Hari ini pawpa dan mama bangun awal bersiap-siap keluar berdua. Daripada gayanya, macam nak pergi joging. Aku tak peduli dan teruskan tidur. Yang penting makanan kucing dah tambah.
Lepas mereka beredar, aku bangkit dari power nap dan buli Yoona. Lemah punya kucing parsi.
Tak lama lepas tu mereka berdua kembali. Sebaik sahaja pintu dibuka, aku dan Yoona menyambut mereka di pintu dengan harapan dapat makan tuna kejap lagi.
Selepas 3 jam, tiada tuna untuk kami dan mereka berdua keluar kembali. Kali ini pawpa pakai wangian badan. Jarang-jarang berlaku.
Daripada curi dengar, mereka seperti mahu menyambut ulang tahun perkahwinan. Dan keluar makan. Lantaklah yang penting lepas mereka beredar aku boleh buli Yoona lagi.
Menjelang maghrib mereka pulang. Mama dapat bunga ros warna merah. Wangi betul. Semoga bunga itu diletakkan di tempat yang boleh aku panjat…
Tiba-tiba aku didukung dan pawpa tangkap Yoona. Kami dipaksa bergambar. Aku tak mahu difoto dan ingin mengadukan hal ini kepada Persatuan Hak Asasi Kucing!

