Terussssss mendatarkan keluk Covid!

Hari ke…. entahlah hari ke berapa. Sudah lama rasanya aku duduk di rumah. Dah licin lantai aku lap.

Hari ini aku bangkit dan mendengar isteriku sedang bervideo call dengan kakak dan maknya. Aku membiarkan isteriku sambil mencapai bijirin koko dan air kotak milo.

Krup krap krup krap. Tiada tanda isteriku akan habis bervideo call dalam tempoh terdekat.

Kemudian bukak laptop sambil buat kerja. Dan membuat sedikit kerja tentang perusahaan nenas yang keluarga kami sedang usahakan.

Aku terdengar isteriku berkata bai bai di depan telefon. Tanda mahu menamatkan panggilan.

10 minit kemudian, aku dengar dia cakap bai bai lagi.

20 minit

dan terus menjadi 30 minit aku masih mendengar perkataan bai.

Inilah yang selalu terjadi ketika raya. Salam dekat meja makan, lepas tu salam depan pintu, salam depan pagar, akhir sekali salam depan kereta.

Mendatarkan keluk Covid19 hari ke-6

Semalam aku ke Pasar Borong Selangor untuk menambah bekalan barang basah di rumah. Isteriku telah menyediakan senarai barangan untuk dibeli.

Seperti suami-suami yang lain, aku ke hulu ke hilir pasar mencari barangan yang ada dalam senarai.

Setiap kali dapat beli, aku akan tanda di telefon.

Satu demi satu aku tanda, sampailah semuanya habis dibeli.

Kejayaan membeli barang basah tanpa bantuan isteri ini akan aku kena sampai bila-bila.

Goyang Gerudi

Hari ini adalah hari ke-5 Perintah Kawalan Pergerakan.

Aku memulakan pagiku dengan bijiran koko dan susu lembu. Aku harap menu sarapan aku tidak diketahui mana-mana vegan.

Sambil aku bersarapan, isteriku sedang leka membuat panggilan video kepada kakak dan emaknya. Mereka rancak berbual tentang menu masakan hari ini. Aku tetap menyuap bijiran koko ke mulutku.

Habis makan aku mendapatkan mesin gerudi dan skru saiz 5mm untuk ditebuk ke dinding.

Syukur ke hadrat Tuhan. Dua tahun selepas membelinya di IKEA, akhirnya aku punyai tempat menggantung pingat larian.

Hari kedua Kaper (Kawalan Pergerakan)

Hari ini aku dan isteri berpuasa mengikut sunah nabi. Puasa ini bagus untuk badan ya, apatah lagi selepas hari pertama sudah makan bermacam kudapan dan rajin berulang ke dapur dan peti ais.

Hari ini sekitar jam 10, ada masalah yang timbul di tempat kerja. Teman sepejabatku telah dikerahkan ke pejabat dan kami bersama-sama menyelesaikan masalah dari jarak jauh. Isteriku sudah mula menunjukkan tanda mahu meroyan kerana terperangkap di rumah. Lucu sekali.

Dalam jam 5 petang, ke Jusco untuk membeli barang basah. Untuk juadah berbuka, isteriku diberi tanggungjawab untuk memasak nasi goreng. Aku menggalas tugas yang lebih mencabar iaitu menggoreng telur dadar dan ayam.

Selepas berbuka puasa, kami meneruskan tanggungjawab sebagai rakyat prihatin dengan kembali menonton cerita Korea.

Esok aku akan mula melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh iaitu mengemas rumah dan membuang barang-barang yang tidak perlu.

Mendatarkan keluk statistik Covid19

Hari ini bermulalah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia sebagai langkah untuk membanteras penyebaran wabak Covid19 yang membawa nelangsa baik pada kesihatan atau rutin harian.

Aku juga tidak terkecuali dan bermula bekerja dari rumah. Isteriku juga tidak ketinggalan, ada di sisi menemani cuma dia sudah banyak mengeluh kerana bosan. Aku tidak menyalahkan dia kerana dia bukanlah seperti diriku yang lebih gemar bermastautin dan berselubung di rumah.

Sejak bermula wabak ini sebenarnya aku sudah mula berasa bimbang, apatah lagi bapaku yang selama ini menunggu hasil tuaian nenasnya. Setahun lebih dia menunggu, aku tidak dapat membayangkan betapa sedih dirinya. Aku hanya berdoa dan mampu membantu semampu mungkin.

18-31 March, semoga semuanya baik-baik sahaja.

Sudut kecil di Wangsa Maju

Setiap hari tanpa jemu aku akan melihat dirinya. Hidup akan berasa canggung jika tidak bertemu walau sehari. Kendatipun dia mungkin tidak perasan akan kehadiranku di dalam hidupnya, aku tidak peduli. Aku akan tetap hadir dan mendekatinya.

Semoga kita sentiasa diizinkan Tuhan untuk bertemu.

Ohhhh kakak yang menjual teh ais.

Hang Tuah pernah dikejar oleh hulubalang Pahang ketika melarikan Tun Teja dan bersembunyi di sini? Kepulauan yang hari ini milik Indonesia.

Pernah disiarkan di Neon Berapi pada 2017. Secara langsung Google akan mengatakan ini adalah kerja seorang yang pemalas. Curi, siar, dan jana aliran di laman sesawang. Semoga tak berdosa.

Natuna dan Anambas adalah dua kepulauan yang terletak di dalam wilayah besar Republik Indonesia. 2 kepulauan ini kemudian diletakkan di dalam provinsi Kepulauan Riau dan ibu kotanya ialah Tanjungpinang di Pulau Bintan.


Bersempadan dengan Vietnam di utara, Borneo di timur, dan semenanjung emas di barat, penduduk asal kepulauan Natuna dan Anambas sebenarnya menggunakan bahasa melayu dialek Terengganu. Ya, Terengganu.

Sedikit masa dahulu, Republik Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya dari penjajah. Walaupun ditentang kuat Belanda, akhirnya Indonesia mencapai kemerdekaan yang ditagih.

“Kemerdekaan dengan darah.”

Ayat ini sering dilaungkan segelintir mereka setiap kali mahu meyindir Malaysia yang mencapai kemerdekaannya dengan batang pena.

Berbalik kepada Natuna dan Anambas yang menggunakan dialek Terengganu di dalam kegiatan seharian, mengapa mereka terjebak dan dianggap sebahagian wilayah Indonesia? Mengapa kedua kepulauan ini tidak menyertai gagasan Malaysia? Sedangkan letaknya adalah di tengah-tengah antara semenanjung dan Sabah Sarawak. Kedudukannya pula sejajar dengan Terengganu dan Pahang.

Berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah yang bertarikh 18 Mei 1956, Kepulauan Natuna dan Anambas telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia. Jika mengikut tarikh di atas, jelaslah ketika itu barisan pemimpin atasan tanahair sedang bertungkus-lumus memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mungkinkah mereka terlepas pandang atau membiarkan sahaja aksi Indonesia yang kemudiannya mewujudkan konfrontasi pada 1963? Adakah pada mereka, pembentukan Tanah Melayu lebih penting?

Jika saya menjadi warga Natuna dan Anambas ketika itu, pastilah saya akan terkejut apabila tanah kelahiran sendiri tiba-tiba dikatakan sebahagian daripada Indonesia.

Harus diingat kedudukan geografi Natuna dan Anambas memainkan peranan penting untuk Indonesia menggelarkan diri sebagai negara kepulauan mengikut undang-undang laut antarabangsa. Jadi tidak hairan jika mereka berkeras untuk meletakkan Natuna dan Anambas di dalam wilayah mereka.

Saya pernah berkunjung ke Tanjungpinang sedikit masa dahulu. Ketika bersarapan, ada satu juadah yang dipanggil nasi dagang. Saya kemudian bertanya dan mereka mengatakan ini adalah makanan istimewa dari Tarempa. Di mana letaknya Tarempa ini? Di kepulauan Anambas tuan-puan.

Tulus di dalam hati saya, alangkah bagusnya jika Natuna dan Anambas ini sebenarnya milik Malaysia. Dengan lokasi yang berada betul-betul di tengah Pentas Sunda, saya amat yakin ini adalah habitat terbaik untuk segala jenis hidupan laut dan amat pasti kepulauan ini dipenuhi flora yang beraneka-ragam baik di darat mahupun laut.

Selain itu, kepulauan ini mampu menjadi tempat persinggahan laluan laut di antara semenanjung dan Sarawak. Juga menambahkan lagi destinasi pelancongan yang disediakan Malaysia.

Saya akan terus mengganggap Malaysia telah kehilangan sebuah permata di tengah samudera yang telah jatuh ke tangan orang. Alangkah beruntungnya mereka.

Petang yang cemerlang

Sudah menjadi kelaziman di waktu petang atau pagi aku akan berlari. Biasanya aku akan berlari 5km untuk merehatkan sel otak. Sebuah larian yang baik ialah larian yang merehatkan minda. Hanyut dan leka dibuai angan dan cita-cita.

Seperti biasa aku akan melalui sebuah pos pengawal dan pengawal keselamatan yang bertugas akan memberikan isyarat bagus (ibu jari ke atas) sambil menjerit “Good! Good!”. Tapi tidak petang ini. Petang ini pengawal yang aku kira berasal dari Nepal menjerit lebih lantang,

“Very good boss! Very goooood! Sekarang sudah banyak kurus!” Aku sangat tidak menyangka ada orang mengikuti rapat proses penurunan berat badanku.

Aku tersipu-sipu malu dan membuat wajah yang kalau kau tengok, mesti rasa nak sepak.

“Thank you, thank you.” Balasku pada dia.

Kemudian aku meneruskan larian dan berjumpa dengan penunggang kuda yang fasih berbahasa Arab.

“Anta kena berdiri, lepas tu kepit kaki. Anta berdiri!” Kata Syeikh itu pada temannya yang sedang belajar menunggang.

Larianku diteruskan, kali ini aku bertemu budak-budak sedang bermain basikal lajak dan menolak basikal mereka naik bukit.

“Bang, tolong tarik naik bukit bang!” kata budak yang sedikit gempal padaku. Aku hanya membalas dengan senyuman paling manis.

1 jam dan 9 minit, aku tamatkan larian 10km. Aku berasa sangat segar sekarang. Aku kini sedang berfikir dengan minda yang kritis sama ada mahu mandi atau keluar beli beger Ramly.