Nakhoda samudera idaman

25 Mei 2012, pesawat yang kami naiki meluncur laju di angkasa menuju bumi Siam. Sebelum melangkah ke dalam perut pesawat, kami telahpun meninggalkan semua memori yang akan membuatkan sebuah percutian menjadi kekok. Hanya perkara elok yang bermain di fikiran seperti pantai, ombak, birunya laut dan lagu Sabai-sabai nyanyian Bird Thongchai.

Bulan Mei adalah saat ombak di Laut Andaman sedang menggila. Amir yang 90 kilo sedang tercampak di geladak hadapan bot. Aku sedang kucar-kacir memegang besi. Bangah selaku pemuda paling kurus menguatkan kuda-kuda. Penumpang yang lain juga tidak kurang sibuknya, ada yang memegang topi supaya tidak terbang, ada yang menyimpan telefon ke dalam beg, ada juga yang lari ke dalam bot dari dek hadapan. Dengan ketinggian ombak dan bot yang sedang memecut laju, aku yakin tidak ada seorang pun mahu terjatuh ke dalam laut sekarang. Hentakan kuat dapat dirasakan dari bawah bot setiap kali menggagahi ombak.

Namun di dalam huru-hara begitu, ada seorang pemuda sedang tenang menghisap rokok. Berkaca mata hitam, pemuda itu begitu bersahaja menaikkan kaki kanannya ke lutut kiri. Beliau malah geli hati melihat gelagat orang yang sedang melawan gelora lautan.

“Mengada-ngada betul.” bisik hatinya.

Ya, pemuda itu adalah Saif. Saif si pemuda ringkas yang menjalani hidup yang sungguh mendamaikan.

Hari ini, dia sudah bergelar suami. Dan kami di Nusa dan Kejora mengucapkan selamat pengantin baru dengan ucapan,

Jalan masih teramat jauh
Mustahil berlabuh
Bila dayung tak terkayuh.

Selamat pengantin baru!

 

 

IMG_0786