Kadang-kadang

aku ingin terbang tinggi, seperti burung melihat dunia diiring angin kencang.

Kadang-kadang aku ingin menjadi pokok merbau, utuh berdiri tetap tenang dilanggar ribut.

Kadang aku hanya mahu menjadi simpulan tali, yang mengikat buritan kapal dan jangkar.

Kadang aku terfikir untuk duduk-duduk sahaja, berehat.

Kadang-kadang…

aku ingin menjadi Imran Ajmain, menyanyi dan membikin resah di malam hari.

Selamat ulang tahun, sayang~

Kopi, seekor malaikat

Ketika Dungun dipuji kerana menjadi daerah mesra kucing, di negeri yang sama terletak sebuah daerah yang menjadi neraka untuk anjing.

Apakah sebenarnya yang membuat anjing tidak dapat diterima untuk sama-sama hidup di atas muka bumi ini dan siapakah gerangannya yang dapat memberi kata putus bahawa anjing perlu dibunuh?

Kita berharap kesemua ustaz dapat bersatu dan mengeluarkan satu fatwa bahawa berlaku kejam terhadap haiwan adalah satu bentuk kezaliman dan pelakunya telah hampir di simpang menuju neraka.

Kita juga berharap rasa simpati yang ditumpahkan pada Palestin melimpah kepada haiwan-haiwan gelandang yang berpeleseran di daerah kita. Manusia berakal pasti dapat meneka apakah punca sebenar kepada bilangan haiwan gelandang yang ada hari ini.

Tapi telah kita tahu ramai yang tidak berotak khususnya mereka yang menaiki kenderaan dalam gelap merayap memegang senapang dan membidik tepat ke arah anjing-anjing liar.

Cuma yang kita tidak tahu apakah yang berada di dada mereka selepas berjaya menembak dan membunuh?

Adakah. Mereka. Berasa bangga?

Rajawali, Terbang Tinggi

Sebagai raja pecut yang telah cedera, aku tidak dapat menjalankan tanggungjawab untuk mewakili rumah kuning dalam sukan tahunan sekolah.

Ketika hari sukan, aku tepuk bahu member aku.
“You can do it. Gambate!”

Ada riak gugup yang disusuli apakah itu gambate di wajahnya.

Banggg! bunyi pistol untuk acara 100 meter menyapa telinga semua yang hadir.

Punya laju member aku tu tinggalkan rumah biru dengan merah. Rumah hijau lagi sayur. Tak sia-sia aku cedera.

Sebagai pemegang bendera, aku berlari dan mengibarkan bendera rumah kami. Kejayaan dia adalah kejayaan aku dan juga semua murid Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 1 yang juga rumah kuning.

4×100 meter, 4×400 semua kami tapau dan tahun itu kami muncul juara keseluruhan.

Lagu M. Nasir – Rajawali Terbang Tinggi bergema dari tepi padang.

Bila M. Nasir umumkan semalam lagu Rajawali Terbang Tinggi ada di konsert Cipta 2, aku terbayang semula hari sukan pada tahun 1998.

Oh ya, rumah kuning juga dikenali sebagai Rajawali.

Gambar dicedok dari Google Maps, kini SK Seri Melati.

Percutian di Lombok

Isteriku telah menghubungi receptionist tapi masih belum ada orang yang datang menghantar tuala baru dan lap kaki.

Aku kemudian melangkah ke telefon yang ada di atas meja. Aku tidak pernah telefon receptionist dan minta ditukar lap kaki di bilik air.

Hello, hello. Previously we have requested for towels but we still didn’t get it. Can help?

“Yes sir may I have your room number?”

Six one five.

“Okay we will send a towel for two. Is that all?”

No no, can we also…

Aku terlupa panggilan lap kaki dalam bahasa inggeris.

Errrr, can we change the towel for the floor?

“Towel for the floor sir?”

Yes.

“Errr towel for the floor?”

Hmmm, takkanlah orang putih sediakan tuala untuk lantai.

Ligat aku berfikir, apakah perkataan yang sebenar. Dia diam, aku diam.

Kemudian aku menyambung kata, “Errrr… lap kaki?”

“Ohhhhh, lap kakiiiiii.”

Terdengar di hujung telefon seolah berbunyi lega dan ada sedikit ketawa.

Aku pandang belakang, isteriku sedang bergolek di lantai tahan gelak.

Dalam aku, ada dia. Dan dalam dia ada kita ada semua.

Aku teringin mempunyai rambut seperti Scarlett Johannson. Lebih tepat lagi ketika dia berlakon dalam layar filem Lost in Translation. Bagi aku, rambutnya cantik dan sangat rupawan. Bila dia menarik rambut ke bahagian belakang dan meninggalkan sedikit rambut yang pendek di bahagian tepi. Ahhhh, cantik sekali rambutnya. Berikan aku rambut itu! Dipasangkan dengan tubuh badan seperti Bradd Pitt dalam filem Snatch, aku rasa aku mampu menggoncang dunia.

Bukanlah aku tidak gemarkan rambut dan badan aku sekarang. Aku rasa aku okay sahaja. Apa nak buat, sudah begini acuannya.

Cuma untuk usia yang semakin meningkat, aku perlu untuk gembleng lebih usaha demi memastikan badan terus kukuh. Kesihatan adalah kekayaan, dan kekayaan adalah kunci untuk aku terus berjalan mencari jawapan.

Untuk apa, semua ini?

Terus

Semoga kita semua menemukan upaya di balik mendung yang melingkar dan menekan.

Dan semoga harum bunga terus meneman di sepanjang ranjau selagi kaki ini melangkah.

Walau gelap, semoga cahaya di hujung pintu tidak padam, walau samar dan suram.

Semoga ada jawapan untuk semua soalan yang tak bernoktah.

Jawapannya kamu

Seperti sebuah bencana
Kau datang dengan rencana
Membuat lara dan seribu renjana
Hidupku pun menjadi seperti puing-puing selepas berakhirnya malapetaka.
Buat hati, ku bisikkan terus kuat.
Dan hati membalasnya duka ini duka abadi,
tidak bernoktah, tidak bertepi.

Brader, kita mesti terus hidup

Isteriku sedang berceloteh dan berkongsi tentang bilik yang tersedia untuk kembara seterusnya. Tapi aku ligat berfikir tentang Pyanhabib.

Kawan-kawan aku rapat dengan Pyan, dan aku pernah dua tiga kali bersemuka dengan dia. Bagi aku dia memang rockstar.

Dan seperti bintang rock yang lain, cahayanya hanya akan semakin terang.

Selamat berhijrah ke alam sebelah, brader.

Riadah tengahari

Hari ini berbeza dengan hari-hari yang lain kerana hari ini aku membawa beg tambahan untuk beriadah.

Tengahari aku naik pergi gym. Semangat aku sedang berkobar kerana aku telah mendaftarkan diri untuk pemilihan pelari ke Maybank Bali Marathon. Hotel, slot larian, dan pengangkutan di Bali akan ditaja. Tapi hanya yang pantas akan terpilih.

Maknanya aku sedang bersemangat. Bayangkan sebuah wajah yang gigih menukar baju di kamar persalinan.

Kemudian aku tersedar rupanya aku tidak membawa seluar sukan.

Aku membayangkan wajah adik-adik yang menjaga kaunter sedang ketawa jika mereka tahu aku terlupa membawa seluar. Tadi punyalah beriya tanya semua program yang ada, seluar pun tak bawak.

—-

“Tiba-tiba ada meeting la pulak.” Kata aku kepada adik kaunter.