Jika aku termasuk di antara orang yang mengukur kehidupan mengikut tahun, aku akan mengatakan bahawa 2019 bermula dengan sebuah petanda yang buruk lagi meragukan.
3hb Januari, ibuku – seorang yang amat dikasihi dikejarkan ke hospital. Teramat pedih apabila diberitahu dia menangis mengadu sesak nafas. Ayah membawanya ke Klinik Kesihatan terdekat di Pekan Nanas dan kemudian doktor mengejarkannya dengan ambulans ke Hospital Pontian.
Keesokan hari, dia dimasukkan ke wad dan doktor memberitahu puncanya ialah aliran darah yang tersumbat di dalam jantung. Aku hanya mampu berdoa dari kejauhan dan memikirkan perkara yang positif. Dia mampu dan akan keluar dari kemelut ini. Dia akan bertambah sihat dan mengawal kesihatannya seperti yang dinasihatkan doktor. Sudah tentu dengan kunjungan yang kerap untuk pemeriksaan lanjut di masa hadapan.
Di dalam solat, aku terfikir bahawa betapa baiknya jika boleh kembali ke masa lalu. Pulang ke masa yang gembira di mana ibu, ayah dan adikku serta kami semua tidak perlu memikirkan rintangan dan ujian sukar kehidupan. Di masa itu, walaupun berjauhan, kami semua hidup dengan penuh kegembiraan. Boleh dikatakan kehidupan yang sangat lancar. Tapi apalah sebuah kehidupan tanpa pahit dan manis. Yang manis akan berakhir, dan yang pahit pasti berkunjung. Namun yang pahit itulah bakal ditelan dan menguji kekuatan manusia selama di dunia.
Ibu mungkin tidak akan tahu nukilan aku ini. Biarlah ianya bergentayang menghantui hidupku.
Kepada ibu, terus kuat. Masih banyak kenangan yang perlu kita tulis bersama, dan masih panjang nostalgia yang harus kita karang.