Akur kepada timbalan ketua keluarga

Sepanjang tempoh PKP, telah banyak kali aku dibebel oleh isteri. Kalau tidak dibebel, dia akan memberi jelingan. Ada sahaja yang akan ditangkap mata tajamnya.

Serbuk neskafe.

Serpihan biskut.

Tumpahan jus nenas.

Dan macam-macam lagi benda yang tidak sepatutnya ada di lantai.

PKP telah membuatkan kami berdua berada lebih lama di rumah dan secara logiknya semakin keraplah aku dibebel.

Tuhan, aku berterimakasih untuk isteriku. Aku malah hargai segala bebelan dan nasihatnya. Ini lebih baik daripada dia diam seribu bahasa.

Setiap kali mengelap lantai, aku akan melakukannya dengan rela dan senyuman di dalam hati.

Sekarang izinkan aku mencari pembantu rumah.

Nanas dan kejora

Habis hantar nenas kepada Nurul Husna, aku menyambung penghantaran pada Encik Saiful Bahari pula. Encik Saiful Bahari bekas pesilat dan mempunyai kontak rapat dengan Pesaka.

Sampai sahaja di kejiranan rumahnya, aku telefon. Dia suruh pergi Blok A tapi geram juga bangunan tak ada tulis nama blok ni. Apa Encik Saiful Bahari ni ingat aku ni tukang tilik ke? Mujur Encik Saiful Bahari cakap dia tunggu di sebelah taman permainan. Mudah sikit kerja mencari Blok A.

Aku parking kereta dan melangkah keluar sambil lagu M. Nasir – Hati Emas berkumandang dari radio kereta.

Selepas berbincang, Encik Saiful Bahari berkenan untuk membeli 10 biji buah.

“Ko pernah makan buah MD2 ni ke?”

Tak pernah dia jawab.

“Dah tu buat apa beli banyak-banyak? Pertama kali beli terus beli 10?”

Eh suka hati aku la, dia balas.

Aku tergelak dan kemudian menimbang 10 biji buah nenas. Kami bersurai selepas memberi salam wakanda.

Hari ke-13 PKP

Pagi tadi sebelum ke pejabat aku singgah beli roti Gardenia dan menyimpannya di kotak Givi di motor.

Habis kerja, aku pulang ke rumah dan parking motor dengan penuh santun.

Lalu aku membuka kotak Givi untuk mengambil roti Gardenia.

Dari ekor mata, aku dapat melihat jiranku sedang memerhati segala tingkah-laku dan gerak-geriku. Beliau di dapur, sedang membasuh pinggan.

Apa lagi, aku angkat roti, tepuk-tepuk sikit, usap dan belai roti Gardenia penuh manja. Aku dapat merasakan dia berasa cemburu dan memandang penuh iri.

Tak pernah aku sangka aku akan berasa bangga diri kerana mempunyai roti di tangan.

Samudera – Titian Hasrat.mp3

Hari ke-12 Perintah Kawalan Berkurung oleh Kerajaan Malaysia.

Ketika bersarapan terdetik di hatiku dan berkata kepada isteri,

“Untung juga orang yang kahwin akhir tahun ni. Kalau gaji jalan tapi berhenti bayar pinjaman. Kereta dengan rumah, dah boleh dapat dalam 2 ribu.”

Senyap seketika.

“U nak kahwin lagi ke?” Tanya isteri.

Aku tahu apa yang bakal keluar dari mulutku boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan. Jadi aku berfikir sejenak. Aku kini ibarat meniti di atas titian yang rapuh.

“Buat apa la nak tambah susahkan diri lagi.” Jawab aku dengan sebuah harapan.

Hmmm. Balas isteri.

Lega. Dapatlah aku sambung makan cucur badak dengan tenang.

Terussssss mendatarkan keluk Covid!

Hari ke…. entahlah hari ke berapa. Sudah lama rasanya aku duduk di rumah. Dah licin lantai aku lap.

Hari ini aku bangkit dan mendengar isteriku sedang bervideo call dengan kakak dan maknya. Aku membiarkan isteriku sambil mencapai bijirin koko dan air kotak milo.

Krup krap krup krap. Tiada tanda isteriku akan habis bervideo call dalam tempoh terdekat.

Kemudian bukak laptop sambil buat kerja. Dan membuat sedikit kerja tentang perusahaan nenas yang keluarga kami sedang usahakan.

Aku terdengar isteriku berkata bai bai di depan telefon. Tanda mahu menamatkan panggilan.

10 minit kemudian, aku dengar dia cakap bai bai lagi.

20 minit

dan terus menjadi 30 minit aku masih mendengar perkataan bai.

Inilah yang selalu terjadi ketika raya. Salam dekat meja makan, lepas tu salam depan pintu, salam depan pagar, akhir sekali salam depan kereta.

Mendatarkan keluk Covid19 hari ke-6

Semalam aku ke Pasar Borong Selangor untuk menambah bekalan barang basah di rumah. Isteriku telah menyediakan senarai barangan untuk dibeli.

Seperti suami-suami yang lain, aku ke hulu ke hilir pasar mencari barangan yang ada dalam senarai.

Setiap kali dapat beli, aku akan tanda di telefon.

Satu demi satu aku tanda, sampailah semuanya habis dibeli.

Kejayaan membeli barang basah tanpa bantuan isteri ini akan aku kena sampai bila-bila.

Goyang Gerudi

Hari ini adalah hari ke-5 Perintah Kawalan Pergerakan.

Aku memulakan pagiku dengan bijiran koko dan susu lembu. Aku harap menu sarapan aku tidak diketahui mana-mana vegan.

Sambil aku bersarapan, isteriku sedang leka membuat panggilan video kepada kakak dan emaknya. Mereka rancak berbual tentang menu masakan hari ini. Aku tetap menyuap bijiran koko ke mulutku.

Habis makan aku mendapatkan mesin gerudi dan skru saiz 5mm untuk ditebuk ke dinding.

Syukur ke hadrat Tuhan. Dua tahun selepas membelinya di IKEA, akhirnya aku punyai tempat menggantung pingat larian.