Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2019

Menemui ayahanda yang tersayang.

Seminggu sebelum bermula, nujum dan pawang langit dari pejabat menteri meramalkan angin tengkujuh akan bertiup kencang mengusir jerebu yang telah menyelimuti ibu pertiwi sepurnama lama. Kami rakyat yang mulia menunggu udara segar penuh renjana dan tepat seperti ramalan, angin sakti datang bertandang memberi nafas baru kepada nusa ini, ayahanda. Sudah pasti dengan izin Tuhan, penguasa alam.

Anakanda memulakan larian di waktu pungguk sedang meninjau bulan nun tinggi di atas kayangan. Di dalam keramaian rakyat yang membanjiri Dataran Merdeka, anakanda tenang melangkah melepasi garisan permulaan. Sudah tentulah dengan lafaz Tuhan yang menguasai waktu.

Dengan kelajuan 7 minit – 7:30 minit per KM. Anakanda menyalakan andang perjuangan yang sudah lama menunggu untuk membakar di hati. Duhai ayahanda, janganlah risau akan kecederaan yang telah lama anakanda hadapi, anakanda bertatih penuh waspada. Seperti mentari yang perlahan-lahan menembusi dedaunan di tengah rimba.

Ayahanda,

Sesekali kedinginan malam mengigit diri anakanda namun semuanya sudah di dalam perkiraan. Apalah sangat kedinginan di tengah kota jika mahu dibandingkan angin yang turun melepasi lembah dan gunung. Anakanda tetap melangkah gagah dan yakin. Setiap persiapan kaki kanan ditemani siaga yang akan menyusul di kaki kiri.

Untuk pengetahuan ayahanda, di acara ini telah dipersiapkan banyak perhentian yang menyediakan kemudahan. Air, makanan, bantuan perubatan, penguasa yang menjaga aliran, dan banyak lagi. Pengendali acara ini memang sudah tersohor dengan tata kelola mereka yang baik dan tersusun. Sayangnya ketika di KM19, anakanda melihat seorang peserta sedang terbaring dan dirawat ahli perubatan. Anakanda tidak tahu apa yang terjadi kepada peserta itu sehinggalah tamat acara. Rupanya dilanggar oleh pacuan 4 roda yang dipandu pacar hina.

Di KM20, anakanda sudah mula menemui tanjakan. Kami beramai-ramai dikerah menaiki lebuhraya DUKE dan anakanda sempat juga melihat sampah dan kulit pisang yang dibuang peserta. Begitu walang di hati namun apakan daya… anakanda hanya mampu menentang dengan hati. Di waktu ini anakanda masih larat berlari namun perlahan sahaja. Anakanda sudah menggunakan kelajuan 7:45-8:45.

Selepas beberapa ketika, anakanda berada di KM31 dan diserang kekejangan otot terutamanya di bahagian betis. Seperti sudah menjadi kelaziman kepada diri ini, ayahanda. (Emoji gelak)

Beberapa kali juga anakanda berhenti dan menghayun-hayunkan kaki kanan dan kiri untuk melancarkan kembali perjalanan darah. Membuahkan hasil sedikit dan membantu anakanda untuk meneruskan larian namun tidak lama sebelum kejang itu kembali menyerang. (Emoji sedih)

Ayahanda, anakanda telah cuba seberapa pantas yang boleh. Dan cuba untuk menghabiskan larian di bawah kiraan 5 jam setengah. Namun seperti jerung yang kehilangan sirip, anakanda hanya mampu berjalan perlahan. Beberapa ratus meter sebelum tamat, ada hiruk-pikuk gegak gempita yang dapat anakanda dengari dari kejauhan. Rupanya sorakan dan jeritan semangat orang ramai kepada anakanda untuk terus berlari. Berbagai kata-kata semangat dijulang dengan kedua belah tangan mereka supaya anakanda terus bersemangat. Siap ada yang mengatakan jodoh anakanda tunggu di hadapan! Secara jujur, anakanda memang terkesan dengan suasana itu, ayahanda. Anakanda dengan pantas! Berlari! Dan terus mengangkat perjuangan ini dengan api membara! Anakanda berlari! Dan berlari! Dan berlari! Dan kemudian kejang semula 50 meter di hadapan.

Menjelang di garisan penamat, anakanda sempat juga membuat beberapa gaya yang boleh mencuit hati jurugambar. Dengan harapan gambar anakanda diambil mereka lantas dimuatnaik ke laman rasmi.

Selepas mengambil baju penamat dan pingat, anakanda berjalan mendapatkan isteri dan teman-teman yang sedang menunggu. Begitu bangga anakanda dengan diri ini, telah berjaya melakukan maraton penuh buat kali yang ketiga. Anakanda janji akan meningkatkan lagi usaha dan kudrat di maraton akan datang.

Terima kasih ayahanda, yang sentiasa berbangga dengan apa sahaja perjuangan anakanda. Terimalah salam sayang dari anakanda yang sedang tenang mencicip kopi sambil menunggu ribut di langit reda.

Anakandamu,

Caki.

Wangsa Maju.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s