Suasana perlumbaan di Cameron Night Run 2019 (CAMRUN)

Tepat jam 12:30 malam, aku dan isteriku turun ke Padang Awam MDCH, Tanah Rata. Garisan mula untuk Cameron Night Run di situ. Cuaca ketika itu sejuk dengan angin dingin yang bertiup dari Banjaran Titiwangsa. Sudah ada ramai orang di situ, seperti pesta. Ada yang beratur untuk menangkap gambar, ada yang sedang memanaskan badan, ada juga yang sedang swa-foto.

Sebelum memulakan larian jam 1 pagi, aku mengingatkan isteriku supaya berlari dengan penuh cermat. Dia akan berlari 10km pada jam 2 pagi.

Beberapa minit selepas larian bermula, hujan turun. Mula-mula renyai, namun semakin lebat. Suhu kini di bawah takat beku. Ditambah pula dengan kelajuan angin yang bertiup, aku merasakan seolah berada di Tasik Baikal, Russia ketika musim dingin. Mujurlah aku membuat keputusan tepat dengan membeli baju penghadang angin (windbreaker) di saat akhir. Suhu badanku kini naik kepada 18 darjah selsius dan hangat kembali untuk selesa berlari.

Begitu tenang dan nyaman Tanah Tinggi Cameron di waktu dinihari. Sesekali anjing menggonggong memecah kesunyian malam. Unggas dan mergastua bersahutan menambah sensasi kawasan hutan. Untuk larian Cameron Night Run, urusetia menjaga dengan sangat cekap, dan ditambah bantuan penguatkuasa. Acara malam itu sangat terkawal. Pendek kata, memang layak dipuji.

Sebelum berpatah balik kira-kira di KM10, keadaan agak parah bagiku dengan pendakian yang begitu enak. Jiwaku meronta untuk berjalan kaki dan aku turutkan sahaja. Lagipula jam menunjukkan denyutan jantungku di tahap maksimum.

Di KM18, aku mulai longlai. Namun berkat lagu N’Sync – I’ll Never Stop yang bermain di kepala, aku gagahi juga ke garisan penamat.

Sampai garisan penamat, isteriku sedang menunggu dengan telefon di tangannya. Selepas beraksi untuk jurukamera di garisan penamat, aku mendapatkan isteriku dan kami tersenyum berpandangan satu sama lain.

Begitu manis percintaan ini. Ohhhh.

Kami pulang ke hotel berpegangan tangan dan bangun pada jam 8:30 pagi lantas memakan nasi lemak strawberi.

Menuju Cameron

Selepas menjalankan kewajipan solat jumaat di Slim River, aku masuk kembali ke lebuhraya PLUS dan singgah di RTC Simpang Pulai. Ketandusan idea apa yang boleh dimakan kerana menu di sini terhad, tidak menepati seleraku yang gemar memakan sayur brokoli dan ikan salmon. Jiwa batinku meronta-ronta mahukan menu yang menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun aku mengalah dan makan nasi goreng.

Habis makan, singgah Petronas. Tuang minyak dan menambah dana ke dalam kad Touch N Go. Kemudian aku beransur dan membelok masuk ke Cameron Highland menggunakan laluan Simpang Pulai.

200 meter sebelum tol, tiba-tiba datang peringatan dari langit tepat memasuki benakku. Yaaaaa! Aku membayar RM100 untuk Touch N Go namun tidak mengambil kad itu kembali! Satu tindakan bijak tahap Suhaimi Saad si pemikir bumi itu rata. Kepala babiiiii!

Selepas berborak dengan kakak tol, dia setuju melepaskan aku dengan syarat kembali dengan kad Touch N Go. Lalu aku membelok ke kiri dan menghala ke RTC Simpang Pulai mengikut jalan dalam.

Masalahnya, dari RTC Simpang Pulai ke Petronas… mana boleh naik kereta. Hmmmm.

Maka di situlah aku melakukan sebuah larian di bawah terik matahari dengan kelajuan 5:30 minit/km. Alhamdulilah, dapatlah sedikit latihan berlari sebanyak 1.6km.

Merantau ke Barr-cin-gapura.

Hari ini aku berpeluang untuk menjenguk Singapura dalam siri lawatan singkat yang dipenuhi dengan manfaat. Aku telah dihantar oleh pengurus yang bijak menilai kemampuan diriku dalam berkerja. Tepuk la tangan sikit.

Dengan tidak membuang masa aku ke lapangan terbang dan merentas gumpalan awan lalu tiba di negeri yang pernah menjadi perkumpulan lanun dan saudagar lautan.

Kami memulakan hari dengan memakan nasi lemak di dalam kapal terbang dan meneruskannya dengan mengunjungi reruai yang ada di ekspo yang bertempat di Marina Bay ini.

Banyak juga cenderamata percuma yang berjaya aku dapatkan. Namun sayang seribu kali sayang pembelian cenderamata berbayar hanya boleh dilakukan dengan menggunakan wang tunai. Mana ada orang buat transaksi guna wang tunai sekarang. Gila ke? Kedai goreng pisang tepi jalan dekat Malaysia pun bayar pakai kod QR yang dipautkan ke perbankan atas talian. Mengeluh panjang juga aku bila tak dapat beli baju panas yang sedap tadi.

Untuk menebus kekecewaan ini, aku keluar makan ke restoran Zam Zam. Namun aku semakin kecewa bila nasi beryani sudah la biasa-biasa sahaja, murtabak pun gagal teruk. Mahal pun mahal, pui!

Mujurlah hariku kembali ceria bila dapat berkunjung ke kedai yang menjual barang larian denai di Red Dot Running Company. Tenang sahaja aku mengambil barang dan meletakkannya di atas meja juruwang.

Masalahnya sekarang, di mana harus aku sorokkan topi larian denai yang baru dibeli dari pengetahuan isteriku. Mungkin beginilah perasaannya bila dia membeli tudung Duckscarves dan meletakkan kotaknya senyap-senyap di ruang simpanan kotak.

Kota yang mengiau

Untuk seorang cendekiawan sepertiku yang mengamalkan gaya hidup sihat, di dalam selang masa tertentu aku akan keluar dari sempadan untuk melihat tinjau tempat orang. Aku akan cuba menjejak dan menyiasat perkara apakah yang sering dilakukan oleh penduduk tempatan dan makanan jenis apa yang sering mereka sumbat ke anak tekak.

Aku tidak berapa minat untuk terbang jauh ke Eropah untuk melihat tamadun yang dibina hasil daripada rompakan dan tumpahan darah bangsa lain. Mereka di Barat dengan tidak segan-silu hidup daripada hasil kekayaan yang dirampas pada masa silam. Bunuh, rogol, paksa, buang wilayah, dera, seksa dan berbagai lagi. Namun betapa peliknya kini, mereka yang lebih banyak bercakap tentang hak asasi manusia. Entah apa-apa.

Tapi sebenarnya, aku belum ada duit untuk ke sana. Nantilah bila ada anak, mungkin aku akan guna duit raya yang dia dapat. Hi-hi.

Jadi, hari ini… aku kembali ke pulau besar yang menyimpan 1001 flora dan didiami 1001 mergastua.

Borneo!

Atau lebih tepat lagi, aku kini kembali ke Kuching.

“Berikan saya sayur midin dan berikan saya sekarangggg!”

Jeritku selepas keluar dari kapal terbang.

Muter-muter keliling pulau

Terkenang kembali ketika ke Pulau Weh di Aceh setahun lepas. Orang yang membawa kami untuk bersiar-siar mencadangkan rencananya untuk berjalan-jalan di sekeliling pulau.

“Kalau begini, kan lagi gampang?” kata Abang Is.

Isteri aku terdiam. Raut wajahnya jelas aku fahami.

“Dia bukan mencarut.” Kataku kepada isteri.

Sebutir Bintang Dilahirkan

Menonton Lady Gaga di dalam filem A Star is Born memberi pengalaman yang jarang aku susuri dalam cerita lain. Menerusi filem ini, aku teringat betapa aku sangat membenci matapelajaran muzik di bangku sekolah. Meniup recorder dan cuba mengingati turutan lubang demi lubang bukanlah muzik yang sebenar.

Bangang.

Punya.

Cikgu muzik.

Muzik sebenar ada pada Lady Gaga. Yaaaaa! Lady Gaga!

Lady Gaga mengajar kita bahawa di dalam kehidupan, sentiasa melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara yang kita minat. Lady Gaga seperti sebuah utusan yang turun dari kayangan mengingatkan bahawa kita semua adalah jiwa yang sentiasa dahagakan sebuah perjalanan yang penuh sensasi. Suami Lady Gaga pula mengingatkan aku kepada aku yang pernah menjadi koboi dan sering menunggang kuda serta membunuh orang. Hashtag, Red Dead Redemption.

Terima kasih Lady Gaga! Terima kasih!

Masa untuk aku menggadai semua harta, dan berkelana ke seluruh dunia.

Eeeee~ haaawwww.

Ketika Berus Bertasbih

Betullah orang kata, mengecat boleh menenangkan. Aku kini sedang mengecat rumah dan merasakan seolah-olah berada di tepi sungai yang begitu jernih di mana airnya mengalir dari mata air yang keluar dari celahan batu permata, zamrud dan nilam. Di setiap hayunan berus, aku seolah-olah ditemani siulan burung rajawali yang sayapnya begitu gagah melayang di angkasa. Harum kasturi semerbak diiringi bunga seruni yang kembang mekar.

Aku tersenyum. Kemudian aku celupkan berus ke dalam bekas cat dan kembali meratakannya di dinding. Begitu halus gemalai gerakan tanganku. Brader yang lukis Monalisa tu kalau tengok pasti cemburu.

Betul-betul sebuah terapi jiwa ya aktiviti ini. Kataku kepada diri sendiri.

Jam di kotak Astro menunjukkan jam 2:51 pagi. Aku masih mengecat rumah. Dan sudah 1 jam 51 minit aku mengalami tekanan jiwa.