Makcik gerai nombor 4 medan selera Rasa Sayang Hey. Tujuan saya menulis surat ini adalah dengan tiada niat lain melainkan menegur. Adapun kita orang Timur adalah sebaik-baik bangsa orang beradat orang beradab. Semoga surat ini menuju ke dakapan hati makcik dengan dada yang lapang sesungguhnya niat saya suci seperti nirmala air pagi yang memecah di pantai Laut Andaman.
Makcik, kemuliaan seekor ayam itu terletak pada pahanya. Benar, saya tidak menipu. Paha seekor ayam punyai seperti mukjizat. Kenyal dan berisi bersilih ganti. Peha ayam jika digoreng rapi atau dibuat kari, aduh enak yang amat. Diambil pula puri atau roti canai lembut, dicicah ke dalam kari yang berinti peha. Saya menulis sambil menitis air liur.
Jadi kenapa makcik? Kenapa tiada peha di dalam banyak-banyak bahagian yang saya mahu pilih tadi? Begitu sukar saya menerima kenyataan dan menelan kepak ayam sambil menggeleng kepala mengenangkan pilihan yang sukar.
Tetapi tidak mengapalah makcik, kendati kepak, tetap terisi perut dan kenyanglah saya tadi. Cuma untuk tindakan dan peringatan di masa akan datang, peha ayam seeloknya berada di antara longgokan ayam goreng dan ketika saya membelek-beleknya saya tersenyum dan berasa tidak sabar. Mungkin kelakar untuk makcik tapi tidak saya.