Sirap ceroi

Ada banyak perkara dan rutin yang berubah selepas aku menjalani alam rumahtangga.

Sebagai contoh, aku lebih banyak ke majlis kahwin dan aku sering mempersoalkan kenapa aku perlu pergi majlis kahwin anak kepada bekas murid papa isteriku?

Sebagai lelaki perkasa, aku layan dan anggap ini semua satu perjalanan menuju dewasa.

Dan dia sangat gemarkan air sirap tawar yang ada di majlis kahwin. Perangai ganjil yang satu ini membuatkan kening aku selalu berkerut.

“Air sirap ceroi sedap. I tak suka manis sangat.”

Whatever floats your boat, aku balas. Dalam hati.

Sekarang, setiap kali lepas berjoging jarak jauh aku akan membancuh air sirap. Mindaku meronta untuk diberikan tenaga dalam bentuk gula dan mungkin sebuah ganjaran selepas joging di bawah bahang matahari.

Dan yang anehnya selepas 10 tahun di alam perkahwinan, sirap yang aku bancuh ini harus hadir dalam bentuk tawar dan sejuk, sama seperti yang disukai isteriku.

“Sihir apakah ini?” Aku teguk sirap ceroi sambil berkerut.

Leave a comment