Salammusik – Mabuk Puisi

Katamu bir-bir berbusa menyimpan
percikan kata-kata rahsia yang kau pendam
bahkan begitu puitis hingga secawan kopi hitam pun
tak mampu menandingi haruman kata-kata itu

aku sangsi pada jari-jarimu
yang menanggalkan sendiri baju dari tubuhmu
barangkali kau terlebih mabuk
dan bibir gelasmu menyimpan lebih dari sekadar jujur

sepotong kenangan
ku guna, ku guna
untuk menajamkan kata-kata
sepotong luka
ku guna, ku guna
untuk memastikan puisi ini bukan pura-pura

barangkali kau harus belajar mengampuni
dan tak terburu-buru menulis puisi,
kerna puisi adalah lebih dari sekadar gerimis mahupun hujan di atas kertas
malah lebih dari sekadar doa-doa patah hati

—-

“Mabuk Puisi” dari buku Sekumpulan Epitaf & Surat-surat Yang Lewat oleh Karl Agan

Menatap

Seorang lelaki duduk di bawah pohon tua, barangkali setua luka yang ia simpan. Bayang-bayang dedaunan menari di pipinya yang berjambang halus, sementara burung-burung bersiul seolah-olah tidak peduli pada manusia yang sedang belajar melepaskan.

Di tangannya, sebuah telefon yang layarnya menyala muram. Gambar itu muncul: seekor kucing dengan ngiaunya yang garau dan tidur di pangkuan setiap kali punya peluang. Jennie, begitu ia menamainya. Kini hanya bayangan dalam layar telefon, namun lebih hidup daripada apa pun yang ada di sekelilingnya.

Dia menghela nafas—perlahan, panjang. Senyuman kecil terbit di wajahnya, mengingati masa yang pernah berlalu bersama Jennie.

Matanya basah, tapi tak setitis pun jatuh. Dia tahu tangisan hanya akan membuat Jennie mengiau dari alam lain, dan dia belum cukup berani mendengarnya lagi. Maka dia menyimpan telefon itu ke dalam poket, memeluk seorang diri kesunyian yang timbul, dan membiarkan dunia berjalan seperti biasa—tanpa Jennie.

Hidup adalah hutang yang tak pernah lunas

Ketika berita pemergianmu mendarat di telefon pintarku, aku sangkakan ianya adalah satira.

Dunia ini sudah terlalu banyak dengan gurauan, hingga berita kematian menjadi senda.

Tapi kemudian ku amati — itu dari laman rasmi berita.

Aku berkerut, dan menajamkan pandangan mata.

Benar, kau telah pergi.

Dengan cara amat pantas.

Secepat bola yang kau sepak ke sudut kanan gawang.

Kemudian aku berfikir apakah jaringan gol yang boleh aku ulang dengan cepat,

dan pemain Arsenal terjatuh di rumput bertandang di fikiran.

Selamat malam, Diogo.

Jangan ganggu mimpi kami malam ini.

Tapi kalau datang,

bawalah cerita baru dari tanah abadi—

kerana kami, yang masih hidup, kehabisan akal.

Dia isteriku, Quality Assurance Associate

Isteriku adalah seorang yang teliti.

Jadi, selepas minum aku melangkah ke sinki dengan penuh hati-hati. Kemudian aku akan teringat cara-cara membasuh cawan yang diajarnya.

Mula-mula basuh dengan sabun segenap penjuru cawan, termasuk pemegangnya. Kemudian air dibuka perlahan supaya tidak membazir dan mercik.

Selesai. Aku menarik nafas lega.

Ingatkah kalian tentang isteriku yang teliti?

Dia kini sedang berjalan ke arah sinki. Aku menelan air liur…

Cawan tadi dibeleknya dan diambil untuk dibasuh.

Aku berlalu pergi dan terasa seperti ada sesuatu ingin menerpa.

Batu kikir jomatan bosi

Ketika kecil, aku tidak mempunyai peluang untuk menentukan muzik apa yang akan dimainkan di dalam kereta. Radio yang ada sering kehilangan isyarat dan hanya banyak mengeluarkan bunyi yang tidak enak.

Jadi, perjalanan menuju ke Pengerang dari Raub aku akan berulang-kali mendengar kaset yang sama. Ketika budak-budak lain akan mendengar Slam atau KRU atau Iklim, aku akan mendengar Ally Noor dan Mastura. Kaset kedua yang ada dalam kereta adalah campuran rock kapak yang lagu hit-nya adalah Spring – Bourgenvilla. Lagu lain entah dicedok dari mana.

Berbalik kepada Ally Noor dan Mastura, aku tidak tahu kenapa ayah memilih untuk membeli kaset ini. Tekaan aku adalah dia pergi ke pasar malam, kemudian membelinya tanpa segan-silu.

Walaupun tidak fasih dengan dialek Nismilan, aku tetap berjaya sing along lagu-lagu Ally Noor dan Mastura.

Aku kecewa bila Spotify dan Apple Music gagal menghadirkan lagu Ally Noor dan Mastura dalam halaman waktu senangku. Terima kasih untuk Youtube Music, begitu banyak lagu Ally Noor dan Mastura.

Rindu adalah satu perkataan yang sukar aku nyatakan untuk ayah, tapi ianya menjadi lebih mudah bila aku memasang lagu Ally Noor & Mastura.

“Dah den koba an dulu! Kumpo kan duit. Pinanglah copek ini kau tangguh an.” 🎶🎵

Lompong kosong yang tak akan terisi

Selepas menyusun dan mengemas bilik kucing, aku mendukung Paprik. Paprik adalah anak bulus yang paling rapat dan mahu ikut ke mana sahaja aku pergi. Anehnya Paprik tidak mahu isteri mengusapnya, hehe.

Di bawah pendingin hawa, ada potret Jennie dengan bingkai warna hitam.

Paprik aku halakan pandangannya ke arah potret Jennie. Dia merenung potret ibunya itu untuk beberapa saat sebelum meronta sedikit memberi tanda mahu turun.

Aku menyambung melihat potret Jennie. Begitu bersinar dan bersih matamu sayang. Kemudian aku terbawa ke saat memeluk Jennie yang sedang lemah dan hanya mampu menggerakkan kepala. Aku tidak mahu membawa Jennie ke klinik haiwan tapi setiap peluang untuk memulihkan Jennie harus diambil. Tapi telah diatur Tuhan, 21 April tahun lepas adalah hari terakhir Jennie yang masih bernyawa dipeluk.

Dan esok, genap setahun jasad Jennie ditanam di bawah rumah.

Rindu.

Hidup aku dan isteri seperti tidak ada tujuan selepas menanam jasad Jennie pada April tahun lalu. Kemudian kami berdua membawa diri ke Bali untuk melupakan sekejap segala kenangan yang dibawa Jennie di dalam rumah ini.

Ada lompong kosong yang pasti tidak akan terisi selepas Jennie meninggalkan kami. Setiap kali melalui halaman tempat kami tanam jasadnya, hati ini kembali luka.

Mata yang berkaca akan segera diseka dan perjalanan naik ke rumah diteruskan dengan senyum. Harus terus kuat untuk anak-anak bulus yang lain.

Menulis tentang Jennie akan membawa aku ke daerah penuh hiba. Terasa terlalu sebentar Jennie izinkan kami menjaganya. Dan sesekali terasa tidak berguna kerana gagal memberi Jennie ruang yang lebih baik.

Jennie hadir, di satu hari terbaring lemah. Dan dengan pelbagai penyakit sambil bunting. Doktor memberinya hanya 2-6 bulan untuk hidup. Tapi Jennie kami kuat. Dia melawan segala musibah dan cekal membesarkan anak-anaknya. Jennie hidup bersama kami lebih dari dua tahun. Menjaga Jennie adalah satu cabaran yang membuatkan dia menjadi terlalu istimewa.

Jennie, kalau kita boleh berjumpa lagi aku tidak akan lepas dari mendakap dan memelukmu.

Terima kasih kerana hadir dan mengajar kami erti sebuah kekuatan, sayang.

Terima kasih kerana mencipta peti ais

Di hari yang panjang, aku akan membancuh neskafe dan meletakkannya di atas meja. Selalunya aku memilih untuk meletakkan ais di dalam neskafe yang dibancuh. Aku akan memastikan kuantiti gula, air panas dan bongkah ais mengikut piawaian yang telah aku tetapkan sendiri sejak aku punyai peti ais peribadi. Aku masih ingat peti ais pertama yang kubeli pada 2009 di Courts Mammoth.

Kemudian aku melangkah ke penjuru dan menarik kerusi goyang ke hadapan TV. Sambil mendengar lagu, aku akan menghirup neskafe ais yang berada dekat di tangan kiriku.

Aku akan memuji betapa hebatnya barisan pemuzik ini dapat membuat aku terimbau kembali suatu masa yang telah lepas, dan yang paling penting dapat membuat reda segala kecamuk di kepala. Aku tidak bercerita kepada isteriku kerana entah, aku penat. Cukuplah aku dengar lagu dan minum neskafe.

“Satu lagi hari yang sial telah tamat.”

Lantas aku bangun dan membasuh cawan yang kosong.

Kadang-kadang

aku ingin terbang tinggi, seperti burung melihat dunia diiring angin kencang.

Kadang-kadang aku ingin menjadi pokok merbau, utuh berdiri tetap tenang dilanggar ribut.

Kadang aku hanya mahu menjadi simpulan tali, yang mengikat buritan kapal dan jangkar.

Kadang aku terfikir untuk duduk-duduk sahaja, berehat.

Kadang-kadang…

aku ingin menjadi Imran Ajmain, menyanyi dan membikin resah di malam hari.

Selamat ulang tahun, sayang~

Kopi, seekor malaikat

Ketika Dungun dipuji kerana menjadi daerah mesra kucing, di negeri yang sama terletak sebuah daerah yang menjadi neraka untuk anjing.

Apakah sebenarnya yang membuat anjing tidak dapat diterima untuk sama-sama hidup di atas muka bumi ini dan siapakah gerangannya yang dapat memberi kata putus bahawa anjing perlu dibunuh?

Kita berharap kesemua ustaz dapat bersatu dan mengeluarkan satu fatwa bahawa berlaku kejam terhadap haiwan adalah satu bentuk kezaliman dan pelakunya telah hampir di simpang menuju neraka.

Kita juga berharap rasa simpati yang ditumpahkan pada Palestin melimpah kepada haiwan-haiwan gelandang yang berpeleseran di daerah kita. Manusia berakal pasti dapat meneka apakah punca sebenar kepada bilangan haiwan gelandang yang ada hari ini.

Tapi telah kita tahu ramai yang tidak berotak khususnya mereka yang menaiki kenderaan dalam gelap merayap memegang senapang dan membidik tepat ke arah anjing-anjing liar.

Cuma yang kita tidak tahu apakah yang berada di dada mereka selepas berjaya menembak dan membunuh?

Adakah. Mereka. Berasa bangga?