” mesej dari Firdaus.

“Orait kasi check-mate cepat,” aku balas.

Kemudian kami langsung ke Sanur untuk mendaftar masuk di Little Pond. Little Pond bagi aku adalah kediaman yang begitu selesa untuk didiami dan sangat berpatutan harganya. RM75 satu malam.

Selepas itu kami lepak makan dan sempat juga aku tanyakan kehidupannya di Bali. Dia macam biasa dicampak ke mana-mana masih hidup tenang dan santai hisap rokok.

Esoknya kami kembali ke Ngurah Rai berdua dengan motor masing-masing untuk mengambil Eman dan Vovin yang baru tiba dari Kuala Lumpur.

“Selamat datang ke Bali, mas Nazri.” kataku pada Vovin.