Seorang wanita yang membiar lelakinya berdiri rapat di tepi penghadang melihat The Strokes di atas pentas

Sehingga tahun 2010-2011, hidup aku dikelilingi teman-teman kerana faktor usia dan kawan-kawan masih bujang. Kemudian semua mula bekerja dan ramai yang mula mendirikan rumah tangga. (Awalnya jodoh korang)

Kemudian aku punyai lebih masa bersendirian dan makan biskut cicah milo melayan perasaan.

Bermula fasa inilah aku mula mengenal hati budi Julian Casablancas dan rakan-rakannya. Saban malam aku duduk berseorangan bersandar di dinding melihat barisan seluar yang tergantung di balik pintu. Sebuah sunyi yang merdu.

The Strokes ada ketika hari aku serba tidak kena.

The Strokes ada di malam yang kosong.

Dan mereka masih di situ berlima berdiri bersabar menemani aku sambil memetik gitar, bass dan mengetuk dram.

Belasan tahun kemudian, mereka akan turun ke Sepang. Berita yang aku sambut dengan kerut di dahi kerana aku tidak berapa menyukai festival. Tapi ketika tarikh semakin dekat, aku menjadi semakin teruja sehinggalah ada seorang lelaki yang tidak berapa cerdas berfikir membatalkan festival The Strokes.

Babi.

Ketika Julian mengumumkan berita untuk menambah satu lagi malam di Singapura, aku sedih. Aku takut tak dapat pergi. Dan kemudian setelah diyakinkan seorang wanita untuk teruskan niat berjumpa The Strokes, aku tekad. Cuti diluluskan dan begitu berbunga di hati ini.

Akhirnya aku bertemu Julian dan kawan-kawan, yang telah lama membuai gurindam yang menerkam dan memelukku. The Strokesssss! Kau orang memang power! (Tolong baca sambil berdiri dan membuat tabik hormat)

Dannnn, selamat ulang tahun kepada srikandi hidupku yang belanja tiket konsert. Semoga tercapai segala mahumu. Dan teruslah kuat ketika hidup mengujimu. Kau adalah hari esokku, dan matahari pasti suram tanpamu.

Saya cinta kamu!

Cewah, macam orang putih datang Malaysia pula gaya sebutnya.