Dikisahkan di zaman dahulu-kala di sebuah empayar bernama Mesopotamia rakyat dan rajanya hidup dengan aman damai. Di wilayah itu sesungguhnya tidaklah berlaku walau apa jua kecelakaan dan huru-hara.
Rakyatnya dan rajanya hidup tenteram dan sangat kaya dengan harta juga budi bahasa. Di waktu itu pendakwaraya, polis mahupun peguam ketandusan akal ingin berbuat apa lagi kerana tidak ada walau satu pun jenayah. Maka mereka bersenang-lenang duduk di rumah belajar menjaga bonsai.
Namun di satu hari hendak dijadikan cerita terjadilah satu bencana di mana anak kepada saudagar yang maha kaya telah terguris hatinya. Entah harus bagaimana lagi hatinya harus ditatang rakyat jelata, semua kemahuannya dituruti dan alur pendapatnya walaupun bengkok ditegakkan orang sekeliling.
Maka diperintahkan anak kepada saudagar tadi kepada balaci dan baruanya supaya dibuat sesuatu kepada pemuda yang telah menyakiti hatinya.
Dan esoknya pemuda itu telahlah dicampakkan buah epal dan tepat mengenai dadanya. Di waktu itu, mencampakkan buah epal merupakan sebuah jenayah yang amat berat.
Maka peristiwa itu telah mencetuskan gelora di kalangan rakyat yang lain maka digesalah pendakwaraya dan polis yang sedang membelek bonsai itu tadi untuk segera menyelesaikan siasatan untuk mencari siapakah balaci dan barua itu yang telah membaling buah epal kepada pemuda yang mejadi kesayangan rakyat.
Siasatan bermula dan pesalah dicari namun setelah beberapa hari pihak penyiasat mengatakan mereka gagal sebulat suara menemukan barua dan balaci yang telah menjadikan hidup pemuda itu porak peranda.
Penyiasat lalu menegur rakyat untuk tidak mencetuskan huru-hara dan jangan menyebar khabar yang tidak tepat, adapun bonsai yang telah mulai layu di situ harus dibelai kembali.
Tidak lama kemudian kesemua pihak penyiasat dikhabarkan telah naik pangkat dan menjadi orang penting di tempat yang baru. Dan mereka pun menambah bilangan bonsai yang boleh dibelai.
Tinggallah pemuda itu tadi merenung awan dan masa hadapannya yang gelap.