Dia berkeliaran mencari makan. Seekor anjing hitam itu dalam penuh ketakutan tetap gagah berkeliaran mencari makan untuk anak-anaknya.
Kotor.
Jijik.
Najis.
Seringkali kata-kata ini dilempar kepada mereka oleh satu-satunya makhluk ciptaan Tuhan yang berakal.
Kadang ada anak-anak membaling batu. Luka ini hanya perkara kecil, esok pasti sembuh. Kata anjing hitam berbisik.
Penuh waspada, dia terus mencari makanan. Demi anak-anak, dan hari esok. Alangkah malangnya kerana dia tidak tahu, sebuah laporan telah sampai di atas meja pihak berwajib.
“Akan kami selesaikan. Usah khuatir tuan.” Kata pegawai.
Pegawai bergegas. Perangkap, jaring dan kelengkapan dibawa. Dan akhirnya si anjing hitam kini di belakang lori. Menuju sebuah tempat asing yang dia tidak ketahui.
“Tapi, anak-anakku sedang menunggu! Tuan! Jangan pisahkan saya dengan mereka! Tuan tolong!” Anjing hitam menjerit dan menangis namun ini hanyalah lolongan dan salakan yang bingit bagi tuan pegawai.
Telah kita ketahui nasib si anjing hitam. Sama ada sakit dan mati, atau dilupuskan bila sampai waktunya.
Anak-anaknya yang menunggu saban hari itu telah lapar, dan kini terpaksa keluar mencari makan.
“Terima kasih penguatkuasa kerana cekap bertindak.” Kata seorang penduduk. Kini tiada lagi anjing hitam di kejiranan rumahnya. Selepas yakin dan terasa bersih halaman rumahnya, dia kini boleh menumpukan sepenuh perhatian pada amal dan jariah.