Nota untuk kekasihku

Kehadapan isteri yang ku kasihi,

Sebenarnya telahku cuba melipat kain baju sehabis baik, namun apalah dayaku kerna setiap manusia itu tidak sempurna. Aku cuba melipat kain baju mengikut petunjuk dan caramu tapi gagal setiap kali.

Pernah sekali ketika kita sedang menatap telefon masing-masing, aku menunjukkan cara orang melipat stokin dengan sangat kemas dan kau membalasnya sambil menjegil mata dengan garang,

“Macam ni la saya lipat selama ni.”

Dan aku mengalihkan pandangan semula ke telefon dengan sedikit berdebar.

Hari ini, lebih tepat lagi dua hari lepas, kau telah menginjak ke umur yang baru. Kendatipun telah meningkat usia, dirimu masih seperti dulu. Seorang biduanita yang manja dan berhati lembut namun garang dengan diriku seorang. Diulangi, diriku seorang.

Semoga semua impianmu tercapai sayang.

Masa untuk aku cuba lipat baju dengan sudut yang lebih terperinci.

Setia Alam Community Trail – Mirror Lake

Pergunungan menyeru dan aku harus menjawabnya.

Seseorang

Berkat petikan di atas, aku mempersiapkan mental dan fizikal untuk masuk lebih dalam ke Banjaran Titiwangsa. Antara persiapan yang aku lakukan mestilah latih-tubi yang diulang supaya ketika di tengah lembah pergunungan nanti aku tidak berasa sesal. Dan tenang menikmati alam.

Jadi semalam aku masuk Setia Alam Community Trail dan langsung ke Tasik Cermin yang berada di bawah kaki Bukit Saputangan.

Aku sampai dalam jam 8:45 pagi (tersalah jalan) dan terus masuk berbekalkan berger McD, dua tin Nescafe Tarik Kaw dan Rifhan Safwani.

Masuk dan terus ikut denai Peak Garden. Lepas tu cari petanda ke Mirror Lake. Bukan main ramai orang yang menyambut 1 Muharram di tepi tasik.

Lepas makan, kami keluar dari hutan. Di dalam mindaku, hanya ada nasi beryani kambing kuzi untuk menebus kembali 1381 kalori yang dibakar.

Langsung dari MEX Highway

Setiap kali naik motor dan lalu di tengah kesesakan, aku akan memastikan aku mempunyai ruang yang cukup untuk menekan brek. Mengikut pengalaman, kenderaan di hadapan boleh menukar haluan pada bila-bila masa mengikut sedap tekak mereka. Kemudian mereka akan salahkan motor yang datang entah dari mana dan laju. Padahal lurus je dari belakang.

Dan pagi tadi satu Mercedes yang dipandu makcik berkaca mata hitam, bagi isyarat ke kanan dan terus masuk tanpa mengambil kira jarak aku yang sangat hampir dengan keretanya.

Aku picit punat hon sambil brek mengejut.

Pinnnnnnnnnnn! (Dibaca mengikut bunyi hon yang anda selalu dengar)

Cepat-cepat dia masuk semula laluan asal.

Aku memberi renungan maut dan dia buat selamba sahaja tanpa peduli keadaan jiwa aku yang terkejut dan depression.

Dalam keadaan marah, aku meneruskan perjalanan sambil memikirkan patutkah aku sarapan berat sedikit kerana tekanan perasaan yang baru aku alami?

Tapi bila tengok jam aku sudah sedikit lewat ke pejabat, aku simpan niat untuk sarapan roti canai dengan kari kambing.

Kucing

Setiap kali aku tengok Millie (seekor kucing) duduk diam dan merenung jauh ke langit, kemudian tidur tanpa berbuat apa-apa, aku berasa sedikit hiba. Sepatutnya dia mempunyai seekor rakan untuk bermain dan berteman. Barulah hidupnya ceria.

Dan tempohari aku berjanji dengan seorang rakan. Dia nak bagi anak kucing baka Bengal. Cuma kena tunggu sebab mak Bengal tu baru bunting. Jadi selepas membuat kira-kira, dalam 3 bulan lagi bolehlah Millie berteman dan punyai rakan bergaduh bercakar.

Jadi aku sudah memikirkan nama untuk kucing itu nanti. Aku berkata kepada isteri, nak namakan Richard Parker sempena nama harimau yang disegani. Nama panggilan, Rich.

Tapi isteri aku bangkang dengan alasan nama Millie haritu aku dah bagi. Sekarang giliran dia pula.

Aku diam monyok pandang lantai. (Emoji murung)

Millie

Hari ini aku sedikit gusar kerana Millie permata hatiku seekor kucing berwarna oren seperti demam selepas mengharungi perjalanan yang panjang. Pulang ke Johor dan mengiau sepanjang jalan, terkurung di sangkar dan sesekali dibawa keluar ketika di kampung, kembali ke Seri Kembangan juga mengiau.

Semoga Millie kembali berlarian ke sana-sini sambil terus bermeow tanpa mengenal penat.

Meow~