Twilight Malaya

“Mek Nab, awak perlukan saya lebih dari dia. Jangan ikut dia Mek Nab.”

Mek Nab memandang Hafif sayu. Matanya sedikit berkaca. Dari jauh Ridzuan memerhati kelibat dua susuk itu. Ridzuan dengar apa sahaja yang diperkata mereka kerana pendengaran Ridzuan bukanlah calang-calang. Ridzuan juga mampu membaca pemikiran Hafif.

“Apa kurangnya saya? Dia hebat? Saya juga hebat Mek Nab.” Hafif terus cuba memujuk rayu. Mek Nab memusingkan badannya ingin berlalu pergi namun Hafif dengan pantas memegang tangan Mek Nab.

Ridzuan yang melihat adegan itu menjadi berang dan bergegas mendapatkan Mek Nab yang dikasihinya.

Hafif melihat Ridzuan datang. Hafif terus mengeluarkan tenaga batinnya dan berubah menjadi harimau. Hafif, seekor harimau jadian terus menerkam Ridzuan.

Ridzuan juga tidak mahu tewas dalam percintaan dan perkelahian anak jantan. Jika Hafif berubah, dia juga boleh. Hafif terus menjelma menjadi pocong.

Berlalulah pergelutan antara Hafif dan Ridzuan. Ridzuan cuba mematahkan leher Hafif seekor harimau jadian namun apalah daya seekor pocong. Pocong mana ada tangan. Dengan mudah Hafif meratah dan mengoyakkan tubuh Ridzuan. Ridzuan kini telah pergi ke alam fana. Mati sebagai pocong lebih memudahkan kerana tidak perlu lagi dikafankan.

Selepas ketiadaan Ridzuan, Hafif dan Mek Nab bercinta. Mereka kemudiannya berkahwin mengikut SOP di pejabat agama daerah.

-tamat-

Selain berlari dalam hutan, aquascape juga krisis pertengahan umur

Seingat aku, aku menceburi bidang membela ikan dalam akuarium ini seawal umur 9 tahun. Belakang rumah aku di Raub, ada satu longkang besar yang mengalir menjadi sungai dan memberi nutrien di setiap laluan yang ia lalui. Aku tangkap anak-anak ikan, dan aku masukkan dalam akuarium kecil. Lepas tu aku beli ikan guppy, ikan molly dan bila aku rasa aku bersedia untuk ke tahap seterusnya, aku bela kura-kura.

Macam biasa, semua yang aku bela masa tu mati.

Lepas pindah JB, aku meneruskan minat aku. Akuarium 2 kaki di ruang tamu. Segala jenis ikan aku sumbat dalam akuarium tu. Ikan layang-layang, ikan talapia, ikan kaloi, ikan oscar, apa je takde dalam akuarium aku tu? Semua ada.

Lepas tu banyak yang mati kerana bekalan elektrik terputus untuk tempoh yang lama. Aku meratap kesedihan dalam nelangsa tak berpenghujung kerana ikan talapia aku bela dari kecil sampailah ke besar mati hanya kerana tiada arus elektrik yang mengalir.

Sekarang bila dah dewasa, aku meneruskan minat ini kerana aku adalah aku.

Cuma kali ini aku cuba sebaik mungkin untuk hidupan dalam akuarium. Aku belajar dari YouTube, aku masuk group akuarium di Facebook, malah aku turut mengkaji keseimbangan nutrien di semua sungai yang aku redahi ketika masuk ke hutan.

Sebulan lepas aku menerima akuarium baru berukuran 60cm x 30cm x 18cm. Entahlah dari mana dia datang, rasanya Ustad Ebit Lew yang beli di Shopee dan hantar ke sini.

Dengan penuh ghairah, aku bina struktur dalaman akuarium ini. Segala tanah, batu, kayu, substrate, chemical filter, bio filter, mechanical filter, dan lain-lain semuanya aku gubah demi mendapat bio diversiti dan ekosistem yang sempurna.

Punyalah semangat, sampai 6 kali aku gubah dan betulkan. Keluar kayu, masuk batu, masuk lava rock, keluarkan Christmas moss, masukkan thailand moss.

Dan bini aku hanya menggeleng kepala melihat kelakuanku. Tapi aku tahu dia menggeleng dalam menyokong.

WFH – cabaran mudah?

Sejak PKP bermula pada bulan March, aku lebih banyak bekerja dari rumah. Ada juga hari yang perlu ke pejabat, namun boleh dihitung dengan dua baris dua baris sempoa. Itu pun kalau kau pandai guna la.

Berkerja dari rumah memang ada cabarannya tersendiri. Tanggungjawab mengemas rumah kini terletak padaku. Dan basuh baju.

Tapi semua ini dapat aku atasi dengan mudah. Aku akan mengingatkan isteriku untuk memberitahu bila dia bergerak pulang dari pejabat, dan sepantas itu aku mencapai penyedut hampagas.