Jangkar diangkat. Layar dibuka. Bintang sebagai panduan. Dan angin yang menolak ke hadapan.

Laut membiru yang terbentang luas di hadapan aku tatap bersama secangkir kopi. Kopi yang dibancuh dengan penuh belaian mesra tangan lelaki dari Malaysia ini terasa tepat dan jitu di hujung lidah.

Sambil melihat awan-gemawan di atas perbukitan savana, aku mengira kelajuan phinisi dengan ilmu Kajian Tempatan yang penuh di dada. Berdasarkan gelap warna air, aku mengagak kedalaman dasar laut. Cukup dengan sedikit matematik asas, aku sangat yakin dengan congakan yang dibuat.

Hmmmm. 3 batu nautika per jam. Getus hatiku.

Selepas habis meminum kopi, aku naik ke geladak paling atas di mana kapten mengawal phinisi. Kabin kapten lengkap dengan kemudi, katil, pendingin hawa, alat komunikasi dan sistem navigasi di laut. Seperti sahabat yang sudah mengenali lama, aku menyapanya dan memulakan omong kosong.

“Saya dahulu sering ke Malaysia. Di Kuching.”

Kapten menceritakan pengalaman membawa kapal besar yang sarat dengan muatan kayu untuk dijual di Kuching.

“Lama saya di Kalimantan dulu bang. Isteri saya juga aslinya sana.”

“Kemudian 2011 saya pulang ke sini. Kerja bawa kapal di Labuan Bajo sahaja.”

Seronok mendengar cerita kapten, yang berlainan kehidupan dariku. Entah berapa kali dia melawan ribut di laut lepas, dan entah taufan apakah yang paling getir dihadapinya.

Aku membayangkan kehidupan di laut.

Ketika peralihan angin monsun.

Di malam hari.

Hujan lebat yang sejuk mengigit berserta guruh dan halilintar.

Angin yang bergulung membawa bersama malapetaka.

Ah, kehidupan di lautan yang tidak pernah dangkal dengan pengalaman. Satu hari nanti aku akan punya kapal sendiri.

Tapi, bagi aku belajar berenang dulu.