Aku dia dan Kinabalu

Kali kedua naik Kinabalu, aku tidak mempunyai persiapan ampuh. Aku hanya ada masa 12 hari untuk bersedia sebab sebelum itu aku masih belum dapat memastikan boleh pergi Kinabalu atau tidak (hal kerja). Ini adalah kesilapan utama dan aku harap janganlah kau naik gunung tanpa latihan dan persiapan yang cukup.

Dengan berat badan berlebihan, aku naik Kinabalu guna jalur Mesilau.

Otot kejang sana-sini. Mula-mula peha. Lepas tu betis, lepas tu patah balik peha. Rasa nak telefon helikopter tapi bila ingat balik bapaku bukanlah saudagar minyak Arab, aku batalkan hasrat tersebut dan menahan sakit.

Ketika itu musim kemarau, jalur Mesilau tiada bekalan air. Sampai persimpangan utama yang menemukan aku dengan pendaki dari jalur Kinabalu Park, terpaksa turun sedikit untuk ambil air di Kem Layang-layang. Tapi aku dah kekejangan otot dan rasa putus asa.

Nasib baik ada Rifhan Safwani yang ketika itu sangat cergas. Dia yang tolong ambil air di Kem Layang-layang. Di sinilah saya mengayat dia dan cuba memenangi hatinya. Mesti anda semua jarang dengar orang lelaki mengayat wanita sambil cramp kaki.

Maceh awak.

Menuju Atas Bayu

Kami tiba di Negeri di Bawah Bayu kira-kira jam 10 pagi. Ketika itu redup-redup tenang, cuaca yang sedap dibuat joging untuk mereka yang ingin kurus. Seperti dijanjikan, Azmil menyambut ketibaan kami di lapangan terbang.

“Bah!” kata dia.

“Bah.” aku balas.

Dia mengangguk faham dan kami menuju ke van.

Kemudian kami langsung ke Kinabalu Park untuk pendaftaran dan mengambil tag pendaki.

“Kita ada masa dua jam sebelum ke Mesilau Nature Resort. Mahu jalan-jalan dulu?” tanya Azmil.

“Ke mana bagus?”

“Kundasang Dairy Farm. Tengok lembu, makan aiskrim.” kata dia.

“Bah!”

 

 

di Kundasang

Cuaca yang sedap bergambor.