Antara durian, balak dan banjir. Kita di tengah-tengah, menyingsing seluar meredah air. Menunggu seorang Mandalorians.

Melihat bencana bah yang melumpuhkan Lipis dan banyak tempat lain, aku tahu di 3,4 bulan yang mendatang banyak dari kita akan kembali lupa dan alpa.

Kita lupa punca utamanya dan kembali leka dengan ikan patin, Musang King, dan segarnya dedaunan teh di Cameron.

Penerokaan tanah haram sudah banyak kali didendang dan dijaja pasukan-pasukan yang tinggi semangat cintakan alam. Tapi apa yang terjadi ialah suara mereka tenggelam jauh ke dalam lombong bauksit. Kalau melantun pun, hanyalah sekadar membuka luka kecil di hati pihak tertentu dan kemudian sembuhlah luka mereka seperti biasa. Kerana apa? Tiada tindakan. Tiada laskar yang datang menghukum. Tiada perajurit yang mengganggu-gugah rumah besar mereka.

Penceroboh yang sudah punya hasil puluhan tahun, dan banyak wang, di mana sebenarnya mereka tinggal? Adakah rumah mereka ditenggelami banjir? Adakah mereka turut bertarung nyawa dan berhempas-pulas menyelamatkan barang-barang di rumah? Adakah mereka meratap sepi hiba melihat orang orang tersayang hanyut di depan mata?

Mereka, pastinya tetap selesa tenang membawa kenderaan mewah dan gadang menyusuri lebuhraya. Jumpa kereta Alza aku, mereka memberi pancaran lampu tinggi sambil mencucuk dengan sangat rapat. Walaupun tiada ruang untuk aku menukar laluan kiri yang penuh dengan lori dan bas.

Dan yang anehnya mereka berani mengheret kerajaan ke mahkamah untuk mencabar tentang pencerobohan mereka. (Gunakan emoji gelak keluar air mata di sini).

Berita baiknya mahkamah menolak permintaan mereka.

Sekarang, aku berdoa pihak berkuasa menghukum mereka atas dasar menceroboh pula.

This is the Way!

Perasaan rindu kepada sesuatu yang bernama perayaan gol

Berpusing-pusing berpusing-pusing

mencari angin yang meniup layar

membawa bahtera ke hadapan

namun masih tak bertemu

Apakah kepenatan yang menjadi penghalang

ataupun

ketandusan idea seperti padang pasir menunggu hujan

ataupun

terlalu merindui susuk gagah pemain utama

seperti belantara kehilangan harimaunya

yang sepi tanpa ngauman

Kembalilah Liverpool, kosong dan jeda ini melesukan

kembalikan marabahayamu, bawakan kembali nestapa dan gelora galau

ke kubu lawan.

Caki,

Newcastle 0 – 0 Liverpool

Minit 77.

Diari Millie 9hb 12

Hari ini pawpa dan mama bangun awal bersiap-siap keluar berdua. Daripada gayanya, macam nak pergi joging. Aku tak peduli dan teruskan tidur. Yang penting makanan kucing dah tambah.

Lepas mereka beredar, aku bangkit dari power nap dan buli Yoona. Lemah punya kucing parsi.

Tak lama lepas tu mereka berdua kembali. Sebaik sahaja pintu dibuka, aku dan Yoona menyambut mereka di pintu dengan harapan dapat makan tuna kejap lagi.

Selepas 3 jam, tiada tuna untuk kami dan mereka berdua keluar kembali. Kali ini pawpa pakai wangian badan. Jarang-jarang berlaku.

Daripada curi dengar, mereka seperti mahu menyambut ulang tahun perkahwinan. Dan keluar makan. Lantaklah yang penting lepas mereka beredar aku boleh buli Yoona lagi.

Menjelang maghrib mereka pulang. Mama dapat bunga ros warna merah. Wangi betul. Semoga bunga itu diletakkan di tempat yang boleh aku panjat…

Tiba-tiba aku didukung dan pawpa tangkap Yoona. Kami dipaksa bergambar. Aku tak mahu difoto dan ingin mengadukan hal ini kepada Persatuan Hak Asasi Kucing!

Twilight Malaya

“Mek Nab, awak perlukan saya lebih dari dia. Jangan ikut dia Mek Nab.”

Mek Nab memandang Hafif sayu. Matanya sedikit berkaca. Dari jauh Ridzuan memerhati kelibat dua susuk itu. Ridzuan dengar apa sahaja yang diperkata mereka kerana pendengaran Ridzuan bukanlah calang-calang. Ridzuan juga mampu membaca pemikiran Hafif.

“Apa kurangnya saya? Dia hebat? Saya juga hebat Mek Nab.” Hafif terus cuba memujuk rayu. Mek Nab memusingkan badannya ingin berlalu pergi namun Hafif dengan pantas memegang tangan Mek Nab.

Ridzuan yang melihat adegan itu menjadi berang dan bergegas mendapatkan Mek Nab yang dikasihinya.

Hafif melihat Ridzuan datang. Hafif terus mengeluarkan tenaga batinnya dan berubah menjadi harimau. Hafif, seekor harimau jadian terus menerkam Ridzuan.

Ridzuan juga tidak mahu tewas dalam percintaan dan perkelahian anak jantan. Jika Hafif berubah, dia juga boleh. Hafif terus menjelma menjadi pocong.

Berlalulah pergelutan antara Hafif dan Ridzuan. Ridzuan cuba mematahkan leher Hafif seekor harimau jadian namun apalah daya seekor pocong. Pocong mana ada tangan. Dengan mudah Hafif meratah dan mengoyakkan tubuh Ridzuan. Ridzuan kini telah pergi ke alam fana. Mati sebagai pocong lebih memudahkan kerana tidak perlu lagi dikafankan.

Selepas ketiadaan Ridzuan, Hafif dan Mek Nab bercinta. Mereka kemudiannya berkahwin mengikut SOP di pejabat agama daerah.

-tamat-

Selain berlari dalam hutan, aquascape juga krisis pertengahan umur

Seingat aku, aku menceburi bidang membela ikan dalam akuarium ini seawal umur 9 tahun. Belakang rumah aku di Raub, ada satu longkang besar yang mengalir menjadi sungai dan memberi nutrien di setiap laluan yang ia lalui. Aku tangkap anak-anak ikan, dan aku masukkan dalam akuarium kecil. Lepas tu aku beli ikan guppy, ikan molly dan bila aku rasa aku bersedia untuk ke tahap seterusnya, aku bela kura-kura.

Macam biasa, semua yang aku bela masa tu mati.

Lepas pindah JB, aku meneruskan minat aku. Akuarium 2 kaki di ruang tamu. Segala jenis ikan aku sumbat dalam akuarium tu. Ikan layang-layang, ikan talapia, ikan kaloi, ikan oscar, apa je takde dalam akuarium aku tu? Semua ada.

Lepas tu banyak yang mati kerana bekalan elektrik terputus untuk tempoh yang lama. Aku meratap kesedihan dalam nelangsa tak berpenghujung kerana ikan talapia aku bela dari kecil sampailah ke besar mati hanya kerana tiada arus elektrik yang mengalir.

Sekarang bila dah dewasa, aku meneruskan minat ini kerana aku adalah aku.

Cuma kali ini aku cuba sebaik mungkin untuk hidupan dalam akuarium. Aku belajar dari YouTube, aku masuk group akuarium di Facebook, malah aku turut mengkaji keseimbangan nutrien di semua sungai yang aku redahi ketika masuk ke hutan.

Sebulan lepas aku menerima akuarium baru berukuran 60cm x 30cm x 18cm. Entahlah dari mana dia datang, rasanya Ustad Ebit Lew yang beli di Shopee dan hantar ke sini.

Dengan penuh ghairah, aku bina struktur dalaman akuarium ini. Segala tanah, batu, kayu, substrate, chemical filter, bio filter, mechanical filter, dan lain-lain semuanya aku gubah demi mendapat bio diversiti dan ekosistem yang sempurna.

Punyalah semangat, sampai 6 kali aku gubah dan betulkan. Keluar kayu, masuk batu, masuk lava rock, keluarkan Christmas moss, masukkan thailand moss.

Dan bini aku hanya menggeleng kepala melihat kelakuanku. Tapi aku tahu dia menggeleng dalam menyokong.

WFH – cabaran mudah?

Sejak PKP bermula pada bulan March, aku lebih banyak bekerja dari rumah. Ada juga hari yang perlu ke pejabat, namun boleh dihitung dengan dua baris dua baris sempoa. Itu pun kalau kau pandai guna la.

Berkerja dari rumah memang ada cabarannya tersendiri. Tanggungjawab mengemas rumah kini terletak padaku. Dan basuh baju.

Tapi semua ini dapat aku atasi dengan mudah. Aku akan mengingatkan isteriku untuk memberitahu bila dia bergerak pulang dari pejabat, dan sepantas itu aku mencapai penyedut hampagas.

Panggilan alam

Melihat jauh ke belakang, pernah di satu ketika aku berada dalam saat cemas semasa dalam perjalanan ke pejabat.

Ketika itu, baru suku perjalanan. Untuk makluman tuan-puan, jarak dari rumah ke pejabat mengambil masa 35 minit dengan menunggang motorsikal penuh santai.

Perasaan itu datang dan membuat cemas kerana aku perlu mencari tandas dengan kadar segera. Aku cuba menahannya namun gagal. Ketika itu memang sangat genting. Tapi kalau aku singgah, aku akan lewat ke pejabat. Aku berperang dengan perasaan. Namun apakan data panggilan alam ternyata terlalu besar amanahnya.

Mahu tidak mahu, aku ambil selekoh kiri menuju ke stesyen minyak terdekat. Nasib baik aku hafal geografi dan duduk letak kawasan untuk aku melaksanakan pelan kecemasan ini.

Sampai stesyen minyak, aku terus ke tandas. Huru-hara juga.

Sejak dari itu, aku akan memastikan panggilan alam ini disahut sebaik sahaja bangun tidur. Setakat ini semuanya berjalan lancar.

Cuma bila bangun terlalu awal (4 pagi) untuk masuk hutan, perasaan itu datang ketika aku on the way, huru-hara juga cari tandas. Yang penting tak perlu menyahut panggilan alam di dalam hutan. Jenuh juga kalau cari lokasi strategik…

Petanda mampir di dalam lenaku, untukmu semenanjung emas tanahairku

Duhai Datok Nujum Bintara Alam, adapun niat hamba datang mengadap tiadalah yang lain hanya datang memberi pedoman yang hamba dapat dalam mimpi tadi malam. Sudilah kiranya datok nujum meluangkan sedikit masa dan sekapur sirih seulas pinang.

Di dalam mimpi hamba malam tadi datok, hamba sedang menunggu datangnya tok mudim bertandang. Selama menunggu, hamba bercanda-ria bersama teman seperguruan di sekolah menengah. Rupanya mereka juga menunggu tok mudim untuk dikhatan, datok.

Kemudian, sampailah giliran hamba untuk dikhatankan tok mudim. Sebaik dibuka celana sakti hamba, rupanya tiada apa-apa lagi untuk tok mudim lakukan, sudah tersedia mengikut syariah agama yang kita junjungi.

Kemudian hamba berlalu pergi dan pulang ke rumah sambil berfikir untuk apa hamba membuang masa membuang tenaga beratur menunggu tok mudim. Sambil berjalan, hamba mengeluh dan kemudian terjaga di waktu lazim.

Sudilah kiranya datok nujum membuat tafsir akan mimpi dan petanda yang datang menjengah hamba malam tadi. Adakah negeri kita ini tidak perlu lagi ditukar-tukar bendaharanya? Kerana… well, you know, base on my dream last night. Right?

Namun jika ditukar, janganlah segan-silu menyambung morotarium. Sekadar memberi petanda.

Baru habis tonton Scent of a Woman

Kudratmu sekuat layar yang menentang ribut di lautan,

titahmu seolah guntur yang membelah lembah di pergunungan,

pandangan matamu membuat gerun membawa bersama gempa yang menggulung penguasa dan tirani,

sisipan rapi rambutmu,

bukan sahaja bintang timur di langit malam,

jalur bima sakti pun malu bersinar.

Dan andai kau menjadi murka, berantakanlah kayangan pasti jatuh menyembah bumi.

Oh Al Pacino.

Semoga yang baik-baik sahaja untukmu.

Spill the tea, Adrian – scammer

Pagi tadi pukul 2 aku bangun.

Lepas tu aku gelakkan Manchester United.

Elok aku nak tidur, Liverpool dah kena sebiji. Terus bulat biji mata dan aku hidupkan komputer untuk tengok bola guna AstroGo.

Lepas sebiji, sebiji, sebiji, sebiji masuk.

Aku seolah-olah mendengar orang menyanyi

“Satu tak cukup!

Dua tak cukup!

Tiga tak cukup!

Kita bagi cukup cukup!”

Pedih, tapi apa boleh buat. Beginilah adat bola. Kadang-kadang kita jadi Manchester United.

Pagi ini aku bangun dengan hati yang bersih. Aku maafkan semua orang. Lepas tu aku hantar bini pergi kerja. Dalam perjalanan balik rumah, aku lihat awan-gemawan. Burung-burung berkicau dan pepohonan melambai.

Dan aku berdoa di dalam hati.

“Semoga Adrian ditangkap SPRM.”