Rindu.

Hidup aku dan isteri seperti tidak ada tujuan selepas menanam jasad Jennie pada April tahun lalu. Kemudian kami berdua membawa diri ke Bali untuk melupakan sekejap segala kenangan yang dibawa Jennie di dalam rumah ini.

Ada lompong kosong yang pasti tidak akan terisi selepas Jennie meninggalkan kami. Setiap kali melalui halaman tempat kami tanam jasadnya, hati ini kembali luka.

Mata yang berkaca akan segera diseka dan perjalanan naik ke rumah diteruskan dengan senyum. Harus terus kuat untuk anak-anak bulus yang lain.

Menulis tentang Jennie akan membawa aku ke daerah penuh hiba. Terasa terlalu sebentar Jennie izinkan kami menjaganya. Dan sesekali terasa tidak berguna kerana gagal memberi Jennie ruang yang lebih baik.

Jennie hadir, di satu hari terbaring lemah. Dan dengan pelbagai penyakit sambil bunting. Doktor memberinya hanya 2-6 bulan untuk hidup. Tapi Jennie kami kuat. Dia melawan segala musibah dan cekal membesarkan anak-anaknya. Jennie hidup bersama kami lebih dari dua tahun. Menjaga Jennie adalah satu cabaran yang membuatkan dia menjadi terlalu istimewa.

Jennie, kalau kita boleh berjumpa lagi aku tidak akan lepas dari mendakap dan memelukmu.

Terima kasih kerana hadir dan mengajar kami erti sebuah kekuatan, sayang.

Terima kasih kerana mencipta peti ais

Di hari yang panjang, aku akan membancuh neskafe dan meletakkannya di atas meja. Selalunya aku memilih untuk meletakkan ais di dalam neskafe yang dibancuh. Aku akan memastikan kuantiti gula, air panas dan bongkah ais mengikut piawaian yang telah aku tetapkan sendiri sejak aku punyai peti ais peribadi. Aku masih ingat peti ais pertama yang kubeli pada 2009 di Courts Mammoth.

Kemudian aku melangkah ke penjuru dan menarik kerusi goyang ke hadapan TV. Sambil mendengar lagu, aku akan menghirup neskafe ais yang berada dekat di tangan kiriku.

Aku akan memuji betapa hebatnya barisan pemuzik ini dapat membuat aku terimbau kembali suatu masa yang telah lepas, dan yang paling penting dapat membuat reda segala kecamuk di kepala. Aku tidak bercerita kepada isteriku kerana entah, aku penat. Cukuplah aku dengar lagu dan minum neskafe.

“Satu lagi hari yang sial telah tamat.”

Lantas aku bangun dan membasuh cawan yang kosong.

Kadang-kadang

aku ingin terbang tinggi, seperti burung melihat dunia diiring angin kencang.

Kadang-kadang aku ingin menjadi pokok merbau, utuh berdiri tetap tenang dilanggar ribut.

Kadang aku hanya mahu menjadi simpulan tali, yang mengikat buritan kapal dan jangkar.

Kadang aku terfikir untuk duduk-duduk sahaja, berehat.

Kadang-kadang…

aku ingin menjadi Imran Ajmain, menyanyi dan membikin resah di malam hari.

Selamat ulang tahun, sayang~

Kopi, seekor malaikat

Ketika Dungun dipuji kerana menjadi daerah mesra kucing, di negeri yang sama terletak sebuah daerah yang menjadi neraka untuk anjing.

Apakah sebenarnya yang membuat anjing tidak dapat diterima untuk sama-sama hidup di atas muka bumi ini dan siapakah gerangannya yang dapat memberi kata putus bahawa anjing perlu dibunuh?

Kita berharap kesemua ustaz dapat bersatu dan mengeluarkan satu fatwa bahawa berlaku kejam terhadap haiwan adalah satu bentuk kezaliman dan pelakunya telah hampir di simpang menuju neraka.

Kita juga berharap rasa simpati yang ditumpahkan pada Palestin melimpah kepada haiwan-haiwan gelandang yang berpeleseran di daerah kita. Manusia berakal pasti dapat meneka apakah punca sebenar kepada bilangan haiwan gelandang yang ada hari ini.

Tapi telah kita tahu ramai yang tidak berotak khususnya mereka yang menaiki kenderaan dalam gelap merayap memegang senapang dan membidik tepat ke arah anjing-anjing liar.

Cuma yang kita tidak tahu apakah yang berada di dada mereka selepas berjaya menembak dan membunuh?

Adakah. Mereka. Berasa bangga?

Rajawali, Terbang Tinggi

Sebagai raja pecut yang telah cedera, aku tidak dapat menjalankan tanggungjawab untuk mewakili rumah kuning dalam sukan tahunan sekolah.

Ketika hari sukan, aku tepuk bahu member aku.
“You can do it. Gambate!”

Ada riak gugup yang disusuli apakah itu gambate di wajahnya.

Banggg! bunyi pistol untuk acara 100 meter menyapa telinga semua yang hadir.

Punya laju member aku tu tinggalkan rumah biru dengan merah. Rumah hijau lagi sayur. Tak sia-sia aku cedera.

Sebagai pemegang bendera, aku berlari dan mengibarkan bendera rumah kami. Kejayaan dia adalah kejayaan aku dan juga semua murid Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 1 yang juga rumah kuning.

4×100 meter, 4×400 semua kami tapau dan tahun itu kami muncul juara keseluruhan.

Lagu M. Nasir – Rajawali Terbang Tinggi bergema dari tepi padang.

Bila M. Nasir umumkan semalam lagu Rajawali Terbang Tinggi ada di konsert Cipta 2, aku terbayang semula hari sukan pada tahun 1998.

Oh ya, rumah kuning juga dikenali sebagai Rajawali.

Gambar dicedok dari Google Maps, kini SK Seri Melati.

Percutian di Lombok

Isteriku telah menghubungi receptionist tapi masih belum ada orang yang datang menghantar tuala baru dan lap kaki.

Aku kemudian melangkah ke telefon yang ada di atas meja. Aku tidak pernah telefon receptionist dan minta ditukar lap kaki di bilik air.

Hello, hello. Previously we have requested for towels but we still didn’t get it. Can help?

“Yes sir may I have your room number?”

Six one five.

“Okay we will send a towel for two. Is that all?”

No no, can we also…

Aku terlupa panggilan lap kaki dalam bahasa inggeris.

Errrr, can we change the towel for the floor?

“Towel for the floor sir?”

Yes.

“Errr towel for the floor?”

Hmmm, takkanlah orang putih sediakan tuala untuk lantai.

Ligat aku berfikir, apakah perkataan yang sebenar. Dia diam, aku diam.

Kemudian aku menyambung kata, “Errrr… lap kaki?”

“Ohhhhh, lap kakiiiiii.”

Terdengar di hujung telefon seolah berbunyi lega dan ada sedikit ketawa.

Aku pandang belakang, isteriku sedang bergolek di lantai tahan gelak.

Dalam aku, ada dia. Dan dalam dia ada kita ada semua.

Aku teringin mempunyai rambut seperti Scarlett Johannson. Lebih tepat lagi ketika dia berlakon dalam layar filem Lost in Translation. Bagi aku, rambutnya cantik dan sangat rupawan. Bila dia menarik rambut ke bahagian belakang dan meninggalkan sedikit rambut yang pendek di bahagian tepi. Ahhhh, cantik sekali rambutnya. Berikan aku rambut itu! Dipasangkan dengan tubuh badan seperti Bradd Pitt dalam filem Snatch, aku rasa aku mampu menggoncang dunia.

Bukanlah aku tidak gemarkan rambut dan badan aku sekarang. Aku rasa aku okay sahaja. Apa nak buat, sudah begini acuannya.

Cuma untuk usia yang semakin meningkat, aku perlu untuk gembleng lebih usaha demi memastikan badan terus kukuh. Kesihatan adalah kekayaan, dan kekayaan adalah kunci untuk aku terus berjalan mencari jawapan.

Untuk apa, semua ini?

Terus

Semoga kita semua menemukan upaya di balik mendung yang melingkar dan menekan.

Dan semoga harum bunga terus meneman di sepanjang ranjau selagi kaki ini melangkah.

Walau gelap, semoga cahaya di hujung pintu tidak padam, walau samar dan suram.

Semoga ada jawapan untuk semua soalan yang tak bernoktah.

Jawapannya kamu

Seperti sebuah bencana
Kau datang dengan rencana
Membuat lara dan seribu renjana
Hidupku pun menjadi seperti puing-puing selepas berakhirnya malapetaka.
Buat hati, ku bisikkan terus kuat.
Dan hati membalasnya duka ini duka abadi,
tidak bernoktah, tidak bertepi.